Monday, December 17, 2007

Syukur Alhamdulillah

Bila kali terkahir anda merasa tersangat cemas? Cemas sehingga anda akan berdoa sebanyak-banyaknya dan berzikir sebanyak-banyaknya semoga Allah melindungi anda dari malapetaka yang dahsyat!.

Saya, saya tidak pasti bila kali terakhir kerana mungkin telah terlalu lama menikmati nikmat keamanan dan ketenangan dari Allah. Saya mungkin terlupa dengan ujian-ujian yang lalu dan saya sudah lupa dengan keadaan di mana betapa kecilnya diri ini semasa menghadapi ujian yang berat.

Petang tadi, saya membawa anak perempuan saya ke Marina Water Park yang berdekatan dengan Teluk Batik. Tujuannya adalah untuk meninjau tempat rekreasi baru di Teluk Batik itu dan mengisi masa lapang bersama anak kerana isteri saya merupakan pegawai bertugas di tempat kerjanya.

Lebih kurang jam 6.45 petang, setelah lebih kurang 30 minit berada di taman tersebut, kami bersedia untuk pulang walaupun anak saya agak terkilan kerana tidak dapat mandi di kolam renang taman tersebut. Sesampai di rumah lebih kurang 6.55 petang, saya dapati dompet saya tiada di dalam poket seluar. Puas menyeluk, kemudian mengeledah seluruh kereta, saya membuat andaian yang dompet saya telah tercicir di taman tersebut.

10 minit yang sangat panjang, 10 minit yang penuh dengan zikir dan doa, 10 minit yang sangat mencemaskan lagi mendebarkan, 10 minit yang penuh dengan pengharapan. 10 minit untuk sampai kembali ke taman tersebut. Sesampai di taman, saya terus mengelabah mencari dompet yang hilang. Cari dan terus mencari dengan beberapa bantuan dari pekerja taman tersebut. Sehinggalah saya mula memikirkan untuk melaporkan sahaja kehilangan dompet serta dokumen penting ke balai polis terdekat.

Dengan hati yang bercelaru dan berat saya meninggalkan taman tersebut. Sempat juga saya meminta nombor hp pakcik penjaga tiket taman tersebut. Manalah tahu anda manusia yang budiman terjumpa dompet saya dan memulangkan kepada pihak berkuasa taman. Harap dan mengharap!.

Sebaik saja saya hendak melangkah keluar, datang seorang wanita dan berkata, "Encik ada hilang wallet?". Saya terus mengiyakan. "Bang, dia punya wallet agaknya". Dari kejauhan saya melihat seorang lelaki berbaju T dan berkain pelikat serta dua orang budak lelaki bersamanya. Menurut lelaki tersebut anaknya yang menjumpai dompet saya dan beliau meminta maaf kerana 'mengelidah' dompet saya kerana cuba mencari nombor hp saya.

Dalam perasaan gembira bercampur terharu serta rasa syukur yang teramat sangat saya mengucapkan terima kasih dan memberi sedikit saguhati kepada anaknya walaupun ibunya melarang. Mungkin kerana perasaan yang bercampur itu juga membuat saya terlupa satu perkara yang penting, mengambil sedikit maklumat tentang hamba Allah yang sangat jujur itu. Rasa sedikit kurang!

Dalam perjalanan pulang, ucap syukur berterusan dengan hati yang terasa tersangat tenang. Syukur kepadamu ya Allah, kerana telah memberi kekuatan dalam menghadapi ujianmu ya Allah. Kurniakan rezeki yang bertambah-tambah dan keberkatan hidup berkeluarga kepada hamba Allah yang telah menemui 'wallet' saya. Ameen. Syukur Alhamdulillah.

Friday, November 30, 2007

My Favorite Teacher

Gambar ikhsan Mejar Herny
Sebenarnya dah lama saya nak menulis tentang entry ini, namun saya belum ada kelapangan untuk itu walaupun Anita sentiasa dalam ingatan saya. Lebih mengujakan dan meningkatkan keazaman saya untuk menulis tentang Anita adalah bila Mejar Herny (salah seorang Pegawai Senior yang kini sedang menuntut di Australia) menyatakan yang Anita 'shy-shy cat' bila dia dimaklumkan bahawa saya sangat merindui beliau.

Bagi saya, beliau adalah guru Inggeris 'native speaker' yang paling menarik pernah saya jumpa. Bukan sahaja luarannya (walaupun umurnya sudah lewat) tapi sikapnya yang sangat sopan buat orang lain senang berada disampingnya. Teknik pengajarannya bersahaja dan sangat bermakna.

Ada satu ketika yang tidak dapat saya lupakan tentang beliau bila bercakap tentang teknik pengajaran. Sebaik sahaja beliau memasuki kelas, beliau telah mengeluarkan seketul batu dan memaklumkan kepada kelas yang batu itu adalah 'magic stone'.

Beliau menceritakan yang batu itu berasal dari seorang Oborogine (orang asli Australia). Kehebatan batu itu satu sahaja, batu ajaib ini boleh menyedapkan makan walaupun dengan ramuan masakan yang terhad. Caranya adalah memasukkan sahaja batu itu apabila hendak memasak, tidak kiralah sama ada mengoreng, merebus, mengkukus dan sebagainya.

Semua orang termasuk saya merasa kagum dengan batu itu dan tidak sabar menganalisa batu itu. Beliau mengedarkan batu tersebut, dapat dilihat kekaguman rakan sekelas terhadap batu itu. Ada yang menghidu-hidu, ada yang mengusap-usap, mengetuk tak kurang juga ada yang menjilat!

Bagi saya, yang berfikir berasaskan otak kiri (lebih kepada logik), sukar untuk mempercayai kehebatan batu yang kini berada di atas tapak tangan saya. Lalu terpaculan satu soalan berasaskan otak kiri saya, "Logically, how does it work????'. Anita hanya tersenyum tapi tidak menjawab soalan saya.

Setelah semua orang terfikir-fikir bercampur dengan keraguan, Anita mengkisahkan hal yang sebenar. Sebenarnya, itu cumalah satu teknik untuk membuka mulut murid untuk berkomunikasi. Asasnya, konflik antara otak kanan dan otak kiri buat manusia yang pendiam sekali pun akan mula bercakap-cakap!. Mula bekomunikasi untuk mencari jawapan dari situasi yang pelik.

Jawapannya, batu itu cuma batu biasa sahaja dan tak ajaib pun. Batu itu ajaib kerana berkeupayaan buat rakan-rakan saya yang pendiam jadi orang yang 'bercakap-cakap' kerana hairan dengan batu yang tak ajaib itu!

Bila balik di Malaysia, saya cerita dalam kelas yang saya jumpa UFO semasa belajar di Australia. Memang berkesan, semua orang ada teori sendiri tentang UFO. Terima kasih Anita.

Wednesday, October 31, 2007

Mac


Adakah anda pernah menggunakan komputer Apple Mac? Saya pernah, lama dulu. seingat saya dalam awal 90an. Masa tu belajar C Programming. Masa tu komputer Apple tu kecil sahaja. Satu yang saya ingat tentang komputer tu adalah monitor dan CPUnya bergabung.
Hari ini dah masuk minggu keempat saya mengikuti kursus E-Learning (minggu terakhir!). Belajar membina kandungan E-Learning. Menariknya, tentang kursus ini adalah komputer yang digunakan adalah komputer Mac yang terbaru. Menggunakan sistem Mac OS X Tiger (Versi 10.4.10). Dalam dunia cuma 5% pengguna komputer berasaskan Mac. Rasa sungguh bertuah menjadi pengguna komputer berasaskan sistem Mac.
Saya rasa, Mac lebih bagus dari PC!!

Thursday, October 25, 2007

Tidak Rasa Takut di Angkasa Lepas

Dipetik dari ruangan RENCANA,
Utusan Malaysia, 24 Oktober 2007

MUKADIMAH
ANGKASAWAN pertama negara Dr. Sheikh Muszaphar Shukor kini berada di Pusat Latihan Kosmonaut Gagarin di Star City, Moscow untuk pemeriksaan dan kajian lanjut selepas kembali ke Bumi dari angkasa lepas Ahad lepas.

Dalam temu bualnya kira-kira 49 minit bersama juruhebah Radio 24, Nizal Mohamed semalam, beliau menceritakan pelbagai pengalaman dan perasaannya ketika berada di angkasa lepas. Berikut ialah petikan temu bual itu.

BERAPA lamakah Dr. Sheikh akan berada di Star City?

Setiap angkasawan yang pulang dari angkasa lepas akan menjalani ujian perubatan sebelum dilepaskan dan saya akan dikuarantinkan selama seminggu sebelum dibenarkan keluar.

Kami difahamkan antara tiga angkasawan yang telah kembali, Dr. Sheikh Muszaphar merupakan yang paling sihat?

Alhamdulillah. Saya berasa begitu bersyukur kerana tidak mengalami masalah langsung apabila berada di angkasa lepas dan saya berasa ini adalah kerana doa dan sembahyang hajat yang dilakukan oleh seluruh rakyat Malaysia. Saya rasa begitu tenang berada di angkasa lepas dan tidak rasa pening, muntah atau kesan sampingan lain. Semasa mendarat di Kazakhstan saya boleh berjalan dengan serta-merta dan ia tidak menjadi masalah kepada saya. Alhamdulillah.

Saya mendapati Sheikh merupakan orang yang paling konsisten dari segi keceriaan, tenaga dan semangat, di mana datangnya semangat itu?

Saya telah bermimpi untuk menjadi angkasawan sejak saya berumur 10 tahun dan saya berasa ini adalah satu impian saya yang sudah menjadi kenyataan. Dan ini bukan sahaja impian saya malahan impian seluruh rakyat Malaysia. Saya berasa amat berbangga dapat membawa Jalur Gemilang ke angkasa lepas. Saya juga tidak berasa penat dan risau dan saya begitu fokus apabila berada di angkasa lepas.

Apabila sampai ke Baikonur belum lagi ditentukan siapa yang akan pergi dan akhirnya nama anda disebut. Bagaimana perasaan anda ketika itu?

Saya tidak terkejut apabila dipilih kerana saya sentiasa bersikap positif dan saya sentiasa yakin pada diri sendiri. Saya berserah kepada qadak dan qadar. Pertama sekali saya berasa bersyukur dipilih kerana mandat oleh Perdana Menteri Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia untuk merealisasikan wawasan negara.

Saya benar-benar bersyukur dan berjanji apabila kembali nanti saya akan jalankan tanggungjawab saya sebagai seorang angkasawan untuk menyuntik inspirasi kepada seluruh rakyat, kepada pelajar dan kaum belia Malaysia.

Saat-saat mendekati Soyuz TMA11 berlepas, bagaimana perasaan anda?

Saya tidak berasa khuatir atau bimbang. Lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan saya lebih tenang dan dapat tidur dengan baik. Sebelum pelancaran saya memperbanyakkan zikir dan baca ayat al-Quran untuk memberi keyakinan.

Seorang wakil Rusia mengatakan antara ketiga-tiga angkasawan kelihatannya Dr. Sheikh Muszaphar paling tenang, ceria dan meyakinkan kerana sebelum masuk senyum malahan ketika menaiki tangga pun senyum.

Apabila anda tahu impian anda begitu hampir untuk menjadi kenyataan tidak ada masalah langsung dalam fikiran. Apa yang paling penting ialah untuk merealisasikan impian dan untuk pergi ke angkasa lepas. Ini merupakan fokus saya selama setahun dan selama itulah saya rasa lebih tenang dan yakin.

Masuk sahaja ke dalam Soyuz TMA-11 bila berlakunya pelepasan itu, bagaimana pengalaman anda?

Saya agak terkejut kerana pelancaran selama 8 minit 48 saat begitu smooth tapi rasa panjang, seolah-olah ia mengambil masa yang lama apabila pertama kali saya dapat merasakan mikrograviti iaitu terapung-apung. Segala pena dan buku saya mula terapung.

Bagaimana pengalaman mengelilingi bumi dalam masa sehari?

Tempat di Soyuz adalah begitu kecil dan kami tidak dapat bergerak dengan banyak dan kami banyak menghabiskan masa berbincang dan saya banyak menghabiskan masa dengan melihat di luar melalui tingkap dengan melihat keindahan dan kebesaran ciptaan Allah dan ia memberi keasyikan dan memberi nikmat kepada saya.

Pasti kalangan umat Islam bertanya kalau berputar sekeliling Bumi sehari 16 kali, bagaimana menunaikan tanggungjawab kita?

Tanggungjawab saya bukan hanya kepada rakyat Malaysia tetapi kepada umat Islam seluruh dunia bagaimana untuk bersembahyang dan bagaimana untuk berpuasa dan saya bersyukur kerana sempat berpuasa selama dua hari di angkasa lepas dan tidak menjadi masalah kerana Jakim telah menghasilkan buku cara beribadah di angkasa lepas.

Jadi saya dapat berpuasa dengan begitu tenang dan saya mengikut masa di Kazakhstan untuk berbuka dan bersahur dan kenikmatan berbuka puasa di angkasa lepas adalah sesuatu perkara yang tidak akan saya lupakan.

Ia adalah begitu hebat sekali dan saya berasa begitu lengkap seolah-olah hati saya begitu lengkap pada masa itu. Dan sembahyang juga adalah amat mudah pada saya waktu itu kerana saya dapat betulkan kaki saya pada masa itu untuk rukuk dan sujud, jadi saya telah rekodkan dalam video bagaimana bersembahyang di angkasa lepas dan saya berharap dapat berkongsi video tersebut bersama dengan seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Kalau 16 kali berpusing ia tetap mengikut waktu Kazakhstan?

Jakim buat persetujuan bersama seluruh ulama dan mufti seluruh dunia dan mereka membuat keputusan bahawa kami akan ikut waktu solat di mana kami dilancarkan atau berada iaitu di Kazakhstan.

Pertama kali melihat Bumi dari angkasa lepas, apakah sebenarnya tercetus dalam fikiran apabila melihat bumi dari angkasa lepas?

Apabila saya lihat Bumi di angkasa lepas seolah-olah jantung saya berhenti berdegup seketika, saya tidak mengelipkan mata langsung. Perkara pertama yang datang dalam ingatan saya ialah tentang kebesaran Allah dan ini adalah sesuatu yang mengasyikkan dan begitu hebat sekali.

Susah untuk saya gambarkan kepada rakyat Malaysia. Saya juga menulis segala perasaan saya dalam sebuah diari kecil di angkasa lepas dan saya berharap dapat berkongsi bersama dengan seluruh rakyat Malaysia.

Kali pertama keluar dari Soyuz, bagaimanakah perasaan apabila keluar tanpa menggunakan kaki dan melayang ke atas?

Sebenarnya kita sudah terapung di Soyuz selama dua hari tetapi apabila sampai ke ISS tempat itu adalah begitu besar dan apabila anda boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan hanya menolak kaki anda sendiri, ia adalah satu perkara yang hebat.

Apa yang pelik ialah apabila saya kembali ke Bumi, saya rasa begitu berat untuk mengangkat tangan saya disebabkan oleh graviti. Mereka yang duduk selama enam bulan banyak kesan pada badan mereka.

Pertama kali berbicara dengan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis dan mendengar suara warga Malaysia berbicara dengan Sheikh di angkasa lepas.

Apabila pertama kali saya mendengar suara rakyat Malaysia di angkasa lepas dan saya rasa seolah-olah satu kehebatan yang amat sangat dan saya berasa seluruh rakyat Malaysia berada di angkasa lepas.

Saya berasa bangga ketika berada di angkasa lepas saya dapat berkongsi makanan-makanan Malaysia dan beraya bersama astronaut yang lain dan berkesempatan mendendangkan lagu-lagu Melayu di angkasa lepas. Saya telah memainkan lagu Malam Bulan Di Pagar Bintang oleh P. Ramlee, Seribu Bintang oleh Alleycats dan juga Sudirman Balik Kampung.

Mereka amat menyukai makanan tersebut dan sukakan lagu tersebut. Ia adalah penting untuk membawa budaya kita bukan hanya di ISS tapi juga di seluruh dunia.

Bagaimana perasaan apabila mendengar suara ayah bercakap dalam bahasa Rusia?

Ayah saya mempelajari bahasa Rusia dan beliau memang seronok bercakap dalam bahasa Rusia dan saya memahaminya, tetapi ibu saya bercakap dalam bahasa Malaysia.

Bagaimanakah seorang angkasawan melakukan hal-hal yang sulit seperti pergi ke tandas?

Sebenarnya bukanlah mudah menjalankan perkara seperti itu kerana segalanya terapung. Jadi anda harus ‘mengikat’ kaki anda supaya pergerakan tidak bergerak. Hari pertama dan kedua saya menghadapi masalah kerana tidak biasa, tetapi hari ketiga dan empat segalanya berjalan dengan begitu mudah.

Anda juga harus mengetahui apa yang dilalui di angkasa lepas adalah empat kali ganda lebih lama dengan apa yang dilalui di Bumi. Memakai baju mengambil masa 10 hingga 15 minit hanya untuk pakai baju dan seluar.

Sempat tak tengok meteorit atau tahi bintang?

Saya tidak melihat tahi bintang. Saya ingin mengatakan pada semua rakyat Malaysia bahawa bintang dan bulan lebih terang dilihat di angkasa lepas kerana tiada lapisan afmosfera yang mengganggunya dan bintang tak berkelipan apabila dilihat di angkasa lepas.

Prof. Dr. Abdul Rahman Jamal mengatakan keseluruhan saintis dari NASA termasuk dari Roskosmos, semuanya memuji anda dalam melakukan kerja dengan efisien dan sempurna.

Saya mengambil misi ke angkasa lepas ini dengan begitu serius.

Bukan sahaja untuk saya bersembang-sembang atau melancong ke angkasa lepas.

Bagi saya ia penting untuk membuktikan kepada seluruh dunia bahawa rakyat Malaysia mampu melakukan benda-benda seperti ini. Saya juga telah ditugaskan untuk membaiki equipment daripada European Space Agency. Jadi ia adalah satu tanggungjawab yang besar untuk European Space Agency mempercayai angkasawan Malaysia untuk melakukan tugas tersebut.

Bagi saya adalah penting untuk membuktikan kepada mereka supaya lebih ramai angkasawan Malaysia dibenarkan ke angkasa lepas sebagai angkasawan, bukan sahaja sebagai pelancong atau berseronok, tetapi lebih serius sebagai angkasawan.

Kebanyakan pengulas NASA meletakkan Sheikh sebagai space flight participant. Bagaimana reaksi Sheikh dalam hal ini?

Sebenarnya bagi saya ia tidak kira sama ada pihak Amerika memanggil saya sebagai space flight participant. Yang pentingnya saya digelar angkasawan Malaysia oleh seluruh rakyat Malaysia. Rusia telah mengiktiraf saya sebagai cosmonaut researcher.

Jadi ia adalah amat penting sekali kerana saya berlatih bersama Rusia. Jadi mereka tahu bagaimana seriusnya kami sebagai angkasawan melalui tugasan tersebut.

Saya berharap selepas ini saya dapat pergi ke angkasa lepas selama enam bulan iaitu jangka masa yang lebih panjang dan bekerjasama dengan NASA serta membuktikan kami setaraf dengan astronaut mereka. Saya ingin menekankan bahawa latihan di Star City adalah berbeza dengan latihan space tourist di mana mereka hanya mengambil masa enam bulan dan kami berlatih selama setahun. Setiap hari kami mempunyai kelas-kelas teori, jadi latihan kami adalah berbeza dengan latihan space tourist.

Bagaimana hubungan dengan astronaut lain selain Peggy Whitson dan Yuri Malenchenko?

Saya rasa apabila saya dapat membuktikan kepada mereka betapa seriusnya saya mengadakan misi ini dan betapa cekapnya menjalankan equipment dengan baik dan betul, mereka telah mempercayai sebagai professional astronaut. Malah, mereka telah mengatakan bahawa saya adalah professional astronaut. Itu adalah amat penting bagi saya.

Saya boleh dikatakan agak bebas ketika berada di ISS di mana boleh melakukan apa sahaja di angkasa lepas. Saya tidak perlu meminta izin untuk menekan butang atau menekan apa-apa sahaja, jadi mereka telah beri kepercayaan kepada saya untuk menjalankan segala eksperimen, segala tanggungjawab, segala apa yang saya mahu lakukan di ISS.

Nampaknya anda sangat bersedia, pakaian pun ada Jalur Gemilang dan memakai baju batik?

Baju batik tersebut adalah sesuatu yang istimewa dan ia bukan sebarang baju batik dan ia telah dibuat khas untuk penjelajahan di angkasa lepas kerana jika anda lihat dengan teliti baju batik tersebut ada lukisan gambar-gambar planet, gambar angkasa, bintang, gambar galaksi dan bulan dan ia adalah baju batik yang begitu unik sekali dan saya membawa kembali baju batik itu semoga saya dapat meletakkan di Arkib Negara supaya seluruh rakyat Malaysia berasa bangga kerana baju batik Malaysia berada di angkasa lepas.

Apakah yang tidak mungkin dapat dilupakan bagi Sheikh ketika berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS)?

Sepuluh hari berada di ISS adalah begitu menakjubkan dari segi terapung, cara kita makan cara kita sembahyang cara kehidupan seharian adalah begitu berbeza sekali walaupun saya telah kembali ke Bumi kadang-kadang apabila saya bangun dari tidur saya berasa seolah-olah saya terapung-apung di angkasa lepas. Ia adalah sesuatu yang masih terngiang-ngiang, bermain-main di kepala saya sehingga kini, ia adalah seolah-olah satu mimpi sampai sekarang.

Apakah sekarang ini anda merasakan demikian juga, terapung-apung?

Ya, saya masih berasa terapung-apung ketika bercakap di Radio24.

Bagaimana perasaan ketika mula masuk ke atmosfera Bumi?

Jika dibandingkan dengan Soyuz yang lain kami mempunyai masalah teknikal ketika itu dan selama ini hanya tiga Soyuz sahaja sejak tahun 1980 di mana keadaan ini berlaku dan kami telah diputar-putarkan begitu hebat sekali, kami telah dilambung-lambungkan di dalam Soyuz sehingga anda tidak dapat bernafas ia adalah sesuatu yang agak sukar untuk kembali ke bumi tetapi Alhamdulillah semuanya baik malah semasa kami mendarat di Kazakhstan kami terbabas sejauh 600km dari tempat yang seharusnya kami mendarat.

Dikatakan tidak boleh bernafas, bagaimana keadaan itu?

As though an elephant is stepping on your chest... ia seolah-olah sesuatu benda yang berat sekali menekan dada anda, anda tidak dapat bernafas dan anda berasa tidak selesa tetapi kami telah diajar bagaimana untuk bernafas kerana yang tertekan itu adalah dada bukan abdomen, jadi latihan tersebut telah menyelamatkan kami untuk sampai ke Bumi dengan selamat.

Dalam perjalanan itu, api akan menyala kiri dan kanan bagaimana perasaan Sheikh ketika itu?

Apabila kami mendarat ke Bumi seluruh kapsul Soyuz itu akan terbakar dan keadaan di dalam itu akan panas sekali dan saya dapat melihat api dan malah serbuk-serbuk api memasuki ke dalam Soyuz menerusi saluran udara dan asap-asap mula berkepulan di dalam Soyuz tetapi itu adalah sebentar sahaja dan kami telah menutup saluran udara. Pasukan penyelamat telah sampai boleh dikatakan agak cepat dalam masa 25 minit dan dengan cepat membantu kami keluar dari Soyuz.

Apakah harapan setelah kembali ke Malaysia?

Harapan saya nanti dapat memberikan suntikan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia lebih-lebih lagi kepada golongan belia, kanak-kanak supaya mereka lebih mendalami bidang sains dan kejuruteraan.

Saya berharap Malaysia dapat melahirkan lebih ramai angkasawan, lebih ramai saintis, doktor untuk memajukan Malaysia dalam segala aspek lebih-lebih lagi dalam bidang aeroangkasa dan saya juga berharap agar Malaysia dapat menghasilkan roket sendiri untuk membuat pelayaran ke angkasa lepas.

– Bernama

Tuesday, October 16, 2007

Wednesday, October 10, 2007

102121H SEP 07 MAL

“It’s a small step for me, but a great leap for the Malaysian people’’
Dr. Sheikh Muszaphar Shukor,
Malaysian First Astronaut

Rendang Tok ke Angkasa


Tidaklah pernah saya merasa Rendang Tok sehinggalah saya bertemu jodoh dengan orang Seri Manjung, orang Negeri Perak. Itulah yang menariknya bila kita dijodohkan dengan pasangan dari luar daerah. Asimilasi budaya dapat dilihat dan membuat minda kita sentiasa terbuka melihat perkara-perkara baru di sekitar kita.

Menariknya, merujuk kepada blog angkasawan kita. Bukan sahaja Rendang Tok, malah Nasi Beriani, Satay Ayam, Tempe, Kuih Bangkit adalah di antara hidangan yang akan dibawa oleh angkasawan kita ke ISS (International Space Station) dalam 1 hari lagi. Nampaknya, bukan sahaja manusia, makanan Melayu pun bersyukur pada Allah kerana dapat dijamah oleh angkaswan di ISS nanti. Macam manalah rasanya 'Rendang Tok' (my fav) kat angkasa nanti? Adakah rasa Rendang Tok dipengaruhi oleh graviti?

Selain dari itu, Dr. Sheikh Muszaphar akan cuba memainkan permainan tradisional Melayu iaitu gasing. Mungkin untuk membuktikan teori Sains tentang Keabadian Tenaga. Kenapa gasing berhenti berputar bila dimainkan dipermukaan bumi? Sepanjang pengetahuan Sains saya, gasing berhenti berputar kerana berlaku pergeseran dengan udara dan juga tenaga berubah dari tenaga kenetik kepada bentuk tenaga lain (Tenaga haba dan bunyi)! Dalam prinsip Keabadian tenaga, tenaga boleh berubah tetapi tidak boleh dihapuskan.

Bagaimana pula keadaan gasing yang berputar dalan persekitaran tanpa graviti? Mungkinkah juga eksperimen ini dijalankan di persekitaran hampagas? Adakah gasing akan terus berputar kerana tiada pergeseran dengan udara? atau gasing boleh berputar lebih lama lagi berbanding jika ia berputar di bumi? Apakah kita dapat memanfaatkan ilmu dari eksperimen yang kecil ini?

Sebelum ini ada sesetengah pengkritik program angkasa ini memandang sinis tentang eksperimen memainkan gasing dan batu seremban di angkasa. Gaya kritikan mereka itu seolah-olah mereka sudah tahu akan jawapannya. Mungkin mereka pernah mencubanya!!. Bagi saya, eksperimen ini hanyalah untuk menarik minat para pelajar dan kanak-kanak untuk lebih meminati bidang sains dan teknologi. Mungkin orang dewasa juga ingin mengetahui apa yang akan berlaku jika gasing diputarkan dalam persekitran tanpa graviti. Sesungguhnya Ilmu Allah itu sangat luas, jika disediakan air laut untuk di jadikan dakwat untuk menulis segala ilmu Allah, pastinya tidak akan tercukup!! MasyaAllah.

Menurut Dr. Sheikh Muszaphar lagi, "Space is all about sharing culture and tradition where cosmonauts from all over the world would gather and conduct experiments as a whole." Ini menunjukkan bahawa penerokaan angkasa lepas bukan sahaja bertujuan untuk penerokaan Ilmu baru malah ianya adalah satu insturmen yang besar untuk menyatukan manusia sejagat yang mempunyai latar budaya yang berbeza-beza.

Sebagai seorang Muslim, beliau juga akan melaksanakan ibadah solat dan puasa di ISS. Beliau sangat berbangga untuk melaksanakan kerana beliau yakin, "I definitely would be praying and fasting in space. I am not sure how it would be done but will share my experiences to all the Muslims all over the world when I get back. After all , Islam is a way of life and I am quite sure I would not face much difficulties. InsyaAllah.".

Semoga selamat pergi dan kembali! Semoga Allah permudahkan segala urusan saudara seIslamku. Ameen.

Monday, October 08, 2007

Dari Baikonur ke ISS

Semasa saya kecil dulu tidak pernah terlintas dikepala saya yang angkasawan adalah satu-satunya cita-cita idaman. Jika ditanya rakan-rakan sepermainan pun, mereka juga sama seperti saya. Angkasawan itu cita-cita yang tidak tercapai oleh akal kanak-kanak sebaya saya pada abad yang lalu.

Namun, semuanya telah berubah. Tahun 2007 ini merupakan tahun yang bertuah buat Malaysia. Setelah mencapai 50 tahun Merdeka, satu lagi sejarah dicipta. Dua orang rakyat Malaysia akan bergelar Angkasawan. Mereka adalah Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapt Dr. Faiz.

Setelah membuat rujukan tentang 'astronaut' dan membaca blog kedua-dua hero Malaysia ini, tahulah saya bahawa kerjaya angkasawan ini adalah kerjaya yang paling tinggi darjatnya!. Kenapa saya kata begitu?. Dari pembacaan saya, baru saya tahu bahawa angkasawan ini bukan sahaja mereka yang benar-benar genius malah mempunyai ketahan fizikal dan mental yang tinggi. Ujian survival di kawasan paya, ketahanan cuaca sejuk di kawasan tundra Siberia dan latihan di Laut Hitam.

Pastinya, angkasawan merupakan kerjaya yang mencabar dan mereka yang benar-benar terbaik sahaja akan terpilih untuk menjadi angkasawan. Memang tidak di nafikan kehebatan kedua-dua angkasawan kita bila pagi tadi mereka telah diumumkan sebagai angkasawan dan layak mengikuti mana-mana misi ke angkasalepas. Salute to our HEROES!!

Selepas ini, anak-anak Malaysia sudah berani bercita-cita untuk menjadi angkasawan. Bukan untuk ke ISS (International Space Station) tetapi lebih dari itu, Planet Marikh barangkali. Namun, untuk menjadi angkasawan, seseorang itu mesti mempunyai keazaman dan kesungguhan untuk menjadi yang terbaik. Semoga Angkasawan Malaysia pertama sentiasa dipelihara dan mendapat perlindungan dari Allah. Ameen.

Thursday, October 04, 2007

Tazkirah

Petang semalam, hampir seluruh keluarga KD PELANDOK meraikan satu majlis berbuka puasa di Teluk Batik Resort. Ini merupakan satu majlis tahunan yang dilaksanakan setiap tahun. Majlis ini dikenali sebagai Semarak Ramadhan. Ini kali kedua saya menghadirinya. Sama seperti tahun lepas, majlis ini dimulakan dengan bacaan Al-Quran dan kemudian diikuti dengan Tazkirah sebelum berbuka puasa.

Tazkirah kali ini disampaikam oleh seorang pegawai Kagat senior, Mejar Mokhtarudin yang akan bersara tidak berapa lama lagi. Tajuk tazkirahnya adalah, Al-Quran. Antara intipati utama tazkirah yang adalah, dengan membaca Al-Quran, bukan sahaja Allah suka pada kita malah makhluk juga begitu.

Jika seorang suami suka membaca Al-Quran, si isteri akan suka padanya begitu juga sebaliknya. Jika pemimpin membaca Al-Quran, rakyatnya juga akan suka padanya. Malah kata beliau, kambing yang busuk itu juga akan dicium sekiranya ia mendampingi Al-Quran!. Apa tidaknya, jika kambing itu disembelih, kulitnya dikeringkan dan tulis ayat-ayat Al-Quran. Dijadikan perhiasan dinding. Kulit yang asalnya busuk menjadi mulia, dibaca malah ada yang menciumnya.

Beliau juga memberi contoh golongan yang meninggalkan Al-Quran. Diakhir peperintahan Abassiyah, umat Islam telah mula leka dan melupakan Al-Quran. Kesannya, mereka telah dilanggar diserang oleh bangsa Monggol yang diketuai oleh Genggiz Khan. Dalam masa 8 hari sahaja, kira-kira 800 ribu umat Islam disembelih di Kota Baghdad.

6 jam sebelum majlis ini, saya menghadiri kursus E-Learning. Disebelah meja saya adalah ketua operasi kursus tersebut, Encik Isa. Sepanjang kursus ini, kami kerap bertukar-tukar pandangan tentang pengalaman kami. Beliau telah menceritakan pengalaman beliau semasa beliau berkursus di Amerika Syarikat. Semasa di sana, beliau telah dihampiri oleh seorang pendakwah kristian dan telah mengajak beliau berbicara tentang muslim sedunia. Antara pandangan rakan beliau itu adalah, "Muslim will never successes, because they read what they dont understand". Bagi Encik Isa, itu pandangan yang sangat 'rude' tapi mungkin ada kebenarannya.

Bila saya mendengar kisah beliau itu, rasa geram + marah yang meluap dalam hati saya. Rasanya hendak saya berdepan dengan orang yang bercakap sekasar itu. nak berdebat!. Sememangnya tidak dinafikan, kebanyakkan negara-negara Islam hari ini sangat lemah. Namun, kelemahan utama negara-negara Islam bukanlah berpunca dari mereka membaca Al-Quran. Kelemahan mereka adalah berpunca dari kurangnya usaha untuk membangunkan diri mereka sendiri.

Namun satu perkara yang jelas, surah-surah yang berusia lebih dari 1400 tahun itu sebenarnya mengandungi segala kehebatan ilmu. Surah-surah yang dicipta sendiri oleh Pencipta yang Maha Agung. Tiada yang setanding denganya. Malangnya, kita cuma mampu membaca tetapi tidak menghayatinya. Akibatnya kita tidak dapat mengamalkannya dalam mengurus dan mengatur kehidupan kita di dunia ini. Mungkin itu kelaziman kita yang dilihat sebagai kelehamahan oleh orang lain! Masa untuk berubah.

Saturday, September 22, 2007

Nurin

Ikhsan NST Online

Apabila membandingkan dua wajah Nurin di atas, hanya satu sahaja yang terbayang diminda saya, bagaimanakah penderitaan yang dihadapi oleh adik Nurin disaat-saat maut menghampiri beliau?. Apalah dosa anak kecil ini sehingga diperlakukan sehina itu. Teriang-iang di imiginasi saya betapa anak manis ini menangis, merayu dan menahan kesakitan yang dideritanya. Manusia jenis apa yang melakukkan kezaliman yang tidak berperikemanusiaan ini. Rasa sedih, geram dan marah bercampur-campur bila menonton Buletin Utama malam tadi.

Satu sahaja, saya bermohon kepada Allah dengan keberkatan Ramadhan ini agar Allah segera menghukum manusia dajal ini agar tiada lagi anak kecil terinaya oleh manusia yang terkutuk ini. Ameen.

Al-Fatihah buat Nurin Jazlin Jazimin.

Friday, August 31, 2007

Merdeka!


Sejak 1511, sejarah Malaysia telah berubah dengan begitu drastik. Dari sebuah semenanjung yang aman dan damai kepada penjarahan oleh satu bangsa ke satu bangsa yang lain. Kita sendiri pun tidak begitu pasti dengan sejarah kisah generasi yang lalu. Apakah bentuk kesengsaraan yang mereka alami selama mereka dijajah?

Bagaimana pula sekiranya tiada anak bangsa yang berusaha menetang penjarahan tersebut? Apakah hari ini kita akan berpeluang menikmati keamanan dan kemajuan yang ada pada hari ini?.

Bayangkan bagaimana kita diperintah dan dipecah mengikut keturunan dan bangsa. Orang Melayu tinggal di kampung dan bertani, orang Cina tinggal di bandar dan berniaga dan orang India tinggal di estet dan hidup dengan menoreh.

Jika kita belum merdeka, pasti ada peribumi yang meminta-minta di tanahair sendiri!.

Bagi saya pejuang kemerdekaan Malaysia telah melakukan suatu pengorbanan yang besar. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kerana usaha dan ihktiar yang kini menjadi sejarah yang berusia 50 tahun.

Thursday, August 16, 2007

Anak Didik

Saya masih ingat lagi guru-guru saya yang garang semasa saya di sekolah rendah dahulu. Masih segar dalam ingat saya bagaimana seorang guru lelaki telah merotan rakan saya gara-gara rakan saya mengusik seorang guru wanita kelas saya. Saya tidak tahu kenapa guru lelaki itu begitu marah terhadap rakan saya, tetapi saya sangat kesian terhadap rakan saya itu. Rakan saya dirotan di hadapan kelas dan saya rasa rakan saya itu terinaya. Pada saya, rakan saya itu bukanlah terlalu nakal dan dia tidak harus dihukum rotan di khalayak kelas.

Semasa saya menjadi guru di Sekolah Agama Menengah BESTARI di Subang Jaya, saya pernah mendengar seorang guru yang sangat dihormati pelajarnya. Walaupun guru itu seorang yang 'kaki merotan pelajar', namun pelajar redha dengan hukuman yang diberi oleh guru tersebut!. Biasanya guru ini akan memanggil pelajar yang bersalah. Beliau akan menggunakan konsep 'tarbiyyah' atau nasihat dan diakhir sesi tersebut, guru itu meminta izin kepada pelajar itu untuk dihukum!. Pastinya, bila pelajar itu sedar bahawa dia bersalah, dia dengan redha menadah tangan dan hukuman dilaksanakan. Pelajar keluar dari bilik guru dengan rasa insaf, walaupun kadang kala pelajar terlupa!.

Hari ini, saya masih dapat lihat konsep 'deraan' terhadap pelajar bersalah menjadi salah satu pilihan di sekolah-sekolah. Saya yakin, pilihan ini adalah pilihan yang terakhir setelah semua pilihan untuk mengubah sikap pelajar gagal dalam perlaksanaanya. Saya juga yakin, guru yang hendak melaksanakan hukuman dalam bentuk deraan itu telah menimbang semasak-masaknya implikasi terhadap tindakannya. Satu sahaja niat mereka, untuk menjadikan pelajar sebagai manusia yang lebih baik.

Namun, pandangan ibubapa hari ini sangat berbeza. Mereka mahukan pendekatan yang lebih ber'tamaddun' dan berhemah untuk mengubah sikap anak-anak mereka. Mereka berpendapat, kaedah pendidikan hari ini perlu berubah sepertimana berubahnya pendidikan di negara-negara maju. Jadi, segala bentuk 'deraan' untuk mengubah sikap pelajar bukan lagi kaedah yang sesuai pada hari ini. Adakah itu benar?

Seorang Pegawai atasan saya yang pernah bermastautin di Australia selama 2 tahun dan telah menyekolahkan anak-anaknya di sana. Beliau memberitahu saya bahawa pendidikan di sana lebih kepada praktikal. Contohnya, anaknya diajar bagaimana menanam sepokok bunga dan dia bertanggungjawab ke atas pokok itu sehinggalah pokok itu besar. Suasana pembelajarannya kondusif, tiada 'deraan' dan pelajar diberi kebebasan berfikir.

Baru-baru ini, beliau berpeluang ke Amerika Syarikat selama sebulan untuk mengikuti kursus pendidikan di sana. Di San Antonio, Texas. Beliau berpeluang mengikuti pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah menengah di sana. Ada kejutan besar semasa beliau di sana. Salah satu pemandangan yang mengejutkan beliau adalah melihat pelajar-pelajar wanita muda yang mengandung mengikuti kelas. Namun, bagi guru-guru dan para pelajar di sana, itu perkara biasa!.

Sukar sebenarnya untuk menjelaskan konsep pendidikan yang terbaik. Orang Jepun maju kerana displin yang tinggi tetapi orang Amerika maju kerana keterbukaan dan kebebasa pemikiran mereka. Di Malaysia, pertembungan dua konsep itu sentiasa membuatkan isu pendidikan sangat hangat dan menarik. Mungkinkah ada konsep pendidikan yang boleh diambil di antara orang Barat dan orang Timur jauh?

Sunday, July 22, 2007

Sakinah


Kerap kali saya melihat kelibat orang yang 'stress'. Tingkah lakunya yang tidak karuan, cakap-cakapnya yang bukan-bukan dan yang pastinya, jiwanya tidak karuan, tidak tenteram. Lebih menakutkan lagi bila tindak tanduknya menyebabkan orang lain yang terpaksa menanggungnya. Orang yang berada di sekitarnya cuba menjauhkan diri. Diplomasi bukan lagi pilihan terbaik.

Berlainan pula dengan orang yang mempunyai ketahanan mental yang tinggi. Walau apa pun ujian dan cubaan yang dihadapi. Senyuman adalah satu keutamaan dan tingkah lakunya langsung tidak menunjukkan ciri-ciri 'ganguan' kepada orang yang berhampiran dengannya. Orang ini ada karisma yang tinggi.

Pastinya individu yang sedemikian mempunyai latar belakang pengetahuan yang tinggi tentang tugas-tugasnya. Atas ketinggian ilmunya juga menyebabkan beliau berani bertanggungjawab atas amanah yang diberi kepadanya walau dalam keadaan genting sekalipun. Paling penting, beliau dapat memegang amanahnya dengan hati yang tenang. Hati yang penuh dengan 'sakinah'.

Bagi saya, bekerja dengan orang yang hatinya penuh dengan ketenangan itu satu perkara yang sangat bernilai. Cara mereka berkerja menambahkan lagi keyakinan dan meningkatkan lagi kefahaman terhadap tugas yang dilaksanakan.

Bekerja dengan orang yang mempunyai simpton-simptom yang saya sebut dalam perenggan pertama pula merupakan pengalaman yang banyak memberi keinsafan. Pastinya kita sentiasa selesa bekerja dengan 'diplomasi' sebagai makanan utama. Namun bila 'diplomasi' bukan lagi pilihan, kita terpaksa memilih diri kita sendiri. Motivasi diri sendiri, bersabar dan ingat Allah sebanyak-banyaknya. Saya selalu tak sabar-sabar nak menghabiskan peria yang pahit walaupun saya tahu, peria itu merupakan ubat yang sangat berguna.

Selain dari itu, wajah manis di 'wallpaper notebook' saya ini buat saya sentiasa tersenyum walaupun pahit peria sedang perlahan-lahan melalui anak tekak saya.

Thursday, June 14, 2007

Tangan

Masa saya kecil dulu, ada rakan sedarjah yang suka meramal masa depan saya dengan melihat tapak tangan saya. Mereka menepuk-nepuk, memicit-micit dan mengepak tapak tangan saya untuk melihat urat-urat yang dapat memberi mereka maklumat tentang masa depan saya. Seingat saya, berdasarkan ‘ahli nujum tapak tangan’, tiada tanda-tanda yang saya akan memiliki anak!. Alhamdulillah, setakat ini saya telah dikurniakan dengan cahaya mata. Memang lucu. Persoalannya, dari mana mereka dapat ilmu ‘baca tapak tangan’ ini?. Beriya-iya menelek, beriya-iya meramal! Agaknya, itulah mentality kanak-kanak yang belum mumayyiz!

Bila saya dah besar sikit, ada kawan saya bagitau tentang tapak tangan perempuan. Dia kata, ada makna bila tapak tangan perempuan nampak pucat atau kelihatan kemerah-merahan. Katanya ada kaitan dengan peratus jumlah darah dalam badan perempuan! Pasal peratus jumlah darah perempuan sentiasa berubah!. =)

Semasa bercuti di Terengganu yang lalu, saya tergerak untuk merakam beberapa gambar ‘tangan’. Ada yang diambil secara sengaja dan ada juga secara tidak sengaja. Namun, bila saya perhatikan betul-betul gambar tangan itu, saya dapati ada sesuatu yang kita boleh pelajari. Tekstur, pigment, bentuk tangan itu sendiri mencerminkan sesuatu tentang empunya!

Gambar ini memang segaja saya ambil bila tekong kapal yang membawa kami mencandat sotong sedang berehat. Lihat pada kedut, bonjolan urat dan warna gelap kulit tangannya. Pada saya, itu adalah gambaran betapa jerihnya hidup sebagai seorang nelayan. Bekerja keras setiap hari walaupun tahu, rezeki tidak selalunya ada.

Gambar ini pula saya ambil dengan kerjasama seorang pakcik yang menjual batu cincin yang dibuat dari kayu. Lokasinya, Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu. Pakcik nie ‘talkative’ sikit. Segala jenis kayu dia tahu. Bukan setakat fizikal kayu tetapi rahsia alam mengenainya juga. Gambar menunjukkan beliau sedang mengasah sejenis kayu untuk dijadi batu cincin. Ada ciri-ciri kesungguhan yang tinggi. Namun, ada yang boleh saya percaya, tapi bila masuk bab mistik, saya cuma angguk-anggukkan kepala!.
Masa kami sekeluarga melawat Arfa Batik di Kuala Terengganu, ada demonstrasi melukis batik. Memang menarik. Cantiknya lukisan batik secantik pelukisnya. Penuh dengan ketelitian dan kesenian. Bagaimana lembutnya tangan yang melukis begitu juga lembutnya lukisan yang dihasilkan. Saya rasa, itu tangan anak dara!
Ini gambar tangan orang yang sentiasa ‘curious’. Dah selalu tonton Discovery, ini peluang melihat sendiri rupabentuk ‘Jaws’ meskipun ‘Jaws’ ini masih kecil lagi. Kecil-kecil cili api, kecil-kecil lagi rahangnya dah berceragah! Jerung ini ditangkap semasa kami mencandat sotong. Gambar tangan isteri saya sedang mengepak rahang anak jerung yang telah dipancing oleh bapanya sendiri!.

Wednesday, June 06, 2007

Negeri Cantik

Setelah sekian lama bercita-cita untuk menjejakkan kaki ke Terengganu, akhirnya cita-cita itu dimakbulkan Allah pada 1 Jun yang lalu. Bersama keluarga berkampung di salah sebuah rumah rehat di Seberang Takir selama 3 hari. Perjalanan yang sangat jauh lagi berliku sememangnya memenatkan. Namun, keindahan negeri Terengganu ini buat kami lupa semua itu.

Objektif utama bercuti di Terengganu adalah untuk mengalami sendiri pengalaman 'mencandat sotong'. Sememangnya pengalaman mencandat sotong ini sangat menyeronokkan cuma bagi kami yang tiada pengalaman ini, mencandat sotong ini merupakan sesuatu aktiviti yang memenatkan. Walaupun hasil yang kami perolehi tidak seberapa tetapi kami bersyukur dan gembira dengan pengalaman yang telah kami lalui. Satu yang jelas, menjadi nelayan itu bukan satu tugas yang mudah. Adakalanya, nelayan akan pulang dengan tangan kosong. Kesian.

Selain mencandat, membeli belah juga merupakan aktiviti utama semasa di sana. Kalau tak silap saya, kami pergi ke Pasar Kedai Payang sebanyak 3 kali! Sememangnya barang-barang di sana buat kita rambang mata. Cuma hajat kita selalu terbantut, bila poket kita sudah semakin nipis.

Selain dari itu, yang menarik di Terengganu adalah makanan lautnya yang 'fresh'. Memang tak dapat dinafikan, keropok lekor di Terengganu lebih sedap dari yang ada di pasar malam di Seri Manjung nie! Paling sedap makan keropok lekor adalah di Pantai Teluk Ketapang. Boleh kata semua gerai tepi laut menyediakan keropok lekor. Selain keropok lekor, ikan, sotong, udang yang digoreng tepung juga dijual. Memang tak menang tangan peniaga kat situ. Sememangnya sedap dimakan panas-panas sambil di tiup hembusan angin petang Laut China Selatan. Best!

Semasa saya berada di majlis suai kenal SMAP Kajang dulu, seorang sahabat saya dari Terengganu memperkenalkan dirinya dan diakhir ucapannya, beliau mengambarkan Terengganu dengan ungkapan "Negeri cantik, Budaya menarik". Bagi sesiapa yang belum sampai ke Terengganu lagi, cuba lawat negari nie. Pasti berbaloi!

Thursday, May 24, 2007

DSLR

Setelah sekian lama cemburu dan teruja melihat gambar-gambar yang unik dari beberapa fotopages, akhirnya saya berpeluang membuka langkah pertama untuk mendapatkan gambar-gambar yang hebat juga. Saya dah ada DSLR baru.

Saya mula bersemangat untuk mendapatkan DSLR semenjak saya berkursus di Australia. Keinginan merakamkan gambar yang menarik dan bermakna meluap-luap bila mula menjejakkan kaki di bumi Kanggaroo itu.

Pada ketika itu saya hanya mempunyai kamera digital jenis Olympus Stylus V dengan 5 megapixel. Kamera digital yang sangat comel!. Sehinggakan apabila saya meminta OZ mengambil gambar saya dan rakan, pasti mereka kagum dengan kamera saya dan berkata "Are you from Japan?". Agaknya, sapa mata sepet dengan 'gadget' yang canggih semuanya dari Jepun!.

Setiap hari adalah hari bergambar bagi saya di Australia. Pemandangan, rakan-rakan, kanak-kanak, bangunan dan sebangainya. Semuanya menjadi objek lensa kamera comel saya!.

Namun, setelah saya membelek-belek gambar yang saya lihat dalam internet terutama sekali di dalam fotopages, saya dapati gambar yang saya hasilkan mempunyai beberapa kelemahan.

Setelah membuat pemmerhatian dan pembacaan saya dapati ada dua faktor utama yang mambantu untuk menghasilkan gambar yang hebat selain 'akal' manusia, Photoshop dan DSLR!,

Semenjak itu saya berazam untuk mendalami kedua-dua ilmu berkaitan dengan Photoshop dan DSLR. Alhamdulillah, saya dah mula menguasai Photoshop beberapa bulan dahulu dan sedang mendalaminya lagi.

DSLR pula saya hanya membuka laman web jenama terkenal seperti Canon dan Nikon. Membaca dari forum-forum yang berkaitan DSLR, melanggan majalah Digital Camera dan membuat perbandingan dari beberapa fotopages. Akhirnya pada cuti dua bulan lepas, saya telah membuat pelaburan terbesar dengan membeli DSLR jenama Nikon, D80.

Setakat ini hasilnya belum memuaskan dan masih banyak lagi benda yang hendak dipelajari! InsyaAllah saya akan berusaha untuk menghasilkan gambar-gambar yang indah dan kreatif . Peluang untuk saya meneroka ilmu baru.

Tuesday, April 24, 2007

Hari ANZAC

Esok, seluruh rakyat Australia akan menyambut Hari ANZAC. Hari yang sungguh bermakna bagi Australia. Hari di mana setiap OZ memperingati pahlawan yang telah terkorban mempertahankan maruah negara mereka. Pahlawan yang terdiri dari bapa, datuk, sanak saudara mereka. Esok juga, mereka dengan semangat patriotik yang tinggi berarak di jalan-jalan seluruh Australia dan sesetengahnya menyematkan pingat-pingat kepunyaan bapa, datuk, sanak suadara di sebelah kanan dada mereka. Berjalan, berarak dengan penuh bangga.
Baca:
1. ANZAC Day

Thursday, April 05, 2007

Gigi dan Ubat Gigi

Seingat saya, masa-masa di USM dulu adalah masa yang paling indah bagi gigi-gigi saya. Sepanjang berada di sana, gigi saya selalu dimanjakan. Saya tidak pernah gagal memenuh rutin bertemu doktor gigi setiap 6 bulan di Klinik Gigi di USM, berdekatan dengan Desa Gemilang. Disamping displin menjagaan gigi yang teratur, seingat saya tak pernah saya mengalami masalah gigi yang serius.

Bila saya berkhidmat sebagai guru di Subang Jaya, kesibukkan bekerja buat rutin itu sudah mula tidak teratur dan saya sudah mengalami masalah gigi berlubang. Bila saya mengadu kepada rakan sekerja, beliau berkata, "Itula tanda ko dah tua!".

Saya tersenyum dan saya faham sekarang, salah satu simptom penuaan adalah bila kita merasa gigi kita sedang mereput. Segera saya membuat temujanji dengan sebuah klinik gigi swasta di USJ5. Namun, kali ini saya harus mengeluarkan duit sendiri. Doktor gigi saya kali ini adalah seorang doktor gigi wanita berbangsa Singh. Saya masih ingat lagi pujian beliau bila pertama kali dia menganalisa gigi saya, "Cantik gigi awak!".

Menolak kata-kata kawan saya dan menterjemahkan kata-kata doktor gigi itu, jelaslah saya sebenarnya masih muda lagi ketika itu. Ha.. ha.. Kawan saya cemburu!!.

Sejak berkhidmat dengan ATM (semasa di KTU, TUDM Alor Setar), kebajikan gigi saya lebih terpelihara. Lebih-lebih lagi Doktor gigi adalah rakan saya. Mudah sangat saya nak buat temujanji dan pastinya percuma!.

Cuma semalam, saya makan terlalu banyak 'muruku' dan malamnya saya rasa gusi saya mula berdenyut-denyut. Terus sahaja saya pergi ke sebuah kedai runcit selepas solat Isyak. Diberinya saya satu paket kuning yang mengandungi dua pil. Bila saya bertanya, bagaimana nak guna ubat ini, tuan kedai itu menjawab, "Masuk dalam mulut la, takkan dalam teliga!".

Satu jawapan yang saya rasa disampaikan oleh orang yang tak pandai berniaga!. Begang + malu + marah dan lain-lain lagi. Rasanya macam jahil sangat saya tentang ubat sakit gigi tersebut. Saya cuba 'cover' malu di hadapan pelanggan lain dengan berkata, "Saya ingat letak kat gigi yang sakit!". Terus membayar dan berlalu dari situ dengan perasaan yang bercampur-campur.

"Tak boleh ke dia bagi penerangan yang lebih sopan!, ini la standard peniaga kat Malaysia, masa aku kat Australia...... bla... bla... " antara rungutan hati saya dalam kereta sebelum sampai ke rumah!.

Namun, bila saya fikir balik. Fikir dalam-dalam. Satu yang jelas, sehingga hari ini, baru pertama kali saya membeli ubat sakit gigi. Saya bukanlah teruk sangat kerana saya tak tahu nak guna ubat sakit gigi. Saya tak tahu guna ubat sakit gigi kerana saya telah menjaga gigi-gigi saya dengan baik selama ini. Syabas untuk diri saya sendiri!!.

Pagi tadi buat temujanji dengan doktor gigi, jam 1200 saya jumpa Kapt. Dr. Siti Mariam, doktor gigi baru di Hospital Angkatan Tentera, TLDM Lumut. Memang ada gusi yang bengkak dan Alhamdulillah, ketika ini saya rasa tenang kerana gigi saya telah dimanjakan lagi.

Wednesday, March 21, 2007

Cikgu di Pendalaman

Berita malam tadi ada menyiarkan sedutan Sidang Parlimen hari ini. Dalam sedutan itu, seorang YB dari Sabah telah berhujah dengan menyatakan ramai guru yang datang ke Sabah tetapi sedikit yang mahu berkhidmat di pendalaman Sabah. Pada ketika yang sama juga ada YB lain yang menyampuk. "Sarawak pun sama!". YB dari Sabah itu menyifatkan kawasan pendalaman Sabah sebagai 'Lubuk Hantu' merujuk kepada keengganan guru-guru berkhidmat di pendalaman Sabah.

Seorang rakan guru saya ada menceritakan tentang pengalaman seorang guru yang berkhidmat di pendalaman Sarawak. Guru itu terpaksa menggunakan pengangkutan air selama satu hari dan berhenti rehat di sebuah kampung. Keesokannya pula beliau terpaksa menyambung perjalannanya selama separuh hari dan kemudian terpaksa melalui denai hutan kira-kira 3 km untuk sampai ke sekolahnya. Memang mencabar betul dan pastinya menuntut pengorbanan yang tinggi.

Inilah di antara punca ramai guru yang tidak mahu masuk ke pendalaman. Pengorbanan yang terlalu mahal bagi guru-guru hari ini.

Saya pernah terbaca sebuah artikel tentang konsep pendidikan di pulau-pulau yang bertaburan di sekitar Indonesia. Dikatakan, walaupun pulau-pulau itu berjauhan dari kota besar Indonesia, namun mereka masih lagi boleh berkomunikasi dengan kota-kota besar kerana adanya teknologi komunikasi yang menggunakan sistem satelit. Teknologi ini telah lama digunakan sejak pemerintahan Sukarno lagi. Walaupun berjauhan, namun pelajar dan pendidik yang jauh masih mampu mendapat maklumat terkini dan juga mampu berhubung dengan keluarga yang tersayang.

Di Malaysia, saya lihat teknologi komunikasi hari ini jauh lebih baik dari negara-negara yang membangun lain. Kita boleh menonton berpuluh rancangan pilihan dengan melanggan satu stesyen TV sahaja. Kita juga telah menonton iklan orang kuning yang ada di merata Malaysia dan boleh serah tugas kat orang hitam, biru dan lain-lain lagi bila kita pergi keluar negara. Kita juga lihat konsert-konsert besar yang melalaikan ditaja oleh syarikat telekomunikasi. Hati-hati, adakalanya anda mungkin berada di wilayah sebuah syarikat telekomunikasi!. Ini semua menunjukkan bahawa, syarikat telekomunikasi di Malaysia mewah-mewah dan mempunyai liputan yang meluas.

Ironinya, kemewahan dan keluasan liputan ini tidak dapat meringankan beban warga pendidik kita yang meredah segala cabaran semata-mata untuk menyampaikan ilmu kepada manusia yang daif di pendalaman Malaysia.

Apalah sangat jika syarikat telekomunikasi menaja sistem komunikasi sekolah-sekolah di pendalaman. Membangunkan sistem sidang video dan rancangan TV pendidikan yang boleh ditonton oleh pelajar yang tinggal di pendalaman. Guru yang berkhidmat di pendalaman juga tidak begitu terasing sekiranya mereka mampu berkomunikasi dengan orang tersayang dengan teknologi yang ada.

Ini semua bukan satu pelaburan yang menguntungkan bagi syarikat telekomunikasi tetapi sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial dan manfaat kepada masyarakat yang tinggal di pendalaman Malaysia. Ini kerana, ilmu itu dapat mengeluarkan manusia dari kejahilan.

Saturday, February 24, 2007

Kena Tag

Terima kasih banyak-banyak kat Sherrina pasal tag saya (awat la hang tag saya!). Buat saya berfikir berkali-kali apa yang saya nak tulis tentang 6 perkara 'weird' tentang diri saya. Saya rasa perkara pelik tentang diri saya adalah;
  1. Bila saya bersalam/berjabat tangan dengan orang lain, saya suka gengam dengan erat, lihat anak mata orang yang bersalam dengan saya dan tersenyum. Bila ada orang salam saya sambil lewa, cuma hulur tangan tapi wajahnya ke arah lain, ini buat saya kadang kala hangin tahap ringan!
  2. Waktu makan adalah waktu ketenangan bagi saya. Menikmati makanan sama ada sedap atau sebaliknya. Perkara yang buat saya tak tenang waktu makan adalah apabila ada orang yang terlalu mengkritik atau bising-bising pasal makanan di hadapan saya. Boleh hilang selera saya, tapi biasanya saya buat pekak je!
  3. Saya tak suka dengar bunyi tapak kasut yang diseret. Bunyi yang dihasilkan oleh orang yang berjalan gaya malas!
  4. Saya suka menonton filem perang, sama ada peperangan moden atau klasik! tapi tak suka tengok filem perang ala-ala Rambo!. Apa yang buat saya benar-benar tertarik adalah strategi pertempuran dan ikhtiar manusia dalam filem itu. 5 bintang untuk filem Enemy at the Gates.
  5. Sangat suka pada tempat yang sejuk, walaupun tinggal di Seri Manjung (dikatakan sebagai tempat kedua terpanas di Malaysia... memang panas pun kat sini!). Perkara yang saya buat bila berada di tempat sejuk adalah bersukan (addict!). Semasa di Australia dulu, hampir setiap malam beriadah di gym dan pulun main ping pong waktu siang. Seronok bila berpeluh dalam persekitaran yang sejuk!
  6. Saya sangat suka main Sudoku!

Ada lagi, tapi cukup la 6 yang ter'weird'. Dengan saya tak de sapa yang nak kena tag! Pasal saya malas nak follow up! Occay, sambung kerja balik!

Thursday, February 22, 2007

Cuti Tahun Baru

Tidak banyak yang dapat dibuat cuti Tahun Baru Cina yang panjang ini selain menghadiri kenduri kahwin sepupu-sepupu dan menyiapkan tugasan-tugasan yang semakin bertambah. Ya Allah ya tuhan kami, permudahkan urusan kami di dunia dan di akhirat, Ameen.

Thursday, February 15, 2007

Guru yang Mengajar Membaca

Semasa saya mengambil Kursus Perguruan Lepasan Ijazah dulu, ada seorang pensyarah saya bercerita tentang pengalaman seorang guru yang mengajar di kawasan pendalaman Negeri Perak. Guru ini merupakan guru sandaran (guru yang tidak mempunyai latihan perguruan) yang di hantar ke pendalaman Perak untuk mengajar anak-anak orang asli.

Setelah setahun beliau berkhidmat di sekolah itu, beliau mendapati masalah utama pelajar di sekolah itu adalah membaca. Sehingga sudah menduduki tingkatan 1 pun, masih terdapat ramai pelajar yang tidak boleh membaca. Atas rasa simpati, beliau telah meminta kebenaran dari pengetuanya untuk mengadakan kelas tambahan hanya untuk mendidik pelajarnya 'membaca'.

Namun setelah menggunakan beberapa kaedah, para pelajarnya masih lagi gagal membaca dengan lancar. Namun beliau tidak pernah berputus asa kerana beliau berpendapat, dengan membaca, pemikiran manusia akan lebih terbuka. Membaca juga mangangkat martabat manusia dari kejahilan kepada manusia yang berilmu.

Pastinya doa guru yang mempunyai rasa simpati dan kesungguhan untuk menjadikan orang lain lebih baik akan dimakbulkan. Setelah beberapa lama membuat pemerhatian, beliau mendapati para pelajarnya mempunyai kecenderungan menyanyi yang tinggi. Walaupun anak-anak orang asli ini tinggal di pendalaman, tapi mereka dapat menyanyi dengan baik lagu-lagu 'Siti Nurhaliza'. Namun, bila disuruh membaca lirik lagu tersebut, mereka gagal melakukannya. Dari sinilah guru itu mendapat satu idea untuk membantu para pelajarnya membaca, Menyanyi sambil Membaca.

Beliau telah memecahkan lirik lagu 'Siti' kepada patah-patah perkataan;

Be-ta-pa ku cin-ta pa-da mu,
Ka-ta-kan-lah kau cin-ta pa-da ku, .....

Sambil pelajarnya menyanyi sambil melihat ejaan bagi setiap sebutan. Ejaan dalam bentuk patah-patan perkataan yang ringkas. Beliau terus membuat latihan demi latihan.

Dalam beberapa bulan beliau telah melihat hasilnya, ramai pelajarnya sudah mula boleh membaca dengan baik. Betapa puas hatinya melihat para pelajarnya sudah bijak membaca.

Sebenarnya, ini adalah salah satu cerita-cerita hebat dari guru-guru yang mengajar di pendalam Malaysia. Mereka menggunakan segala ikhtiar untuk menjadikan manusia yang ada disekelilingnya membesar dengan ilmu di dada. Ilmu yang dapat mengubah pemikiran dan persepsi tentang hidup.

Pucuk pangkalnya adalah rasa simpati dan kesungguhan untuk mendidik manusia lain. Walau apa pun rintangan yang ada, ia tidak dapat menyekat hati seorang guru yang ikhlas. Guru yang mengambil masa berhari untuk sampai ke sekolah pendalaman, Guru yang terpaksa mengajar di sekolah usang, Guru yang berhadapan dengan pelajar yang sangat lemah dan Guru yang terpaksa meninggalkan orang-orang yang tersayang untuk berbakti kepada anak bangsa.

p/s: Siapa tengok laporan khas di TV3 malam tadi dan semalam? cerita pasal guru di pendalaman Malaysia. Kesian mereka, berhari nak sampai ke sekolah dan terpaksa makan pucuk kayu dan ulam untuk terus hidup. Ada juga yang terpaksa berenang nak kesekolah. Buat cikgu yang menangis tu, tabahkan hati. Allah pasti memberi ganjaran yang sewajarnya di syurga nanti, InsyaAllah.

Thursday, February 01, 2007

Snorkeling di Pulau Pangkor

Walaupun saya dah hampir setahun setengah berkhidmat di Lumut, ini pertama kali saya ke Pulau Pangkor. Kesempatan cuti umum digunakan sepenuhnya untuk meneroka seluruh Pulau Pangkor. Diakhir jalan-jalan, kami telah pergi ke Pulau Giam untuk menyelam sambil bagi ikan makan!. Lepas nie, tahu mana nak pergi kalau orang ajak saya ke Pulau Pangkor!

Tambang feri pergi/balik RM 10.00 + tambang van pakej 'round island' RM 10.00 (sebuah van = RM 50.00) + tambang bot ke Pulau Giam dan sewa peralatan snorkeling RM 15.00 + Makan nasi beriani RM 5.50 = Pengalaman yang tak ternilai!

Monday, January 29, 2007

Tuesday, January 23, 2007

Wad 5 : Pediatrik

Pertama kali saya tidur di hospital kira-kira 12 tahun dahulu. Semasa saya berada ditahun satu di USM. Saya terpaksa menjaga adik saya yang patah tulang lengannya akibat bermain palang besi di taman permainan. Saya tidur di lantai Wad Orthopedik, Hospital Kelang lebih kurang seminggu dan saya melihat berbagai keadaan manusia yang mengalami kemalangan yang berkaitan dengan 'patah tulang'. Paling mengerikan ialah seorang mat motor yang patah rahang gigi bawahnya. Beliau di pasangkan besi sokongan di kepalanya dan tidak mampu bergerak mahupun berkata-kata.

Menariknya saya bertemu dengan seorang pakcik yang mengalami kemalangan jalanraya. Vannya remuk dan tulangnya patah dan terpaksa dibuang sedikit. Pehanya dipasangkan besi sokongan yang boleh digerakkan sedikit demi sedikit. Ini kerana sifat tulang yang boleh berkembang semula membina semula tulang pakcik itu. Pakcik tu beritahu, tulangnya akan mencapai panjang asal semula selepas 6 bulan!

Lebih menarik lagi, ramai doktor praktikal (wanita) yang merawat adik saya! Cuma masa itu saya masih lagi seorang pemalu.

Kini saya bertemu jodoh dengan seorang Pegawai Perubatan. Kerap sangat saya tidur di Wad Obstetrik dan Ganekologi, wad yang biasanya dipenuhi dengan kaum Hawa. Biasanya menemankan isteri saya yang bertugas sebagai Pegawai Atas Panggilan (OnCall) sambil membantu menidurkan anak. Sudah menjadi kebiasaan bagi halwa telinga saya mendengar keriau dan tangisan pertama manusia yang baru menyedut udara planet bumi ini. Tangisan manusia pertama manusia setelah berjanji menerima tanggungjawab yang besar dari Allah.

Pada petang 1 Muharram yang lalu, saya membawa anak saya untuk ujian darah setelah dua hari demam. Hasilnya, kandungan platletnya rendah dari tahap normal (150). Kandungan platletnya cuma 79. Ini bermakna anak saya terpaksa ditahan di hospital. Kena tidur kat hospital lagi!. Menemankan anak yang suspek kena denggi. Bermalam di Wad 5, Wad Pediatrik atau Wad Kanak-Kanak.

Jika saya diberi peluang untuk menjadi Doktor, saya akan pilih untuk menjadi Doktor Kanak-Kanak. Di wad ini terdapat satu ruang di mana terdapat kerusi dan meja skala kanak-kanak. Ruang untuk kanak-kanak ini bergembira sesama mereka. Keceriaan mereka buat saya seronok nak tinggal di wad ini.

Walaupun mereka itu nampak ceria tetapi Allah sahaja yang tahu betapa takutnya mereka untuk masuk ke 'Bilik Rawatan'. Bilik yang digunakan oleh doktor di situ untuk mencucuk saluran vena mereka untuk mengambil sampel darah. Untuk anak saya, setiap 6 jam!. Rasa nak marah doktor yang ambil darah anak saya. Namun, yang saya mampu adalah melihat sahaja. Sayu hati melihat anak menangis dan teriak kesakitan apabila jarum dicucuk dan darah disedut keluar dari tubuhnya. Mereka berusaha untuk kebaikan anak saya. Sesuatu harus dikorbankan.

Selama lima hari di Wad 5, berbagai pengalaman yang saya lihat. Seorang kanak-kanak yang mengidap penyakit asma berbangsa Cina bersama ibunya. Berusia dalam lingkungan 4 tahun tetapi sudah fasih berbahasa Melayu. "Esok, saya akan keluar. Awak tidak akan jumpa saya lagi pada waktu petang". Tersenyum saya melihat keramahan beliau.

Wad ini juga dipenuhi dengan gambar lukisan kanak-kanak. Lukisan hasil dari bekas pesakit yang pernah menginap di wad ini. Kebosanan menjadikan mereka lebih kreatif, lebih berimiginasi. Serius, selama tidur di Wad 5 meneman anak saya, saya hanya bermimpi dengan kanak-kanak sahaja!. Kenangan yang sungguh bermakna.

Esok saya mula berkerja semula, bersibuk-sibuk semula setelah dua hari cuti kecemasan. Cuti untuk anak tersayang yang telah memutuskan segala kesibukan dunia dan menjadi hamba yang sangat berharap kepada Penciptanya. Syukur Alhamdulillah, Nabilah sudah semakin sembuh.

Friday, January 05, 2007

Selamat Tahun Baru 2007

Ingin di hati nak tengok bunga api bersama keluarga dari Grand Season Hotel, tapi pukul 11.00 malam semua dah tertidur. Apa-apa pun, Selamat Tahun Baru 2007. Azam tahun lepas sudah terlaksana?