Perang Salib telah mendedahkan Eropah kepada pelbagai perkembangan baru dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Di antara kesan yang besar adalah perubahan dalam cara hidup.
Apabila tentera salib kembali ke Eropah, mereka tidak lagi mempraktikkan cara hidup mereka yang lama sebelum mereka mengembara ke Timur dahulu, bahkan mereka kembali membawa budi pekerti yang baru, ilmu pengetahuan yang baru dan cara pemikiran yang baru dan lebih daripada itu mereka kini telah biasa dengan cara hidup suka bersiar-siar dan berlayar. Batasan-batasan hidup bercucuk tanam tidak lagi menjadi penghalang di hadapan mereka. Masyarakat Barat kini merantau ke seluruh pelosok rantau Eropah untuk menyebarkan pemikiran baru.
Perang salib juga telah mencelikkan mata Eropah dari segi sosial. Ferguson dan Bruun dalam buku A Survey of European Civilization menyifatkannya sebagai perangsang kepada kebangkitan ekonomi, sosialdan kehidupan kebudayaan masyarakat Eropah Barat. Banyak kejayaan orang Arab dibawa ke Eropah. Menurut Ferguson, mereka yang kembali dari medan pertempuran berfikir terbuka dan mempunyai idea-idea baru. Angka-angka Arab, Ilmu Arab algebra, ubat-ubar bedil dan kompas dari dunia Islam juga digunakan dalam kehidupan Barat. Selain daripada itu, cara berpakaian, makanan, persekolahan dan pengurusan rumah sakit juga ditiru dari Timur. Hingga ke hari ini dalam perbendaharaan kata bangsa Eropah banyak terdapat perkataan Arab atau yang berasal dari Arab. Perang Salib juga menggalakkan suatu minat baru dalam pelayaran dan penerokaan di Timur.
Selain daripada ini, pentadbiran rumah sakit yang teratur di Barat yang mendapat ilham dari Timur mula dilksanakan. Dalam abad ke-12, telah wujud beberapa rumah sakit dan klinik di Eropah, terutamanya rumah kuarantin bagi penyakit yang mudah berjangkit, sehingga boleh dikatakan setiap rumah sakit Eropah yang didirikan itu adalah mengikut rupa seni bina yang berada di Syria.
Orang Barat juga tertarik hati dengan pakaian orang Islam. Mereka telah meninggalkan pakaian Eropah dan berpakaian dengan fesyen-fesyen pakaian kebangsaan Islam, yang menurut mereka lebih merehatkan pemakainya. Bangsa Eropah juga lebih suka memilih tempat kediaman mereka dengan binaan ala Timur dengan hiasan yang indah-indah seperti dewan yang luas dan kolam air yang airnya mengalir.
Dipetik dari: Sejarah Eropah, Sivachandralingam Sundara Raja. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Terbitan Pertama 2002.
No comments:
Post a Comment