Tuesday, January 23, 2007

Wad 5 : Pediatrik

Pertama kali saya tidur di hospital kira-kira 12 tahun dahulu. Semasa saya berada ditahun satu di USM. Saya terpaksa menjaga adik saya yang patah tulang lengannya akibat bermain palang besi di taman permainan. Saya tidur di lantai Wad Orthopedik, Hospital Kelang lebih kurang seminggu dan saya melihat berbagai keadaan manusia yang mengalami kemalangan yang berkaitan dengan 'patah tulang'. Paling mengerikan ialah seorang mat motor yang patah rahang gigi bawahnya. Beliau di pasangkan besi sokongan di kepalanya dan tidak mampu bergerak mahupun berkata-kata.

Menariknya saya bertemu dengan seorang pakcik yang mengalami kemalangan jalanraya. Vannya remuk dan tulangnya patah dan terpaksa dibuang sedikit. Pehanya dipasangkan besi sokongan yang boleh digerakkan sedikit demi sedikit. Ini kerana sifat tulang yang boleh berkembang semula membina semula tulang pakcik itu. Pakcik tu beritahu, tulangnya akan mencapai panjang asal semula selepas 6 bulan!

Lebih menarik lagi, ramai doktor praktikal (wanita) yang merawat adik saya! Cuma masa itu saya masih lagi seorang pemalu.

Kini saya bertemu jodoh dengan seorang Pegawai Perubatan. Kerap sangat saya tidur di Wad Obstetrik dan Ganekologi, wad yang biasanya dipenuhi dengan kaum Hawa. Biasanya menemankan isteri saya yang bertugas sebagai Pegawai Atas Panggilan (OnCall) sambil membantu menidurkan anak. Sudah menjadi kebiasaan bagi halwa telinga saya mendengar keriau dan tangisan pertama manusia yang baru menyedut udara planet bumi ini. Tangisan manusia pertama manusia setelah berjanji menerima tanggungjawab yang besar dari Allah.

Pada petang 1 Muharram yang lalu, saya membawa anak saya untuk ujian darah setelah dua hari demam. Hasilnya, kandungan platletnya rendah dari tahap normal (150). Kandungan platletnya cuma 79. Ini bermakna anak saya terpaksa ditahan di hospital. Kena tidur kat hospital lagi!. Menemankan anak yang suspek kena denggi. Bermalam di Wad 5, Wad Pediatrik atau Wad Kanak-Kanak.

Jika saya diberi peluang untuk menjadi Doktor, saya akan pilih untuk menjadi Doktor Kanak-Kanak. Di wad ini terdapat satu ruang di mana terdapat kerusi dan meja skala kanak-kanak. Ruang untuk kanak-kanak ini bergembira sesama mereka. Keceriaan mereka buat saya seronok nak tinggal di wad ini.

Walaupun mereka itu nampak ceria tetapi Allah sahaja yang tahu betapa takutnya mereka untuk masuk ke 'Bilik Rawatan'. Bilik yang digunakan oleh doktor di situ untuk mencucuk saluran vena mereka untuk mengambil sampel darah. Untuk anak saya, setiap 6 jam!. Rasa nak marah doktor yang ambil darah anak saya. Namun, yang saya mampu adalah melihat sahaja. Sayu hati melihat anak menangis dan teriak kesakitan apabila jarum dicucuk dan darah disedut keluar dari tubuhnya. Mereka berusaha untuk kebaikan anak saya. Sesuatu harus dikorbankan.

Selama lima hari di Wad 5, berbagai pengalaman yang saya lihat. Seorang kanak-kanak yang mengidap penyakit asma berbangsa Cina bersama ibunya. Berusia dalam lingkungan 4 tahun tetapi sudah fasih berbahasa Melayu. "Esok, saya akan keluar. Awak tidak akan jumpa saya lagi pada waktu petang". Tersenyum saya melihat keramahan beliau.

Wad ini juga dipenuhi dengan gambar lukisan kanak-kanak. Lukisan hasil dari bekas pesakit yang pernah menginap di wad ini. Kebosanan menjadikan mereka lebih kreatif, lebih berimiginasi. Serius, selama tidur di Wad 5 meneman anak saya, saya hanya bermimpi dengan kanak-kanak sahaja!. Kenangan yang sungguh bermakna.

Esok saya mula berkerja semula, bersibuk-sibuk semula setelah dua hari cuti kecemasan. Cuti untuk anak tersayang yang telah memutuskan segala kesibukan dunia dan menjadi hamba yang sangat berharap kepada Penciptanya. Syukur Alhamdulillah, Nabilah sudah semakin sembuh.

4 comments:

begtanganbiru said...

alhamdulillah,
anak cikgu dah sihat.
dulu pun pernah lalui pengalaman yang sama, 2 orang adik suspect denggi.
mujur tak degil makan ubat, lepas 2 hari dah boleh balik rumah.
baru2 ni mak pula demam, bila klinik kesihatan refer kat GH dia tak nak pergi pulak. penghabisannya baik sendiri..:)

Amir Azmi said...

Alhamdulillah anak cikgu dah sembuh. Masa sakit dulu, mak cikgu nasihat buat sup ketam dan mak mertua cikgu buatkan sup ketam untuk cucu dia. Alhamdulillah anak cikgu selera sedikit makan sup ketam. Pasal makanan lain di langsung tak nak jamah!

Tak tau la kat mana nyamuk tu gigit, sebab kat area cikgu tak de kes denggi. Yang adanya di Bangi, pasal makciknya baru lepas baik dari demam denggi dan kami pun 2 minggu lepas ada lawat dia!

Hasnul Efendi Md Yusof said...

Cikgu2..sy terbaca comment cikgu kat blog tuan tanah pasal buku digital..ada tak reference or URL tmpt yg leh sy d.load buku2 digital ni n dia nye buku2 updated tak..which means yg baru2 ke macam mana...??

Amir Azmi said...

Apa yang saya maksudkan dalam blog TT tu bukannya buku digital sebaliknya pengetahuan itu lebih bermakna jika ia dipraktikkan.

Buku hari ini cuma rujukan sahaja, tapi yang lebih utama bagi saya adalah pelaksanaanya atau lebih tepat lagi mengamalkan ilmu yang diperolehi dari buku itu!

Maafkan saya, saya tidak pasti dimana nak dapat buku digital, lebih lebih lagi yang buku-buku yang terbaru kerana saya tidak bermaksud untuk bercakap tentang buku digital dalam blog TT.

Bagi saya, saya suka surf internet dan membaca maklumat terkini!