Tuesday, April 29, 2008

Hari TLDM

Hari Ahad yang lepas merupakan Hari Tentera Laut DiRaja Malaysia yang ke-74. Kesempatan ini digunakan sepenuhnya untuk merakamkan acara yang penuh gemilang. Namun, pergerakkan agak terbatas tidak sepertimana jurugambar yang dikhaskan untuk acara ini. Gambar yang dihasilkan kebanyakkan adalah sudut-sudut dari bangku di astaka utama. Lagi gambar di fotopages saya. Bila kaji-kaji balik gambar yang diambil, rasa tak sabar nak dapatkan lens tele, lens yang boleh ambil gambar jarak jauh! Tak tahu bila boleh dapat!.

KD Hang Tuah

Friday, April 25, 2008

Takut

Sudah lebih sembilan tahun saya mengajar Matematik, ada satu perkara yang menarik tentang pelajar-pelajar saya. Perkara tersebut adalah 'ketakutan' menjawab soalan Matematik. Bunyinya macam lucu tapi itulah kenyataannya.

Apa yang saya nyatakan di atas berlaku di kalangan segelintir dari para pelajar saya. Namun, tingkahlaku tersebut sememangnya merencatkan penyerapan ilmu matematik ke dalam otak mereka.

Kerap kali saya melihat sebilangan pelajar yang mula termenung melihat papan putih tanpa menyentuh mata pena mereka ke atas kertas jawapan. "Adakah mereka sedang membaca Matematik?". "Matematik boleh dibaca ke?".

Bila ditanya "kenapa tak buat lagi?", jawapan lazim yang diberi adalah "saya sedang cuba nak paham" atau diam dan tersengih.

Antara nasihat yang selalu saya beri, "kita kena cuba dulu, salah kalau tak cuba!". Bagi saya orang yang mencuba tetapi tidak berjaya lebih mulia dari orang yang hanya termenung melihat papan putih dan tersengih bila ditegur!.

Kita kena cuba agar kita kenal siapa diri kita dan apabila kita kenal diri kita, InsyaAllah kita mampu memandu diri kita ke arah kejayaan!. Berani menghadapai 'ketakutan'.

Macam cogankata kasut terkenal, belajar Matematik kena 'just do it'!!

Sunday, April 20, 2008

Sombong

Di zaman pemerintahan Saidina Umar, empat orang sahabat Nabi Muhammad telah datang kepada Amirul Mukminin untuk mengadu hal. Mereka adalah Bilal bin Rabbah, Saad bin Abi Waqas, Salman Al-Farisi dan Abu Sufyan, bangsawan Arab yang sangat terkenal.

Apabila Saidina Umar membuka pintunya untuk tetamunya, beliau memanggil Bilal dahulu, setelah selesai urusannya dengan Bilal beliau memanggil Saad dan seterusnya Salman Al-Farisi. Akhir sekali adalah Abu Sufyan.

Dalam diam, Abu Sufyan berasa marah kerana beliau adalah orang yang terakhir dipanggil dan terpaksa menunggu lama. Padahal seluruh tanah Arab tahu bahawa beliau adalah dari golongan bangsawan yang kaya lagi mulia di tanah Arab pada ketika itu.

Setelah bertemu Saidina Umar, Abu Sufyan telah mengadu halnya kepada Saidina Ali. "Mengapa Bilal si hamba yang hitam itu terlebih dahulu dipanggil oleh Umar? Tidakkah Umar mengetahui bahawa akulah yang lebih mulia? Saidina Ali menjawab, "Semasa Israk Mikraj Nabi Muhammad ke langit, Rasulullah terdengar bunyi tapak kaki". Rasulullah bertanya kepada Jibrail, "Bunyi tapak kaki siapakah itu wahai Jibrail". Jibrail menjawab, "Itulah bunyi tapak kaki Bilal di dalam Syurga".

Dengan tenang Saidina Ali bertanya Abu Sufyan, "Adakah Rasulullah mendengar bunyi tapak kaki mu wahai sahabatku". Abu Sufyan hanya mampu mengelengkan kepala. "Sebab itu Bilal lebih mulia dari kamu!". Saidina Ali menambah.

"Bagaimana pula dengan dengan Saad bin Abi Waqas, bukahkah di cuma seorang anak kepada hamba?" kata Abu Sufyan yang masih tidak berpuashati dengan Saidina Umar. Saidina Ali berkata, "Takkala ibu Saad mengetahui tentang pengislaman Saad, ibunya telah berasa malu dan memberi tahu Saad yang beliau tidak makan dan minum sehinggalah beliau meninggalkan ajaran Nabi Muhammad". Saidina Ali menyambung, "Pada hari keempat, Ibu Saad sudah nazak dan sekali lagi mengugut Saad". Saad menjawab,"Wahai ibuku, sekiranya ibu mempunyai 1000 nyawa sekali pun, dan setiap kali dicabut, saya tetap tidak akan meninggalkan Islam".

Saidina Ali bertanya kepada Abu Sufyan, "Adakah kamu mengalami apa yang dialami oleh Saad bin Abi Waqas?". Abu Sufyan berkata, "Tidak".

"Salman Al-Farisi! bukankan beliau cuma pendatang dari tanah Parsi?". Tanya Abu Sufyan yang masih belum berpuashati.

Saidina Ali bercerita, "Sebelum Salman memeluk Islam dan tinggal ditanahairnya, beliau berkawan dengan seorang pendeta Yahudi, Pendeta itu memeberitahu Salman, akan lahir seorang nabi selepas Nabi Isa bernama Ahmad".

Dalam pencarian untuk bertemu Nabi Muhammad, Salman bertemu lagi dengan seorang pendeta Yahudi. Kali ini pendeta yahudi itu memberi tahu Salman tentang lahirnya seorang yang mengaku nabi di tanah Arab. Pendeta itu menambah, "Nabi ini tidak menerima sedekah tetapi menerima hadiah dan di belakang badannya terdapat tanda kerasulannya, tanda yang bertulis, 'Khatamul Ambia'".

Lalu Salman Al-Farisi telah pergi ke Mekah dan setibanya di Mekah, beliau melihat nabi Muhammad sedang mengajar para sahabat. Di akhir pengajaran, Salman telah berjumpa nabi Muhammad dan memberi sedikit sedekah. Nabi Muhammad menerimanya dan mempelawa sahabat lain makan pemberian Salman tanpa disentuh sedikit pun.

Pada keesokkan harinya, Salman sekali lagi melakukan perkara yang sama, tapi kali ini disebut sebagai hadiah. Lalu Nabi Muhammad mempelawa semua sahabat makan bersamanya.

Melihat hal yang demikian, tanpa berlengah lagi, Salman terus ke belakang Nabi, menyingkap bajunya dan terus beliau mencium tanda kerasulan yang terdapat dibelakang badan Nabi Muhammad. Rasulullah berkata, "Siapa yang mencium tubuhku, beliau telah mencium bau syurga".

Saidina Ali bertanya kepada Abu Sufyan, "Pernahkah engkau mencium bau syurga?". Abu Sufyan hanya mampu menundukkan kepalanya. Kini tahulah dia bahawa, keturunan dan hartanya tidak sekali-kali meletakkannya tinggi disisi Allah. Allah hanya melihat keimanan dan ketakwaan manusia.

Sebenarnya tidak ada apa yang hendak dibanggakan dengan keturunan, harta yang ada pada manusia kerana diakhir hayat nanti manusia hanya mampu membawa kain kafan untuk membalut tubuhnya. Iman dan takwa sahajalah bekal yang benar-benar bersama kita di alam barzakh.

Mati adalah pasti, hidup! InsyaAllah.

Kuliah maghrib,
Masjid Datuk Seri Kamaruddin.