Saturday, August 26, 2006

Belayar ke Pulau Langkawi

Ini sebenarnya entry yang terlewat, terlewat seminggu kerana menyelesaikan tugas-tugas harian. Minggu lepas, hari Jumaat, lebih kurang 3 petang, para Pegawai/jurulatih dari KD Pelandok dan beberapa orang Pensyarah UTM berserta para pelatih Semester I bagi Diploma Teknologi Marin (DTM) telah belayar ke Langkawi. Kami belayar menggunakan kapal MV Fajar Samudera dan mengadakan seminar tentang DTM sepanjang pelayaran kami ke Pulau Langkawi. Gambar di atas menunjukkan Kapten kapal sedang memberi taklimat keselamatan, sebaik sahaja kapal meninggalkan pelabuahan TLDM Lumut.
Bergambar bersama sebahagian Pensyarah UTM yang mengikuti pelayaran. Semua nampak tenang dipermulaan pelayaran, tapi sebelah malam dan awal pagi ramai yang dah terkapar atas katil. Mabok laut! Saya pun rasa nak mabok walaupun dah telah pil mabuk laut, tapi di tahan-tahan juga. Alhamdulillah sepanjang pelayaran tidak ada perkara buruk yang berlaku. Perjalanan dari Lumut ke Langkawi mengambil masa 18 jam.
Lebih kurang jam 10 pagi hari Sabtu, kami semua selamat mendarat di Pulau Langkawi. Apa nak difikir lagi, Shopping la jawapannya! Walaupun saya ini bukan Shopaholic, tapi sedar tak sedar saya telah menghabiskan hampir RM 200.00 kat pulau yang ada burung Helang Laut terbesar kat dunia.
Rakan-rakan sedang memilih kain batik. Memang susah kalau shopping dengan perempuan. Terutama perempuan yang terlalu teliti. Macam mana corak bunga pada kain batik yang paling cantik sekali? saya mengambil masa 2-3 jam untuk mencari jawapan itu. Penat shopping, makan laksa dan pekena cendol pulut kat pekan Kuah nie. Saya cuma beli sedikit cenderahati untuk isteri dan anak dan coklat-coklat mahal yang murah!
Salah sebuah pulau yang terdapat sekitar Pulau Langkawi. Kapal belayar balik setelah menamatkan pemburuan barang-barang tanpa cukai. Kami bertolak balik ke Lumut lebih kurang jam 6 petang. Duduk di hadapan kapal ini sampai lihat-lihat pulau di sekeliling Pulau Langkawi dan sembang-sembang tentang hasil buruan pada hari itu!
Melihat salah satu ciptaan Allah. Melihat matahari jatuh di sebelah petang. Jika diizinkan Allah, teringin nak belayar lagi dengan kapal Navy!
Sebuah mesin pemecah kebosanan di dewan makan. Mesin Juke Box ini sahajalah yang dapat menghiburkan kami setelah semua stesen radio dan isyarat telepon dah takde kat tengah-tengah Selat Melaka. Namun, Jukebox ini hanya akan berbunyi setelah menelan duit syiling 50 sen. Alhamdulillah, kami selamat tiba di Pelabuhan TLDM Lumut pada pukul 10 pagi hari Ahad. Walaupun saya telah beberapa kali sampai ke Pulau Langkawi, lawatan kali ini sangat unik. Pengalaman yang sangat bermakna.

Thursday, August 17, 2006

Happy Birthday Nabilah

Selamat Hari Lahir yang Pertama
Papa dan Mama sayang Humaira' Nabilah.

Saturday, August 12, 2006

Orang Niaga

"Kejayaan usahawan banyak dipengaruhi genetik yang membezakannya dengan profesion lain. Ini menyebabkan bukan semua individu secocok dengan identiti dan sifat semula jadi seorang usahawan. Sebab itu, majoriti penduduk dunia lebih senang bekerja di pejabat mulai pukul 9 pagi dan pulang 5 petang berbanding kerjaya seorang usahawan yang terpaksa bekerja lebih masa." menurut Donald Trump yang baru-baru ini membuat sidang video di sebuah forum di Kuala Lumpur.

Beliau percaya setiap usahawan mempunyai kesamaan dalam kod genetik yang menyebabkan mereka menjadi manusia yang mempunyai daya ketahanan yang tinggi dalam menghadapi cabaran yang besar dalam dunia perniagaan.

Beliau menambah, "Usahawan yang rasa selesa dengan bidang tersebut akan mempunyai sifat semula jadi tidak akan mudah putus asa, tidak cepat mengalah dan sentiasa bersemangat walaupun mengalami kegagalan."

Baginya, faktor utama yang menyebabkan usahawan gagal ialah apabila mereka kehilangan momentum.

Hari ini saya terbaca tentang sebuah rencana dalam Berita Harian Online tentang usahawan muda yang sedang menempa nama di Malaysia iaitu Ali Hassan Mohd Hassan, Pengarah Urusan Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd.

Memetik kata-katanya dalam rencana itu, "Buat sesuatu dengan bersungguh dan selebihnya berserah kepada takdir. Tetapi setiap yang dibuat mesti disertai dengan niat yang betul, dan jangan sekali-kali tinggal sembahyang lima waktu kerana itu adalah tunjang hidup, serta bersedekah dan jangan abaikan kedua ibu-bapa."

Menurut rencana ini juga, Ali Hassan merupakan penyumbang zakat yang kedua terbesar di negeri Johor selepas Tabung Haji.

Beliau menambah, "Berniaga dalam bidang runcit bukan dibuat dengan membuta tuli, tapi kena kaji pasaran dan fahami keperluan masyarakat."

Di akhir rencana itu beliau menyatakan, "Bila sudah sampai masa saya, saya tidak mahu pegang walaupun seringgit, dan yang ada bukan lagi milik saya, kerana harta itu akan ditanya di akhirat kelak, dan berat tanggungannya bagi seorang insan."

Apa yang jelas antara dua petikan rencana di atas adalah, usahawan mempunyai jati diri yang tinggi. Terbina dalam diri mereka sikap pejuang yang tidak pernah mengenal putus asa dan hidup mereka dipandu oleh matlamat untuk berjaya yang jelas.

Namun, yang membezakan usahawan yang beriman adalah matlamat hidup yang lebih jelas. Dunia hanyalah jambatan untuk ke akhirat. Dunia tidak pernah terlekat dalam hatinya. Menjadi orang yang cemerlang di dunia untuk mendapat kecemerlangan di akhirat.

Monday, August 07, 2006

Bahasa Mat Saleh

Semasa saya kecil dulu, saya ada mendengar kisah-kisah tentang Bahasa Inggeris yang diadaptasikan ke dalam Bahasa Melayu. Di antaranya;

Asal perkataan Ronggeng; Di zaman pemerintahan Belanda di Indonesia, terdapat ramai pejuang Indonesia yang dipenjarakan bersama di dalam bilik kurungan. Jangka masa tahanan yang terlalu lama membuat mereka merasa bosan dan mereka telah menari untuk menghiburkan diri yang kebosanan. Apabila ada pelawat yang datang melihat tahanan ini, penjaga penjara itu akan memberitahu pelawat itu "This is wrong gang" kepada kumpulan tahanan yang sedang menari untuk mengatasi kebosanan, dalam telo Belanda!

Asal perkataan Mat Saleh; Perkataan asalnya dikatakan dari perkataan mad sailor. Apabila kapal-kapal dagang Eropah berlabuh di Tanah Melayu, maka dapat dilihat kelasi-kelasi yang dalam keadaan mabuk turun dari kapal. Bila orang tempatan bertanya, maka di jawabnya oleh rakannya "They are a mad sailors". Faham orang tempatan, mad sailor itu Mat Saleh!

Betapa manusia perlukan ilmu untuk mengelakkan kejahilan. Ini adalah sebahagian dari set induksi saya!. Bagi pelajar yang mula layu diawal pagi.

Hari ini saya ditakdirkan untuk menjadi tenaga pengajar Bahasa Inggeris. Ironinya, Bahasa Inggeris merupakan beban kepada saya di zaman persekolahan dulu. Satu perkara yang saya nak ucap di sini buat guru-guru Bahasa Inggeris saya, "Minta halal segala ilmu Bahasa Inggeris yang cikgu-cikgu sampaikan kepada saya".