Thursday, September 28, 2006

Halalan Thoiyibah

Salah satu iklan daging halal semasa menuntut di DITC
Semasa berkursus di Australia dulu, seorang rakan telah bertanya tentang halal. Kenapa orang Islam perlu makan makanan yang perlu di sembelih terlebih dahulu?. Saya memberitahu beliau yang itu adalah 'obligation', tuntutan agama Islam untuk umatnya makan makanan yang di yakini bersih.

Beliau kemudiannya meminta saya menjelaskan tentang makanan yang bersih. Saya telah menjelaskan kepada beliau bahawa penyembelihan itu sebenarnya adalah proses mengeluarkan darah dari tubuh haiwan ternakan. Mengeluarkan darah keseluruhannya. Itu berlaku apabila urat utama yang menyambungkan jantung dan otak dipotong.

Jantung terus mengepam darah tetapi darah tidak sampai ke otak. Maka haiwan itu mati dengan darah yang keluar dari tubuh dan otak yang tidak merasa kesakitan akibat dari sembelihan.

Kemudiannya saya bertanya beliau, adakah beliau tahu yang di dalam darah itu mengandungi bakteria dan kuman berbahaya?. Beliau mengakui bahawa sememangnya darah merupakan tempat yang sesuai untuk pembiakan kuman di dalam tubuh haiwan.

Walaupun penerangan saya itu cuma ringkas tetapi saya tidak menyangka yang pandangan saya itu di terima oleh rakan saya sepenuhnya. Semenjak penerangan saya itu, rakan saya lebih berselera memakan makanan yang halal. Beliau mengakui, kini beliau takut untuk makan daging dari haiwan yang tidak disembelih atas alasan kesihatan.

Apapun alasan beliau, saya rasa sangat gembira kerana kefahaman saya tentang Islam yang sedikit ini telah memberi manfaat kepada orang lain yang bukan beragama Islam. Mudah-mudahan dapat saya menjalankan ibadah Ramadhan di bumi Kanggaroo ini suatu hari nanti. Mudah-mudahan Allah membukakan hatinya untuk menerima cahaya Islam. Ameen.

Sunday, September 24, 2006

Monday, September 18, 2006

Gempur Wira

Di suatu petang, di dalam kedai kopi di simpang empat itu kelihatan beberapa orang warga emas yang kelihatan serius membincangkan sesuatu, sekali-sekala terdengar gelak tawa yang terhasil dari perbincangan serius itu.

Di bawah pokok Ketapang di sebelah kedai kopi tadi kelihatan sekumpulan anak muda yang sedang 'lepak-lepak'. Ada yang membelek 'kapcai', ada yang bermain-main asap rokok sambil sembang-sembang kosong. Menunggu-nunggu anak dara atau cikgu sekolah pulang petang!

Dari kejauhan, kelihatan sekumpulan anak-anak kecil yang baru pulang dari mengaji sekolah petang. Bahu mereka senget sebelah akibat bebanan ilmu yang dikendong. Namun itu semua tidak dapat menafikan bibir mereka dari terus tersenyum, ketawa sepanjang perjalanan pulang ke rumah bersama rakan-rakan.

Berapakah nilai senyuman dan gelak-tawa itu jika kedaulatan tanah air ini diinjak-injak dan dirampas?

Selamat Hari Angkatan Tentera yang ke-73.

Sunday, September 10, 2006

Perang Saraf

Saya percaya ramai orang Melayu pernah mendengar kisah Mat Jenin. Kisah angan-angan seorang anak kampung yang akhirnya membawa bencana kepada dirinya. Jatuh dari pokok kelapa yang tinggi kerana berangan-angan untuk memeluk puteri Raja setelah menjadi jutawan.

Satu perkara yang menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini, siapa yang sebenarnya mengetahui apa yang di angan-angankan oleh Mat Jenin di atas pokok kelapa tersebut? Beliau jatuh dari pokok kelapa tanpa sempat menceritakan kisah angan-angan beliau kepada sesiapa.

Padahal, angan-angan Mat Jenin itu satu wawasan yang besar, bermodalkan upah memetik kelapa, beliau membeli telur ayam. Dari telur ayam kepada menternak ayam dan seterusnya kambing, lembu sehingga mampu menjadi jutawan dan mengahwini puteri Raja.

Wawasan yang jelas tentang masa depan tetapi digambarkan sebagai sesuatu yang negatif dan menjadi taboo kepada masyarakat Melayu. Sehinggakan orang Melayu lama tidak mampu berfikiran jauh kerana ianya adalah perkara (berfikiran ke hadapan) yang sia-sia sepertimana sia-sianya Mat Jenin yang terkorban di pangkal pokok kelapa.

Saya percaya, itu semuanya adalah Perang Saraf yang telah lama dilancarkan oleh Penjajah Inggeris terhadap orang Melayu. Serangan yang merosakkan pemikiran dari satu generasi ke generasi seterusnya. Serangan yang membunuh pemikiran maju dan membina pemikiran mundur dalam pemikiran orang kita agar mudah diperintah.

Malang bagi J. W. W Birch yang kurang faham tentang agama, bangsa dan adat orang Melayu. Beliau terbunuh kerana yakin mampu berperang secara terbuka dengan agama, bangsa dan adat orang Melayu. Bak kata Laksamana Melayu dahulu, "Digantung aku tinggi, dibakar aku hangus, dicincang aku lumat. Namun, mengadai maruah bangsaku, tidak sekali-kali".

Walaupun Residen Negeri Perak yang pertama itu telah lama mati dilembing Siputum, generasi penjajah selepas itu jauh lebih busuk dan melancarkan serangan saraf yang merosakkan pemikiran dari satu generasi ke generasi seterusnya. Pemikiran bangsa mereput sedikit demi sedikit.

Dalam ketidaktentuan generasi kita hari ini, seragan saraf itu tetap diteruskan dengan menggunakan kaedah yang lebih halus lagi menjijikkan!

Tuesday, September 05, 2006

Ilmu dan Amal

Seingat saya semasa di dalam darjah dua, saya pernah dihukum oleh guru duduk di bawah meja guru sepanjang pengajaran. Tanpa pernah pertanya, "kenapa saya di hukum sebegini?", saya akur dengan perintah guru tersebut sehinggalah pengajaran beliau tamat.

Hari ini bila saya mengajar Matematik. Ada sahaja soalan lazim dari pelajar saya, "kenapa saya kena belajar pelajaran ini? ada kaitan ker dengan kehidupan?" . Saya cuma jawab dengan satu jawapan lazim, "Memang tak der kaitan dengan kehidupan, tapi Matematik mendidik kamu jadi orang yang tabah!". Pastinya anda akan menjadi manusia yang tabah dengan melakukan sesuatu yang sukar dalam dunia ini tanpa matlamat. Saya pernah melakukannya!

Semasa saya berkhidmat di TUDM Alor Setar, saya pernah berbual dengan seorang juruterbang. Beliau menceritakan betapa beliau sentiasa 'baran' terhadap Pegawai jurutera pesawat sebaik sahaja mendarat. Satu yang jelas, Pegawai Jurutera tersebut tidak mampu menjelaskan apakah masalah yang telah berlaku pada pesawat tersebut.

Satu ketika, beliau telah menghadapi hari-hari tidak gembira semasa penerbangannya, lalu seperti biasa beliau mencari Pegawai jurutera pesawat yang bertanggungjawab ke atas pesawatnya. Hari itu, hari bertuah baginya, Pegawai jurutera ini lain dari yang lain, jurutera ini telah mengarahkan juruteknik mengambil beberapa 'bacaan' dari pesawat dan seterusnya membuat pengiraan. Hasil dari pengiraan tersebut, beliau mendapati peningkatan haba yang tinggi pada enjin pesawat telah menyebabkan enjin tidak dapat berkerja 100%. Beliau turut menjelaskan bagaimana pengiraan itu dilakukan!

Siapa kata belajar Matematik tiada kaitan dengan kehidupan? Dengan belajar Matematik, anda akan jadi orang yang tabah, berilmu dan memberi manfaat kepada orang lain.

Minggu lepas, ada perjumpaan dengan Pegawai Memerintah KD PELANDOK. Saya sangat tertarik dengan ucaptama PM berkenaan, 'Keharmonian di antara pendidikan dan latihan'. Beliau mengambil contoh sistem pendidikan yang terdapat di German dan Jepun yang mengadunkan sistem pendidikan mereka sekata di antara pendidikan dan latihan. Melahirkan generasi yang lebih optimis, kreatif dan yang paling utama, bermatlamat. Mereka tahu, kenapa mereka harus belajar dan bagaimana ilmu yang diperolehi itu nanti mampu memberi manfaat kenapa diri mereka sendiri dan orang lain.

Satu yang jelas bagi saya, untuk jadi orang yang berilmu, kita harus jadikan ilmu itu 'hidup'. Ilmu itu hidup bila kita mengamalkannya.