Saturday, February 24, 2007

Kena Tag

Terima kasih banyak-banyak kat Sherrina pasal tag saya (awat la hang tag saya!). Buat saya berfikir berkali-kali apa yang saya nak tulis tentang 6 perkara 'weird' tentang diri saya. Saya rasa perkara pelik tentang diri saya adalah;
  1. Bila saya bersalam/berjabat tangan dengan orang lain, saya suka gengam dengan erat, lihat anak mata orang yang bersalam dengan saya dan tersenyum. Bila ada orang salam saya sambil lewa, cuma hulur tangan tapi wajahnya ke arah lain, ini buat saya kadang kala hangin tahap ringan!
  2. Waktu makan adalah waktu ketenangan bagi saya. Menikmati makanan sama ada sedap atau sebaliknya. Perkara yang buat saya tak tenang waktu makan adalah apabila ada orang yang terlalu mengkritik atau bising-bising pasal makanan di hadapan saya. Boleh hilang selera saya, tapi biasanya saya buat pekak je!
  3. Saya tak suka dengar bunyi tapak kasut yang diseret. Bunyi yang dihasilkan oleh orang yang berjalan gaya malas!
  4. Saya suka menonton filem perang, sama ada peperangan moden atau klasik! tapi tak suka tengok filem perang ala-ala Rambo!. Apa yang buat saya benar-benar tertarik adalah strategi pertempuran dan ikhtiar manusia dalam filem itu. 5 bintang untuk filem Enemy at the Gates.
  5. Sangat suka pada tempat yang sejuk, walaupun tinggal di Seri Manjung (dikatakan sebagai tempat kedua terpanas di Malaysia... memang panas pun kat sini!). Perkara yang saya buat bila berada di tempat sejuk adalah bersukan (addict!). Semasa di Australia dulu, hampir setiap malam beriadah di gym dan pulun main ping pong waktu siang. Seronok bila berpeluh dalam persekitaran yang sejuk!
  6. Saya sangat suka main Sudoku!

Ada lagi, tapi cukup la 6 yang ter'weird'. Dengan saya tak de sapa yang nak kena tag! Pasal saya malas nak follow up! Occay, sambung kerja balik!

Thursday, February 22, 2007

Cuti Tahun Baru

Tidak banyak yang dapat dibuat cuti Tahun Baru Cina yang panjang ini selain menghadiri kenduri kahwin sepupu-sepupu dan menyiapkan tugasan-tugasan yang semakin bertambah. Ya Allah ya tuhan kami, permudahkan urusan kami di dunia dan di akhirat, Ameen.

Thursday, February 15, 2007

Guru yang Mengajar Membaca

Semasa saya mengambil Kursus Perguruan Lepasan Ijazah dulu, ada seorang pensyarah saya bercerita tentang pengalaman seorang guru yang mengajar di kawasan pendalaman Negeri Perak. Guru ini merupakan guru sandaran (guru yang tidak mempunyai latihan perguruan) yang di hantar ke pendalaman Perak untuk mengajar anak-anak orang asli.

Setelah setahun beliau berkhidmat di sekolah itu, beliau mendapati masalah utama pelajar di sekolah itu adalah membaca. Sehingga sudah menduduki tingkatan 1 pun, masih terdapat ramai pelajar yang tidak boleh membaca. Atas rasa simpati, beliau telah meminta kebenaran dari pengetuanya untuk mengadakan kelas tambahan hanya untuk mendidik pelajarnya 'membaca'.

Namun setelah menggunakan beberapa kaedah, para pelajarnya masih lagi gagal membaca dengan lancar. Namun beliau tidak pernah berputus asa kerana beliau berpendapat, dengan membaca, pemikiran manusia akan lebih terbuka. Membaca juga mangangkat martabat manusia dari kejahilan kepada manusia yang berilmu.

Pastinya doa guru yang mempunyai rasa simpati dan kesungguhan untuk menjadikan orang lain lebih baik akan dimakbulkan. Setelah beberapa lama membuat pemerhatian, beliau mendapati para pelajarnya mempunyai kecenderungan menyanyi yang tinggi. Walaupun anak-anak orang asli ini tinggal di pendalaman, tapi mereka dapat menyanyi dengan baik lagu-lagu 'Siti Nurhaliza'. Namun, bila disuruh membaca lirik lagu tersebut, mereka gagal melakukannya. Dari sinilah guru itu mendapat satu idea untuk membantu para pelajarnya membaca, Menyanyi sambil Membaca.

Beliau telah memecahkan lirik lagu 'Siti' kepada patah-patah perkataan;

Be-ta-pa ku cin-ta pa-da mu,
Ka-ta-kan-lah kau cin-ta pa-da ku, .....

Sambil pelajarnya menyanyi sambil melihat ejaan bagi setiap sebutan. Ejaan dalam bentuk patah-patan perkataan yang ringkas. Beliau terus membuat latihan demi latihan.

Dalam beberapa bulan beliau telah melihat hasilnya, ramai pelajarnya sudah mula boleh membaca dengan baik. Betapa puas hatinya melihat para pelajarnya sudah bijak membaca.

Sebenarnya, ini adalah salah satu cerita-cerita hebat dari guru-guru yang mengajar di pendalam Malaysia. Mereka menggunakan segala ikhtiar untuk menjadikan manusia yang ada disekelilingnya membesar dengan ilmu di dada. Ilmu yang dapat mengubah pemikiran dan persepsi tentang hidup.

Pucuk pangkalnya adalah rasa simpati dan kesungguhan untuk mendidik manusia lain. Walau apa pun rintangan yang ada, ia tidak dapat menyekat hati seorang guru yang ikhlas. Guru yang mengambil masa berhari untuk sampai ke sekolah pendalaman, Guru yang terpaksa mengajar di sekolah usang, Guru yang berhadapan dengan pelajar yang sangat lemah dan Guru yang terpaksa meninggalkan orang-orang yang tersayang untuk berbakti kepada anak bangsa.

p/s: Siapa tengok laporan khas di TV3 malam tadi dan semalam? cerita pasal guru di pendalaman Malaysia. Kesian mereka, berhari nak sampai ke sekolah dan terpaksa makan pucuk kayu dan ulam untuk terus hidup. Ada juga yang terpaksa berenang nak kesekolah. Buat cikgu yang menangis tu, tabahkan hati. Allah pasti memberi ganjaran yang sewajarnya di syurga nanti, InsyaAllah.

Thursday, February 01, 2007

Snorkeling di Pulau Pangkor

Walaupun saya dah hampir setahun setengah berkhidmat di Lumut, ini pertama kali saya ke Pulau Pangkor. Kesempatan cuti umum digunakan sepenuhnya untuk meneroka seluruh Pulau Pangkor. Diakhir jalan-jalan, kami telah pergi ke Pulau Giam untuk menyelam sambil bagi ikan makan!. Lepas nie, tahu mana nak pergi kalau orang ajak saya ke Pulau Pangkor!

Tambang feri pergi/balik RM 10.00 + tambang van pakej 'round island' RM 10.00 (sebuah van = RM 50.00) + tambang bot ke Pulau Giam dan sewa peralatan snorkeling RM 15.00 + Makan nasi beriani RM 5.50 = Pengalaman yang tak ternilai!