Tuesday, January 24, 2017

Hari ke 10 - Penuntut Thai

Perbezaan paling ketara antara penuntut Malaysia dan Thailand adalah kedudukan Bahasa Inggeris di negara masing-masing. Di Malaysia, bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua dan digunakan secara meluas dalam kehidupan harian rakyat Malaysia. Dari sistem pendidikan, hiburan (radio dan TV), kewartawanan (surat khabar, majalah) dan pelbagai lagi. Ini juga disebabkan oleh kerana Malaysia pernah dijajah oleh British.

Bagaimana pula bahasa Perancis, Jepun dan sebagainya yang dikategorikan sebagai Bahasa Asing di Malaysia? Bahasa asing sememangnya asing di Malaysia. Hanya mereka yang mempelajarinya di pusat pengajian tinggi atau keperluan belajar untuk ke negara-negara asing tersebut. Fenomena ini sebenarnya sama seperti orang Thailand yang belajar Bahasa Inggeris. Di negara mereka, Bahasa Inggeris diiktiraf sebagai bahasa asing. Sistem pendidikan mereka tidak menyediakan mata pelajaran Bahasa Inggeris, filem luar negara (Inggeris) yang di alihsuara ke bahasa Thai, tiada suratkhabar Inggeris dan sebagainya. Mudah kata, tiada keperluan untuk orang Thai belajar bahasa Inggeris. 

Apa motivasi yang mengerakkan mereka (orang Thai) belajar Bahasa Inggeris? 

Petang tadi saya berkesempatan berjogging mengelilingi pangkalan ini kerana cuaca yang sangat cantik. Walaupun panas terik tetapi bayu angin yang sangat sejuk bertiup sepanjang larian saya. Selesai larian, terus ke mess pegawai untuk makan malam dan di sana, duduk  di sebelah saya adalah Lt May dari Thailand, rakan sekelas. Bermula dengan perbualan berkaitan kelas sehinggalah kepada cerita bagaimana Lt May belajar bahasa Inggeris. Kisahnya sangat menarik!

Beliau bermula belajar bahasa Inggeris pada usia 9 tahun. Apakah yang mendorong beliau minat kepada bahasa Inggeris? Mengkagumkan, beliau menyatakan bahawa semasa beliau masih kecil, beliau lebih suka kepada buku cerita bahasa Inggeris kerana buku-buku itu lebih banyak warna dan lukisan berbanding buku cerita bahasa Thai yang agak membosankan. Sejak dari itu, beliau cuba menguasai bahasa Inggeris secara 'sendirian' untuk memahami apakah cerita dari buku-buku cerita yang pernuh warna dan gambar itu.

Di sekolah pula, bahasa Inggeris hanya diajar secara sambilan. Guru sukan sekolah rendahnya diarahkan untuk mengajar bahasa Inggeris. Kebanyakan rakan-rakannya tidak berminat tetapi dia sangat teruja. Setiap kali gurunya masuk kelas dan berkata, "How many students in this class?", Lt May akan menjadi orang pertama untuk memberi jawapan. "Forthy-five, Sir!" walaupun dia bukan ketua kelas!. Ia berlaku setiap kali guru Ingggerisnya masuk ke kelas untuk memulakan pelajaran bahasa Inggeris.

Suatu ketika, gurunya memaklumkan bahawa, jika semua pelajar hadir jawab dengan 'Nil' bila disoal, "Anybody absent in this class today?". Lt May akan pertama sekali mengangkat tangan untuk menyatakan "Nil". Ini adalah asas motivasi kepada beliau untuk menguasai bahasa Inggeris. Motivasi yang sekecil menyebutkan bilangan di dalam bahasa Inggeris.

Hari ini, beliau merupakan pegawai latih bahasa Inggeris kepada Tentera Udara Thailand yang sangat hebat. Kisah perjalanan hidup dalam menguasai bahasa Inggeris sungguh memberi inspirasi. Mungkin kisah yang sangat bermakna bagi anak-anak Malaysia yang telah diberi peluang belajar bahasa Inggeris sejak darjah 1!.


No comments: