Wednesday, October 26, 2005

Lagu Kebangsaan Perancis

En. Nardin dan En. Micheal

Hari terakhir kelas Bahasa Perancis diakhiri dengan Mr. Nardin memberikan sedikit cenderahati kepada para pelajarnya. Beliau memberikan kami peta Perancis dan lirik lagu Kebangsaan Perancis. Cenderahati itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang diidam-idamkan dari Mr. Nardin. Bagi saya, ilmu yang disampaikan dan persahabatan yang dijalin itu sudah cukup menjadi kenang-kenangan seumur hidup saya.

Selepas itu beliau bercerita tentang bagaimana lagu Kebangsaan Perancis dicipta. La Marseillaise di cipta oleh seorang Pegawai Tentera Perancis berpangkat Kapten dari Kor Jurutera. Beliau adalah Claude-Joseph Rouget de Lisle. Lagu ini digubah pada 24 April 1792.

Semasa beliau berkhidmat di Strasbourg dalam kempen menentang Austria, beliau telah menghadiri satu majlis untuk meraikan tentera yang baru pulang dari medan pertempuran. Majlis itu juga dihadiri oleh Datuk Bandar Strasbourg. Pertemuan Datuk Bandar Strasbourg dan Kapten Rouget de Lisle telah membuahkan idea untuk menghasilkan sebuah lagu kawad untuk Tentera Perancis. Pada petang itu juga beliau telah mengarang sebuah lagu yang kemudiannya menyebabkan beliau menjadi seorang negarawan yang terunggul.

Pada mulanya lagu itu dinamakan dengan 'Lagu Perang Tentera dari Rhine' dan di tujukan kepada Marshal Luckner, Pegawai Memerintah tentera itu. Lagu ini kemudiannya sangat terkenal di selatan Perancis. Pada Jun 1792, sebuah Batalian Pasukan Sukarela dari Marseillaise telah menyanyikan lagu itu dengan penuh semangat apabila memasuki Kota Raya Paris. Nyanyian yang penuh semangat itu telah menaikkan semangat kebangsaan dikalangan masyarakat Paris ketika itu. Semenjak dari itu, La Marseillaise menjadi lagu Kebangsaan orang Perancis.

Cuma yang menarik tentang hadiah ini adalah simboliknya. Cenderahati yang diberikan itu sangat ringkas tapi bagi saya, ia memberi makna nilai kecintaan kepada negara dan bangsa sendiri.

Mr. Nardin merupakan pesara tentera dari Pasukan Payung Terjun Tentera Darat Perancis yang berusia 67 tahun. Mengembara beribu kilometer ke Malaysia untuk menyampaikan apa yang dia miliki, apa yang dia percaya dan apa yang dia bangga!

2 comments:

is150 said...

teringat lak dengan lak dengan lagu Negaraku... tak nak komen banyak... :)

Unknown said...

Kadangkala kita terlalu mudah mengkritik (ala-ala menghina) sesuatu perkara yang kita lupa bahawa perkara itu adalah diri kita sendiri!!