Sunday, October 28, 2012

Bisnes Ais Krim

Saya telah lama memikirkan satu bisnes yang benar-benar saya suka dan yakin orang lain juga menyukainya :). Satu yang selalu bermain di dalam minda saya ini adalah perniagaan 'ais krim'. Saya telah lama memikirkan kerana Malaysia adalah negara tropika yang mempunyai suhu di antara 25 hingga 40 celsius. Pasti ais krim adalah manisan sejuk yang paling diminati oleh rakyat Malaysia. Tidak hairanlah, berbagai tema restoren ais krim terdapat di Malaysia dengan harga yang kadang kala tak masuk akal. 100 gram ais krim yogurt bersamaan sepinggan nasi kandar berlauk ayam goreng dan sayur campur! :)
Anak saya sedang mencuba ais krim yang dipilihnya
Pelbagai rasa untuk dipilih.
Tiga scoop dengan harga RM 17.90! :)
Saya memikirkan untuk menghasilkan aiskrim dengan citarasa yang hebat pada harga mampu beli oleh semua lapisan masyarakat. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan usahaku untuk mengikut sunnah Nabi dengan berniaga :) InsyaAllah.

Saturday, October 27, 2012

Tagine Kambing

Restoren Tagine yang baru :)
Antara manisan yang terdapat di restoren ini.
Anak sedang mencuba teh O ais.
Kebab yang lazat
Menu utama kami, tagine kambing :P
Pertama kali saya hadir ke Restoren Tagine adalah atas undangan dari OP Foxtrot. Undangan adalah kerana saya memimpin Kompeni Foxtrot di MTD pada ketika itu. Saya dimaklumkan, para OP itu membelanjakan hampir RM 5000 untuk menjamu kami di restoren tersebut. Kami telah dihidangkan dengan pelbagai hidangan Morroco. Menu utamanya adalah seekor kambing di atas dulang yang besar. Saya masih ingat lagi keadaan restoren yang mempunyai gaya Morocco itu kerana binaannya seakan khemah di padang pasir dengan hiasan dalaman yang unik berlatarkan Menara KLCC. Saya lebih mengingatinya kerana kami sebenarnya telah tersesat hingga ke Bukit Bintang kerana menyangkakan temujanji kami di Restoren Tagine Bukit Bintang, tapi sebenarnya Restoren Tagine yang sepatutnya kami pergi adalah di Jalan Delima, Jalan Tun Razak!. Bas kami tiba lewat sedikit pada malam itu.
Tadi saya cuba mengimbau kembali kenangan di Restoren Tagine dengan membawa keluarga makan malam. Kami meraikan Adil Adha tahun ini dengan makan makanan timur tengah. Saya dan keluarga bertolak dekat jam 5.30 petang dan berpandukan peta google kami terus ke Jalan Delima. Sesuatu yang tidak disangka telah berlaku, kami mengambil masa yang agak lama berlegar-legar di Jalan Delima dan Jalan Inai. Kami hampir putus asa, walaupun google menunjukkan Restoren Tagine hanya beberapa ratus kilometer dari kedudukan kami :). Alhamdulillah, kami jumpa juga akhirnya. Rupanya, restoren ini telah berpindah!. Lokasi lama sedang dibangunkan untuk projek bandaraya yang baru. Huhhh... Alhamdulillah :)
Kami memesan nasi mandi, kebab dan menu utama tagine kambing. Syukur Alhamdulillah, diizinkan Allah menikmati rezeki yang sungguh lazat :) terasa seperti mahu melawat Morocco untuk menikmati Tagine yang original dari negara itu :) InsyaAllah.

Wednesday, October 17, 2012

Main Boling

Petang tadi merupakan sukan untuk Pegawai KDP. Kali ini kami main boling. Saya dan pegawai Fakulti Pendidikan bergabung dengan Fakulti Bekalan. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan kenangan main boling di Mutiara Armada dengan GoPro HD2 saya. Alhamdulillah, ada banyak penambah baikan dalam mengambil video dengan GoPro. Saya telah meletakkan kamera pada beberapa sudut yang menarik dan hasilnya sebuah video selama 1 minit yang pada saya, menarik walaupun masih banyak penambahbaikan boleh dilakukan.
Pertandingan ini dijalankan secara santai sahaja, tetapi kumpulan kami telah menjadi kumpulan yang mempunyai markah berkumpulan kedua terbanyak dan saya telah mendapat nombor 2 pemain individu. sungguh tidak percaya kerana saya adalah pemain bola lerek! huhu.. Alhamdillah. Kemeriahan pertandingan itu telah menarik minat CO untuk mengadakan perlawanan kali kedua untuk para Pegawai. :) Alhamdulillah, enjoy dengan games petang tadi :)

Sunday, October 14, 2012

Pulau Sembilan

Alhamdulillah, akhirnya saya berpeluang untuk menyelam di Pulau Sembilan pada 13 Okt yang lalu. Bersama dengan 5 penyelam lain yang datang dari Kuala Lumpur, kami telah menyelam di tiga buah pulau di sekitar Pulau Sembilan. Selaman sebanyak tiga kali itu di temani denga 3 orang Dive Master dari Quiver Team. Perjalanan dari Jeti Marina Island ke Pulau Sembilan mengambil masa lebih dari 30 minit untuk tiba ke lokasi selaman pertama kami di Pulau Saga. Pulau ini hanyalah pulau batu dan terdapat rumah api di atasnya. Airnya kehijauan dan 'visibility'nya tidaklah secerah di Perhentian dulu. Ini cabaranya. Selaman pertama saya agak kalut sedikit. Mungkin kerana saya sedikit kaget melihat ait laut yang kehijauan dan saya seperi agak ragu-ragu kerana gugup untuk menyelam sekali lagi selepas di Perhentian. Selaman pertama saya mengambil masa 30 minit yang sepatutnya 45 minit. Puncanya, tekanan udara saya sudah hampir habis. Banyak sangat sedut gas! :).
Alhamdulillah, selaman kedua dan ketiga saya berjalan dengan baik. Saya berpeluang melihat pemandangan yang unik di Pulau Sembilan yang dipenuhi dengan kuda laut, landak laut, ikan siakap dan sebagainya. Di sini juga saya melihat banyak tukun tiruan yang sedang mula di penuhi dengan hidupan laut. selepas selaman kedua, kami singgah di sebuah pulau untuk makan tengah hari. Saya rasa Quiver Team memang sebuah pusat selaman yang profesional dalam mengadakan kursus selaman kepada para pesertanya. Saya sedang memikirkan untuk membuat Advance Diver di sini agar selaman saya selepas ini, InsyaAllah di Perhentian dalam bulan Mei atau Jun tahun hadapan akan lebih menarik lagi :)
Seperkara lagi, saya belajar satu perkara yang menarik dalam Fun Dive ini. Kena ada kamera yang 'best' sikit untuk rakam hidupan dan kenangan semasa selaman. Saya lihat semua rakan selam saya menggunakn Canon G12 'dengan housing under water'. Kamera ini sebenranya popular di kalangan penyelam di negara ini. Saya cuma menggunakan GoPro HD2 yang hanya mampu merakan aktiviti semasa selaman tetapi tidak mampu mengambil hidupan laut kerana kekurangan sumber cahaya seperti flash kamera. Terfikir-fikir untuk beli atau tidak! kamera RM 1200 dan housing RM 800! :)
InsyaAllah, akan datang lagi untuk menyelam di Pulau Sembilan dengan penambahbaikan dari pengalaman ini :)

Sunday, October 07, 2012

Headshot

Sebenarnya, saya masih tercari-cari 'niche' dalam fotografi. 'Niche' yang memberi kepuasaan dalam fotografi dan pada masa yang sama memberi pulangan yang berpatutan atau lebih kepada saya. Sejak mula memiliki DSLR pada tahun 2008, saya lebih meminati bidang 'Photojournalist'. Atas minat yang tinggi juga saya telah berusaha membeli lens 'wide angle' jenama Tokina. Sememangnya, sangat memuasakan hati. Tokina itu telah banyak berjasa merakamkan kenangan semasa di Maktab Tentera Diraja. Harap dapat kembali ke sana sebelum bersara.
Salah satu 'niche' yang menarik minat saya selain 'Photojornalist' adalah fotografi di dalam studio. Namun, hajat untuk mendalami bidang ini masih belum tercapai kerana belum ada ruang dan keewangan untuk membangunkannya. Saya sangat teruja untuk berkreatif dengan cahaya sehingga menaikkan seri wajah seseorang di dalam foto. InsyaAllah, jika diizinkan suatu hari nanti saya akan berjaya untuk memiliki sebuah studio sendiri dan menghasilkan foto-foto yang hebat.
Dalam pencarian ilmu itu di dalam youtube, saya berjumpa dengan seorang jurugambar pro yang bernama Peter Hurley yang pakar dalam mendapatkan foto 'headshot' yang hebat. Memang sangat hebat. Mulut, mata dan kening adalah tiga elemen penting dalam mengubah riak wajah :). Ilmu yang sangat berguna dan saya tidak pernah terfikir tentangnya sebelum ini. Namun, saya yakin ada sesuatu yang menarik bila mengambil gambar candid dengan wajah yang ceria di hadapan lensa.
Setelah melihat video di atas, saya rasa saya sudah ada arah untuk mencapai 'niche' saya dalam fotografi. InsyaAllah :).

Tuesday, October 02, 2012

Kapal Layar Zuhrah

Zuhrah dan crewnya.
Sepatutnya aktiviti mingguan ini dilaksanakan setiap hari Rabu, tapi bagi minggu ini CO mempunyai perkara penting yang hendak beliau laksanakan pada hari esok. Oleh itu, aktiviti menaiki kapal layar TLDM dilaksanakan pada hari ini. Seramai 45 orang pegawai hadir pada petang tadi dan kami dibahagikan kepada 4 buah kapal layar TLDM yang terbaik. Saya dan beberapa pegawai diketuai oleh Komander Ajit Singh TLDM menaiki kapal layar Zuhrah. Sebenarnya, ini kali kedua saya menaiki kapal layar TLDM yang berharga 5 juta sebuah. Pertama kali semasa berada di KD PELANDOK antara 2004 hingga 2008. Pada ketika itu, crewnya sedikit dan kurang pengalaman. Kini, 4 buah kapal tersebut telah memenangi banyak kejayaan dalam pertandingan dalam dan luar negara.
Kami belayar lebih kurang 30 minit di Selat Dinding. Walaupun angin tidak bergitu kuat, namun layarnya tetap kembang dan mampu mencapai kelajuan sehingga 6 knot. Cuaca yang tak begitu panas dan pengalaman melihat kesungguhan dan semangat kerjasama anak-anak kapal melayarkan Zuhrah. Mengikut perkiraan tadi, Zuhrah telah menjuarai pelayaran petang tadi. Saya mengambil peluang membuat pengambaran pelayaran petang tadi dengan GoPro HD2. Walaupun terdapat banyak limitasi menggunakan GoPro, namun saya tetap gembira merakamkan suasana dan aktiviti anak-anak kapal layar Zuhrah pada petang tadi.
Semoga banyak lagi kejayaan bakal dicipta oleh kapal-kapal layar TLDM pada masa datang.

Monday, October 01, 2012

Tempat Dive Baru

Cissi sedang mengajar muridnya, OWC di Pulau Perhentian
Setelah pulang dari Pulau Perhentian, aku mula surf untuk mencari kawasan untuk menyelam sekitar Selat Melaka. Pengalaman memandu selama 7 jam dari Kuala Lumpur ke Kuala Besut dan masa yang sama kembali ke Seri Manjung membuatkan aku memikirkan tempat menyelam yang berhampiran dengan rumahku. Pencarianku sememangnya mengejutkan!. Rupanya ada sebuah pusat menyelam yang betul-betul berhampiran dengan tempat tinggalku. Quiver Dive Team merupakan salah sebuah pusat menyelam yang terpadat di Marina Island (Pulau buatan yang bersebelahan dengan TLDM Lumut). Rupanya ada pusat menyelam di belakang rumahku :). Pada petang itu juga (minggu lepas) aku terus ke pusat menyelam tersebut untuk mendapatkan maklumat am tentang tempat tersebut.
Menurut pegawai jualannya, Dennis, pusat menyelam itu telah ditubuhkan sejak Nov 2011 dan merupakan pusat menyelam yang dibuka sepanjang tahun. Itu adalah kelebihan yang terdapat di pulau-pulau di Selat Melaka ini. Lokasi latihan selaman pula di Pulau Sembilan. Kos menyelam agak tinggi berbanding di Pulau Perhentian, tetapi memang berbaloi kerana tidak perlu mengambil masa dan membuang tenaga dan wang untuk memandu ke Kuala Besut.
Kelebihan yang utama bagiku yang merupakan penduduk tetap di Seri Manjung ini, aku boleh menjimatkan duit dari kos penginapan dan aku juga boleh melaksanakan Advance Open Water dalam selang masa, tidak perlu menamatkan latihan dalam masa yang terhad seperti di Pulau Perhentian.
InsyaAllah, hujung minggu ini aku akan melaksanakan fun dive di Pulau Sembilan sebagai rekee untuk promote kawan-kawan datang ke Marina Island.