Sunday, July 18, 2010

Licin

"Alhamdulillah, semuanya selamat", getus hatiku sebaik sahaja memberhentikan kenderaanku di tepi lebuh raya setelah berputar beberapa kali di km 420.3 menghala ke selatan. Bumper depanku hancur dan bonet belakang sebelah kiri kemek. Hujan masih lebat di luar. Aku melihat bapa mertuaku tenang duduk di sebelahku namun kelihatan terkejut. Aku meneruskan perjalanan dengan harapan akan sampai ke Sungai Besi untuk dibaiki. Namun, hampir-hampir di persimpangan keluar ke Kepong, penanda radiator telah menunjukkan yang radiatorku sudah panas dan tidak mampu bergerak lagi.

Sebuah lori penarik berhenti di lebuh raya setentang di mana keretaku berhenti. Muncul seorang lelaki India memujuk-mujukku agar mengunakan perkhidmatannya. Aku cuba menolak dan menghubungi Honda. Honda tidak begitu membantu, masa semakin petang dan aku tiada banyak pilihan. Terus sahaja aku dan Aboy menaiki lori penarik dan membuat pusingan kembali ke keretaku.

Keretaku di tarik sehingga ke tempat kemalangan. Diberhentikan dan diambil gambar sekali lagi untuk tujuan tuntutan insuran. Aku belajar perkara penting, setiap kali kemalangan, berhenti dan laporkan kemalangan sebelum membuat apa-apa. Dari situ, aku dibawa ke Balai Polis Ulu Bernam untuk membuat laporan. Hantar keretaku di Tanjung Malim untuk disimpan sebelum di bawa ke Segambut pada hari Isnin.

Aku di sambut oleh kak ipar dan suami di tol Bukit Beruntung dan berehat di rumahnya. "Ya Allah, berkati dan permudahkanlah segala urusanku, Ameen".

No comments: