Di antara perkara yang paling tidak senang apabila memandu di tempat baru adalah ketidakupayaan mencari tempat yang dituju melalui laluan yang sebenar. Keadaan lebih mencemaskan apabila tanda-tanda bantuan di jalan raya menunjukkan yang saya telah tersasar dari objektif. Pada ketika itu rasa marah bercampur geram dan gelisah mula menyerang saraf-saraf di dalam otak. Cemas memikirkan masa yang terluang, kelewatan, pembaziran minyak dan kebodohan diri sendiri.
Simpton-simpton yang terhasil dari kesesatan di tempat baru ini telah memberitahu saya banyak perkara. Utama sekali, saya mesti bersedia dan merancang sebelum memandu di tempat baru. Ia akan memastikan perjalanan yang lancar ke tempat yang hendak dituju dengan ketenangan di hati. Dulu saya akan 'reckee' dulu tempat yang hendak dituju. Contohnya mesyuarat di Kuala Lumpur pada hari Selasa, pada Sabtu saya akan menumpang di rumah keluarga di Shah Alam dan cari jalan ke tempat mesyuarat.
Dengan datangnya teknologi internet, saya dapat manfaat dari google.maps. Menjimatkan masa 'reckee' saya. Ia sangat membantu, namun adakalanya masih tersesat juga. Setakat itu, saya cuma mahir satu jalan sahaja di Kuala Lumpur. Dari Shah Alam ke Jalan Padang Tembak!
Sejak bernikah dengan graduan Universiti Malaya. Pengetahuan jalan-jalan di Kuala Lumpur bertambah baik. Co-pilot saya sememangnya mahir jalan-jalan di Kuala Lumpur. Ini sangat mengembirakan saya. Memandu dengan tenang disamping co-pilot yang tersayang.
Kini saya mula berkhidmat di Kuala Lumpur. Jalannya sentiasa sesak, pemandu yang memandu dengan laju, sesetengahnya tidak bertimbang rasa dan terlalu banyak jalan sehala!. Tidak berubah sejak dulu. Saya memerlukan lebih dari pembantu-pembantu yang lalu. Saya memerlukan sesuatu yang sentiasa mendampingi saya sepanjang pemanduan di Kuala Lumpur. Dua hari lepas saya telah memilikinya. Set gps PAPAGO! yang saya telah beli di Plaza Law Yatt. Harga yang berpatutan dari Fotokem setelah menawaf plaza tersebut beberapa kali.
Setelah memandu dengan penuh ketidakpastian ke Law Yatt menggunakan google.maps yang dicetak di bilik guru, saya singgah ke Jaya Jusco Cheras Selatan dengan tenang sebelum balik ke Sg. Besi bersama co-pilot baruku. :)
No comments:
Post a Comment