Wednesday, June 21, 2006

Werribee Park

Pada tahun 1839, dua bersaudara Chirnside dari Scotland, Thomas dan Andrew telah tiba ke Australia dengan membawa beberapa ratus pound dan Bible di dalam poket mereka. Mereka telah membeli beberapa ekar tanah dan memulakan penternakan kambing biri-biri. Masalah utama penternakan kambing biri-biri di Australia adalah air.

Australia adalah negara yang mempunyai tahap kelembapan yang sangat rendah. Tanahnya kering. Namun dengan kebijaksanaan dua bersaudara ini telah menjadikan mereka penternak jaya. Mereka mampu menternak biri-biri yang banyak dan mengeksport bulu biri-biri ke England. Kebijaksanaan mereka ini telah menyebabkan mereka menjadi orang yang sangat kaya. Pada tahun 1880, mereka mempunyai eset tanah seluas 100,000 hektar!

Di sebalik kekayaan mereka ini tersembunyi sebuah kisah cinta tiga segi yang sangat memilukan. Pada tahun 1845, Thomas telah kembali ke Scotland dan tinggal beberapa tahun di sana. Dalam selang masa itu, beliau telah jatuh cinta dengan sepupunya yang bernama Mary Begbie. Namun, cintanya mendapat tentangan yang hebat dari keluarga Mary. Beliau sangat hampa dan kembali ke Australia keseorangan.

Sekembalinya Thomas ke Australia, bermulalah pula giliran adiknya, Andrew untuk kembali ke Scotland. Sebelum meninggalkan Australia, Thomas sempat berpesan kepada adiknya agar memujuk keluarga Mary agar beliau diberi peluang yang kedua, sekaligus membawa Mary ke Australia untuk dijadikan isterinya.

Jodoh pertemuan itu adalah ketentuan Tuhan. Pada tahun 1852, Andrew kembali ke Australia dengan membawa Mary sebagai isterinya. Lain yang di harap, lain pula yang jadi. Kedukaan Thomas menyebabkan beliau tidak pernah berkahwin sehingga ke akhir hayatnya.

Dalam kedukaanya, Thomas telah membina sebuah Mansion (mahligai) untuk adiknya dan bekas kekasihnya yang hari ini dikenali sebagai Werribee Park. Semua bahan binaanya datang dari Itali begitu juga tukangnya. Mahligai yang mengekalkan 100% senibina Eropah di Australia. Lambang kasihnya kepada adiknya dan juga cinta yang terpendam terhadap Mary.

Pada tahun 1887, Thomas telah mengambil nyawanya sendiri dikatakan kerana ketagihan arak akibat dari kedukaan yang berpanjangan. Tiga tahun selepas itu pula adiknya Andrew meninggal kerana sakit tua. Pada tahun 1908, Mary terkorban kerana lampu pelita di tepi katilnya telah membakar sebahagian tubuhnya, beliau meninggal tiga hari selepas kejadian itu.

Kematian dua Chirside bersaudara telah menyebabkan tanah mereka dibahagikan sama rata kepada dua orang anak Andrew, George dan John Percy. Mereka tidak begitu berjaya seperti bapa dan pakcik mereka. Pada tahun 1922, The Mansion diserahkan kepada pihak Gereja kerana mereka tidak mampu untuk menyelengaranya lagi.

Pada tahun 1973, Pihak Gereja telah menyerahkan kepada Pemerintah Victoria dan sehingga kini, The Mansion di Werribee Park ini dijadikan salah satu tarikan pelancong di negeri Victoria ini. Sebuah monumen yang gah dan kisah cinta yang memilukan.

Sepertimana yang saya kata pada pensyarah saya, Sue Gilbert, "money can't buy happiness". Dia sengih jer, "but Amir, money can help happiness!". Barangkali kisah Chirnside bersaudara ini merupakan pengajaran yang besar untuk orang Australia tentang betapa pentingnya happiness dalam kehidupan!

3 comments:

blackpurple said...

Kekayaan tanpa kebahagian tiada maknanya....

"Money is good but loving it makes it bad"

sherrina said...

dan kebahagiaan payah nak wujud dlm zaman ini jika tiada wang (dan juga tiada stok gula yg mencukupi)..hahaha

esis said...

sungguh terkesan kisah ini.