Friday, June 30, 2006

Sampai jumpa lagi

Setelah 4 bulan 3 minggu berada di DITC, tibalah masa yang sangat-sangat dinantikan, kembali ke tanahair yang tercinta, kembali kepada keluarga yang tersayang. Majlis penutupan Kursus MELT (Methodology of English Language Teaching) pagi tadi merupakan kegembiraan yang infiniti bagi semua penuntut.

Terima kasih buat semua yang telah bersama-sama menjadikan kursus ini kenangan seumur hidup. Terima kasih kepada pensyarah-pensyarah, terima kasih rakan-rakan dan terima kasih kepada semua staff yang menjadikan kehidupan separuh 'aman' di Australia ini sangat-sangat bermakna.

Memetik kata-kata yang tertulis di pintu masuk Muzium Imigran, Melbourne, A journey of a thousand miles must begin with a single step. See you mates!

Sunday, June 25, 2006

Akhirnya...

Akhirnya setelah 4 bulan berkusus di Australia ini, buat pertama kalinya saya dapat berjumpa dengan bekas pelajar saya semasa mengajar di Sekolah Agama Menengah Bestari, USJ 5. Beliau baru sahaja menamatkan ijazah pertamanya dari Universiti Melbourne. Abdillah (sebelah kanan dalam gambar) nie dulu lebih rendah dari saya, sekarang dia lebih tinggi dari saya dan pastinya, ilmunya juga lebih tinggi dari cikgunya. Buat Aini Nadiah dan Paan, mission accomplished!

Sebaik sahaja saya tiba di Malaysia Hall, saya di takdirkan untuk bertemu dengan seorang sahabat lama saya. Rakan semasa belajar bersama-sama di SMAP Kajang. Ustaz Razak kini sedang mengikuti pengajian peringkat Phd. dalam bidang falsafah. Beliau akan berada di Australia untuk 4 tahun lagi. Seronoknya, beliau belajar bersama isteri di Australia ini. Lama tak jumpa, banyak cerita yang keluar, terutama cerita-cerita lama di SMAP Kajang.

Selama di Australia ini, saya telah berjumpa dengan dua rakan SMAP Kajang saya, Kapten Shahrir dan Ustaz Razak. Saya juga bertemu dengan seorang rakan saya semasa di USM, Mohd Rafik yang kini sedang menyambung pengajiannya di peringkat Sarjana dan lebih menarik lagi, beliau telah memeluk Islam. Syukur Alhamdulillah kerana diberi peluang melihat kehebatan Allah mengatur kehidupan makhluknya. MasyaAllah.

Friday, June 23, 2006

Kuala Lumpur ke 33

Bila saya terbaca komen TENGKU MAN dalam ruangan forum dalam Utusan Online hari ini, pada pandangan saya ada sesuatu yang tak kena dengan penulisan beliau.

Barangkali juga, ia mempunyai makna orang Malaysia perlu ‘membuka pintu’ seluas-luasnya kepada orang asing menjajah mental kita selepas kita sanggup membuka pintu untuk mereka bila masuk ke pejabat atau premis.
Kesimpulannya, ia adalah satu cara halus bagaimana orang asing cuba menjajah budaya kita secara berperingkat-peringkat dengan mendapatkan maklum balas yang selari dengan agenda mereka.
Jika dilihat dari perspektif kita, mengenai nilai murni orang asing di negara mereka, saya dapati mereka langsung tidak peka dengan kriteria di atas yang dianggap penting dalam masyarakat berbudaya.
Contohnya, jika kita melawat negara Barat, adakah kita dilayan dengan baik setibanya di lapangan terbang, di pintu luar lapangan terbang dan semasa kita sesat di dalam bandar mereka?

Berdasarkan penilaian saya, budaya membuka pintu untuk orang yang tidak dikenali adalah budaya barat yang patut kita contohi. Saya mengambil pandangan sempit saya tinggal di Australia selama 4 bulan ini. Sememangnya budaya membuka pintu untuk orang lain adalah satu kebiasaan. Terutama dalam musim sejuk ini, tombol pintu semakin sejuk dan cuaca diluar sangat sejuk, menyebabkan kita segera untuk masuk ke dalam sesebuah bagunan. Menjadi kebiasaan di DITC dan juga di Melboure bagi orang di sini yang mendahului kita membuka pintu dan menunggu kita masuk dahulu sebelum mereka masuk dan sekaligus menutup pintu.

Mungkin di sesetangah bandaraya akan membiarkan pelancong lain sesat di bandarnya, tapi di Melbourne, anda di jamin tidak sesat asal tidak malu bertanya. Hampir di setiap sudut bangunan di Melbourne ini ada pondok informasi yang dilengkapi dengan brochure dan peta yang boleh diambil secara percuma. Di pondok informasi juga terdapat sukarelawan yang sedia membantu anda menunjukkan jalan sekiranya anda sesat!

Semasa saya mula sampai di Melbourne dulu, bersama rakan-rakan di dalam tram. Asal keluar peta sahaja dan buat muka 'konfius' ada sahaja penumpang lain yang sedia untuk membantu kami menunjukkan arah mana nak dituju.

Satu lagi yang menarik tentang budaya Mat Saleh di Australia ini adalah budaya menegur orang yang tidak dikenali. Asal kita sebut sahaja "Good Morning" atau yang sewaktu dengannya, pasti mereka akan balas dengan "Gidday mate, How wa you?". Selama saya tinggal di sini, terasa kemesraan mudah terjalin bila bekerja dengan mereka.

Saya pernah terbaca di akhbar mereka tentang isu orang bersin atau batuk tidak menutup mulut. Bagi kita itu perkara yang biasa tapi di sini ia merupakan isu yang besar dan sesuatu yang sangat tidak sopan dikalangan mereka.

Saya pernah dengar ada orang kata, "jika nak tahu rumah orang itu bersih, lihat tandasnya". Apa yang anda fikir tentang bandar Melbourne sekiranya kebersihan tandas awamnya membolehkan anda berbaring di atas lantainya!

Baca:

Wednesday, June 21, 2006

Werribee Park

Pada tahun 1839, dua bersaudara Chirnside dari Scotland, Thomas dan Andrew telah tiba ke Australia dengan membawa beberapa ratus pound dan Bible di dalam poket mereka. Mereka telah membeli beberapa ekar tanah dan memulakan penternakan kambing biri-biri. Masalah utama penternakan kambing biri-biri di Australia adalah air.

Australia adalah negara yang mempunyai tahap kelembapan yang sangat rendah. Tanahnya kering. Namun dengan kebijaksanaan dua bersaudara ini telah menjadikan mereka penternak jaya. Mereka mampu menternak biri-biri yang banyak dan mengeksport bulu biri-biri ke England. Kebijaksanaan mereka ini telah menyebabkan mereka menjadi orang yang sangat kaya. Pada tahun 1880, mereka mempunyai eset tanah seluas 100,000 hektar!

Di sebalik kekayaan mereka ini tersembunyi sebuah kisah cinta tiga segi yang sangat memilukan. Pada tahun 1845, Thomas telah kembali ke Scotland dan tinggal beberapa tahun di sana. Dalam selang masa itu, beliau telah jatuh cinta dengan sepupunya yang bernama Mary Begbie. Namun, cintanya mendapat tentangan yang hebat dari keluarga Mary. Beliau sangat hampa dan kembali ke Australia keseorangan.

Sekembalinya Thomas ke Australia, bermulalah pula giliran adiknya, Andrew untuk kembali ke Scotland. Sebelum meninggalkan Australia, Thomas sempat berpesan kepada adiknya agar memujuk keluarga Mary agar beliau diberi peluang yang kedua, sekaligus membawa Mary ke Australia untuk dijadikan isterinya.

Jodoh pertemuan itu adalah ketentuan Tuhan. Pada tahun 1852, Andrew kembali ke Australia dengan membawa Mary sebagai isterinya. Lain yang di harap, lain pula yang jadi. Kedukaan Thomas menyebabkan beliau tidak pernah berkahwin sehingga ke akhir hayatnya.

Dalam kedukaanya, Thomas telah membina sebuah Mansion (mahligai) untuk adiknya dan bekas kekasihnya yang hari ini dikenali sebagai Werribee Park. Semua bahan binaanya datang dari Itali begitu juga tukangnya. Mahligai yang mengekalkan 100% senibina Eropah di Australia. Lambang kasihnya kepada adiknya dan juga cinta yang terpendam terhadap Mary.

Pada tahun 1887, Thomas telah mengambil nyawanya sendiri dikatakan kerana ketagihan arak akibat dari kedukaan yang berpanjangan. Tiga tahun selepas itu pula adiknya Andrew meninggal kerana sakit tua. Pada tahun 1908, Mary terkorban kerana lampu pelita di tepi katilnya telah membakar sebahagian tubuhnya, beliau meninggal tiga hari selepas kejadian itu.

Kematian dua Chirside bersaudara telah menyebabkan tanah mereka dibahagikan sama rata kepada dua orang anak Andrew, George dan John Percy. Mereka tidak begitu berjaya seperti bapa dan pakcik mereka. Pada tahun 1922, The Mansion diserahkan kepada pihak Gereja kerana mereka tidak mampu untuk menyelengaranya lagi.

Pada tahun 1973, Pihak Gereja telah menyerahkan kepada Pemerintah Victoria dan sehingga kini, The Mansion di Werribee Park ini dijadikan salah satu tarikan pelancong di negeri Victoria ini. Sebuah monumen yang gah dan kisah cinta yang memilukan.

Sepertimana yang saya kata pada pensyarah saya, Sue Gilbert, "money can't buy happiness". Dia sengih jer, "but Amir, money can help happiness!". Barangkali kisah Chirnside bersaudara ini merupakan pengajaran yang besar untuk orang Australia tentang betapa pentingnya happiness dalam kehidupan!

Sunday, June 18, 2006

Kunjungan ke Rumah CO

Pada hari Jumaat yang lepas (16 Jun), seluruh warga MELT telah di jemput ke rumah Pegawai Memerintah DITC. Rumah CO, Lt. Kol. Murray Lott. Rumah beliau terletak di St. Kilda. Berhadapan dengan Pantai St. Kilda. Sebelum tiba ke rumah beliau, dalam fikiran saya satu sahaja, bagaimana rupa rumah orang Australia! Hmm... CO saya ini seorang yang sederhana. Saiz rumahnya juga agak sederhana. Masuk sahaja pintu depan, dah boleh lihat dapur di sebelah kiri dan ruang tamu di sebelah kanan. Di tepi dapurnya ada beranda yang membolehkan kita melihat Pantai St. Kilda. Selepas ruang tamunya ada tiga bilik dan satu bilik air. Kalau saya nisbahkan dengan saiz rumah di Malaysia, macam saiz hotel jenis Suite atau setaraf dengannya. Cuma ada lebih bilik sahaja. Rasanya, rumah orang Malaysia yang setaraf dengan CO jauh lebih besar!!
Rakan-rakan saya sedang sibuk menghidangkan makan malam. CO telah memesan makanan halal dari restoren Thailand. Memang sedap, ada daging kerabu, ayam masak merah, kerabu sotong, ala-ala pecal (makanan Jawa) dan nasi! makan dua pinggan saya malam tu. Ini adalah ruang dapur rumah CO yang saya boleh kata lebih kecil dari ruang dapur di rumah-rumah orang Malaysia. Mungkin, orang OZ cuma makan burger dan sausage sahaja menyebabkan mereka tidak memerlukan saiz dapur yang besar!
Masuk rumah CO kena tanggal kasut dan kebanyakkan hiasan dalam rumah CO mempunyai ciri-ciri ketimuran. Pertama, beliau mempunyai isteri yang berasal dari Jepun. Beliau mempunyai seorang anak perempuan yang sangat comel. Namun, semasa kami di rumahnya, keluarganya berada di Vietnam. Keduanya kerana beliau mentadbir DITC. Tempat di mana seluruh tentera asia belajar bahasa Inggeris di Australia. Thank you very much, Sir!!

Saturday, June 17, 2006

Kunjungan AMES II dan III

Pada hari Selasa 13 Jun, kami menerima kujungan dari AMES Flagstaff. Macam biasa selepas habis mengajar semuanya happy. Cikgu pelatih happy pasal dah lepas di'observe' dan pelajar lega pasal tak perlu lagi jawab soalan-soalan susah dari cikgu pelatih dan boleh makan ayam bakar!
Pada bulan April yang lalu, saya telah mengadakan Field trip ke AMES Flagstaff di Melbourne. Pada ketika itu saya telah berkenalan dengan En. Wolfgang dari Poland yang ingin menghabis persaraannya di Australia. Kali ini tanpa pengenalan lagi, En. Wolfgang berjumpa saya dan terus bersalam dengan saya. Beliau sangat gembira bertemu dengan saya dan berpeluang datang ke DITC. Beliau menceritakan tentang pengalaman beliau dan isterinya kembali ke Jerman (beliau mempunyai rumah di Jerman) baru-baru ini. Betapa manusia sudah gila!! setiap benda bulat dicat menjadi bola!
Pada hari Khamis 15 Jun, kami menerima kunjungan dari Ames St. Alban pula. Pelajar yang hadir kali ini berbeza dengan yang hadir minggu sebelumnya. Seronok dapat pengalaman mengajar mereka. Peluang untuk bermesra dan berkenalan dengan manusia yang berbeza latar belakang dan kehidupan.
Ini Mahmet Nahib (Mohammad Najib), salah seorang penuntut AMES St. Alban. Beliau merupakan imigran dari Bosnia. Pertama kali dia jumpa saya dan mengetahui saya dari Malaysia, terus sahaja dia mengucap berbanyak-banyak terima kasih kepada saya. Beliau memuji-muji Dr. Mahathir Mohammad dan rakyat Malaysia kerana sumbangan Malaysia kepada Bosnia semasa Perang Balkan. Beliau sangat berterima kasih kat Dr. Mahathir sehingga beliau mengatakan bahawa beliau sanggup menjadi bloodbrother kepada Dr. Mahathir. Saya tak tahu berapa banyak sumbangan Malaysia pada Bosnia tapi yang pasti sumbangan itu sentiasa diingati sehingga hari ini. Sumbangan ikhlas dari Malaysia!!
Mejar Fauzi dan Sarjan Udara TNI Bayu Kurniawan sedang menyediakan burger, sausage dan ayam bakar (halalan thoiyibah!, tempat bakar juga dikhaskan untuk penuntut muslim sahaja) untuk kami dan penuntut AMES. DITC membayar AUD 25.00 kepada setiap pelajar yang hadir ke DITC untuk menjadi pelajar bagi latihan mengajar kami. Makanan tengah hari ini juga di taja oleh kerajaan Australia. Banyak betul kelebihan yang diberi kepada imigran yang datang ke Australia. Ingat ada baiknya kalau orang Malaysia atau pelajar Uni kat Malaysia yang susah cari kerja berhijrah ke Australia.

Sunday, June 11, 2006

Mount Buller

Bertolak dari DITC jam 0700H, terus ke kaki Gunung Buller yang mengambil masa 2 jam setengah. Singgah dulu ke kedai sewa peralatan untuk aktiviti bersalji. Segala peralatan ada dan kadar sewanya juga murah berbanding kedai-kedai sewa di puncang Gunung Buller ini. Cuma sewa kasut getah. harganya cuma AUS 10.00. Ingat nak sewa peralatan ski tapi takut sampai kat atas tak tahu nak guna. Sewa lain kali. InsyaAllah.
Tiket pintu masuk ke kawasan peraginan Mt. Buller. Harganya juga AUD 10.00. Sudah dibayar sekali dengan tambang bas. Kos semua sekali ke Mount Buller, Bas AUD 27.00 + tiket AUD 10.00 + Sewa kasut AUD 10.00 = Pengalaman yang tak ternilai!!
Pintu masuk ke Mount Buller. Sebenarnya, hari ini adalah pembukaan musim sejuk di Mount Buller. Ramai orang dan terdapat berbagai aktiviti. Suhunya tak pasti tapi di rasakan sekitar 2 darjah celcius ke bawah.
Berada di puncak Gunung Buller. Sebenarnya suhu udara di gunung ini belum cukup untuk menghasilkan salji. Salji yang ada tu semuanya salji buatan. Ada mesin khas telah digunakan untuk memenuhkan puncak gunung ini dengan salji. Walaupun salji buatan, kedalamannya ada kira-kira 1 kaki. Mungkin dalam bulan Julai nanti, seluruh kawasan ini akan di penuhi dengan salji asli.
Kren ini digunakan untuk membawa pengunjung ke puncak gunung. Rasanya ciri-ciri keselamatan tak begitu ditekankan. Cuma ada satu penghadang sahaja yang menyekat tempat duduk kami. Dan ketinggian dari paras bumi ada dekat 3 meter. Berubah-ubah mengikut kawasan. Agaknya kalau jatuh pun tak sakit kot! pasal jatuh atas salji!!
Terima kasih pada Kapten Dina dan Sarjan Liza kerana menyediakan nasi lemak untuk makan tengah hari. Sambal yang agak pedas tapi sangat bagus untuk memanaskan badan dalam cuaca yang sejuk. Terasa kelainannya bila makan sambal yang pedas dalam cuaca yang sangat sejuk.
How big? This big! ( sambil melebarkan tanganya). Beberapa kanak-kanak yang sedang dalam proses nak buat Snowman. Rasanya, budak-budak la yang paling seronok main atas salji nie. Selain menglongsor, mereka juga main baling-baling ais. Ingat masa saya kecil dulu, main baling-baling juga tapi baling lumpur masa berkubang kat parit dan tali air.
Dari kaki puncak hingga ke puncaknya, ditaburkan salji buatan dan terdapat juga kelas belajar meluncur. Di dalam gambar di atas, kelihatan sebuah kelas belajar guna Snowboard sedang berjalan. Kalau perhati betul-betul terdapat beberapa mesin pembuat salji terdapat di bawah kren ini. Sungguh mengasyikkan dan menyeronokkan.

Thursday, June 08, 2006

Kunjungan AMES St. Alban

Pagi tadi ujian utama telah bemula. Menggunakan buku teks AELC (Australian English Language Course) untuk mengajar pelajar dari AMES St. Alban. Jika di Malaysia kira LM (Latiham Mengajar). Seperti mana lawatan saya ke AMES sebelum ini, kebanyakkan pelajar dari AMES ini mempunyai tahap penguasan Inggeris yang agak rendah. Mereka terpaksa belajar belajar Bahasa Inggeris kerana survival. Belajar bahasa Inggeris untuk mendapat kerakyatan dan mencari rezeki.

Sebahagian dari mereka adalah pemohon suaka politik, lari dari negara sendiri kerana kebuluran, peperangan dan kemiskinan. Pastinya kedatangan mereka ke Australia tanpa ilmu. Dari 6 orang pelajar yang terlibat di dalam LM saya, cuma seorang sahaja yang mampu menjawab dan menulis jawapan dengan baik. Salah seorang dari mereka hanya boleh bercakap tapi tidak mampu mengeja aeroplane!. Kesian tengok mereka, mudah-mudahan Allah permudahkan hidup saudara Islam saya. Di kalangan pelajar saya, 4 dari Eithophia, 1 dari Labenon dan 1 dari Vietnam.

Ada 2 kali lagi mengajar pelajar AMES dan ada 3 minggu lagi nak balik Malaysia!.

Friday, June 02, 2006

Bush Trip: Jungai

Pada hari Rabu yang lepas, seluruh warga DITC membuat lawatan ke Jungai Camp. Sebuah kawasan rekreasi yang bercirikan Aborigine. Jaraknya kira-kira 3 jam perjalanan dari Laverton. Ada macam-macam aktiviti yang disediakan dan saya telah memilih tiga darinya. Aktiviti pertama, berbasikal lasak sekitar Jungai Camp. Aktiviti yang x-treme dan traknya juga x-treme. Bagus, dapat juga beberapa teknik berbasikal lasak seperti menaiki dan menuruni cerun curam. Basikalnya juga canggih. Rasanya sistem gearnya saya tak pernah jumpa lagi kat Malaysia.
Habis sahaja aktiviti berbasikal, macam biasa ambil gambar beramai-ramai. Di sebelah kanan dan sebelahnya lagi adalah jurulatih basikal lasak. Memang diorang nie pakar dalam berbasikal lasak dan mempunyai kelengkapan berbasikal yang sangat baik.
Sebelah petang, pergi ke ladang kuda kepunyaan En. Mark. Kira-kira 10 minit dari Kem Jungai. Di mempunyai ladang kuda dan kuda-kudanya dipelhara khas untuk membawa pelancong dan pelawat. Dia nie baru betul-betul Cowboy OZ!
Bangsal tempat beliau simpan kuda-kuda beliau. Bangsal nie memang nampak klasik dan terasa macam kembali ke zaman Wild Wild West! tapi, bangsal cowboy nie memang berabuk dan berdebu! Ambil gambar nie masa nak cuba try pakai helmet sebelum sessi menuggang kuda OZ!
Nama kuda saya Smoky. Mungkin warnanya putih macam asap. Sebelum naik kuda, kita kena usap-usap dahulu kepala dan tengkuknya. Bagi kuda tu serasi dengan kita. En. Mark juga beritahu, ada dua petua kena patuhi semasa menunggang kuda, Safety and space. Memang masa menunggang, kalau ada kuda lain yang hampir sangat dengan belakang Smoky, mesti si Smoky nie akan angkat kaki belakang kayak nak menendang! Mencemaskan!!
Esoknya, sebelah pagi saya menghadiri kelas kebudayaan Orang Asli Australia. En. Chris ini adalah keturunan Aborigine. Beliau adalah jurulatih kebudayaan di sini. banyak perkara yang saya belajar, diantaranya, tentang senjata-senjata, kulit binatang, populasi Aborigine, cara hidup dan sebagainya. gambar di atas menunjukkan En. Chris sedang membuat demonstrasi meniup Didgeridoo. Sebuah alat muzik Aborigine yang sangat terkenal.
Belajar baling Boomerang. Setakat hari tu, belum ada bakat lagi untuk baling Boomerang. Boomerang tu memang patah balik tapi tak datang kat tuan yang membalingnya. Sebenarnya ada dua jenis boomerang, satu boleh kembali dan satu lagi tak boleh. Boomerang yang tak boleh kembali lebih besar dan kegunaanya untuk mematahkan kaki binatang atau leher burung semasa memburu.
Jalan-jalan dalam hutan. Tumbuhan dalam hutan OZ nie kebanyakkan terdiri dari pokok Berry. Walaupun sekarang nie bukan musimnya, namun masih ada lagi buah berry yang kecil untuk kami rasa. terdapat juga pucuk paku yang boleh dimakan dan cendawan yang boleh dihisap air darinya. Cendawan ini juga bila dah kering boleh digunakan untuk bahan pemula pembakaran. Seesi kat atas tu adalah sessi mencuba mencuci tangan dengan sejenis daun pokok Acacia. Daun ini bila kita lumat-lumatkan kat tangan dan di basahkan, ianya akan mengeluarkan buih macam sabun. Bau ala-ala daun hutan, tapi memang bersih tangan dibuatnya.
Bergambar sebelum berangkat pulang. Di sebelah saya adalah pensyarah bahasa saya, Anita Armytage, Sue Gilbert dan rakan sekuliah, Lt. Korn Phally dari Cambodia. Cuaca yang sangat nyaman sekali.
Ucapan terakhir dari Pegawai Memerintah DITC kepada pihak pengurusan Kem Jungai. Sampai jumpa lagi! Jungai Camp 06.