Tuesday, May 31, 2005

Kegembiraan baru :)

Cuti hari Wesak yang lepas merupakan peluang yang paling ditunggu-tunggu kerana dapat membawa isteri balik ke Shah Alam. Ada dua perkara besar yang telah dirancang, menghadiri pernikahan sepupu dan shopping untuk 'baby' kat Mid Valley.

Semasa bujang, saya melihat majlis pernikahan ini sesuatu yang biasa sahaja. Satu majlis yang menyatukan dua insan berlainan jantina yang menurut tuntutan agama Islam. Tapi hari itu, majlis perkahwinan itu mengingatkan saya bertapa berharganya erti sebuah perkahwinan. Pernikahan merupakan perkara yang paling besar dan bermakna bagi seseorang insan. Ada orang melihat perkahwinan itu sebagai sesuatu yang membebankan dan mengongkong. Barangkali ada betulnya. Tetapi bagi saya, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Walaupun berat atau susah macam mana sekali pun. Tiada apa yang boleh menghilangkan lelah itu melainkan melihat senyuman isteri tersayang dan kemudian nanti, rengekkan si 'baby' yang comel lagi cute. Pastinya hidup ini akan lebih bermakna dan pastinya juga menuntut keazaman, kesabaran dan ketabahan yang lebih tinggi untuk membina keluarga bahagia dan diberkati Allah Taala di dunia dan di akhirat.

Seronok betul shopping untuk 'baby'. Dari Carrefour ke Jaya Jusco ke Metrojaya. Ini kali pertama tengok barang baby, banyaknya pilihan!! sampai tak tahu nak pilih. Semuanya comel-comel dan cute-cute :). hmmm.... tak sabar nak peluk baby... muah.. muah.. :P

Friday, May 27, 2005

Mong Gajah

Ini pertama kali saya menguruskan aktiviti yang melibatkan pelatih pegawai, Pegawai Kejuruteraan Udara. Walaupun 'task' ini diterima dan dilaksanakan dalam masa yang singkat. Namun, alhamdulillah ianya telah dilaksanakan dengan baik dan mencapai 68% dari objektifnya.
Hari Khamis baru arahan tadbir dan baru dapat di edarkan kepada unit-unit bantuan dan lebih menarik lagi hari Isnin adalah hari cuti mengantikan cuti Hari Wesak. Alhamdulillah, pagi Selasa segalanya berjalan dengan lancar walaupun agak lewat sedikit.
Ini perkara yang paling melucukan dan sedikit memeningkan. Melihat 'impression' pertama para pelatih kerana kawasan latihan tidak seperti yang disangka. Jauh dari keselesaan yang mereka sangkakan. Kawasan yang bersemak dan paras air tasik yang sangat cetek. Semuanya nampak tension. Bagi saya, tempat latihan ini sudah cukup selesa. Tempat yang teduh dan bekalan air yang berterusan. Dari segi keselamatan, berdekatan dengan Kem Mong Gajah.
Hari pertama bermula dengan melaksanakan pentadbiran sahaja, membina khemah, tempat memasak, membersih kawasan dan membina khemah untuk latihan. Nampaknya ramai yang tidak begitu 'happy' dengan apa yang bakal berlaku dan perjalanan pentadbiran agak lambat. Pada masa yang sama juga bawa kenderaan untuk ambil bot dari Kem Gubir. Oleh kerana bot tu besar, maka banyak masa terbuang untuk mengendalikannya. Kesempatan itu saya telah berkenalan dengan CO Kem Gubir, Lt. Kol Mohd. Melintang dari 9 RRD. Beliau seorang yang peramah, berkarisma dan sangat bersedia untuk membantu kami. Beliau juga menjemput kami melawat Perkampungan Ikhtiar Hidup yang baru dibina untuk menjadi salah satu kawasan lawatan di kem itu. Terima Kasih Tuan.
Malam pertama dimulakan dengan LDK 1, latihan yang lebih kepada 'Ice Breaking' dengan membahagikan kepada 4 platoon. S.O.R, Craintshaft, Pheonix dan Haru-One Curut. Inilah kumpulan yang terhasil dari 'brainstroming' pelatih pegawai kombinasi dengan pelatih G.E.
Pada keesokkanya, lawatan ke Kem Gubir. Kami di sambut oleh Kapt. Saiful dan seterusnya taklimat di sampaikan oleh CO Kem Gubir. Seterusnya, lawatan ke Perkampungan Ikhtiar Hidup. Sesungguhnya lawatan ini sungguh bermakna kerana memberi kami banyak maklumat tentang anggota tentera yang berkhidmat untuk negara di perbatasan. Mereka bukan sahaja berkorban untuk negara, tetapi pengorbanan mereka turut menuntut pengorbanan dari keluarga dan sanak saudara.
Sebelah petang diadakan aktiviti perairan, 'river crossing' dan 'water confidence'. Latihan yang sangat mengutamakan ciri keselamatan. Walaupun nampak 'simple', hati saya agak tidak tenteram sehinggalah latihan tamat. Sebelah malam, satu lagi LDK diadakan. Meriah tapi sesuatu yang membosankan bagi sesetengah pelatih. Malam, ada hal sikit. Sulit!!
Sebelah pagi Khamis, LDK 3: Komunikasi berkesan. Menggantikan aktiviti sukan yang sepatutnya berjalan pada pagi itu. Sedikit info sahaja, tapi harap dapat beri sedikit perubahan. Sebelah petang, pertandingan memancing. Tapi sampai pukul 5 petang, tak siapa yang tunjuk ikan terbesar. Sehinggalah Boy datang kepada saya dan menunjukkan ikan baung yang dia tangkap menggunakan tali pancing dan botol.
Sebelah malam, majlis penutup diadakan. Sedikit saguhati disampaikan kepada staff yang banyak membantu dan juga kepada pemenang.
Keesokan harinya, pentadbiran untuk meninggalkan kawasan latihan dilaksanakan. Lebih urang jam 1000, kami semua berangkat pulang. Namun, dalam perlajanan pulang, kenderaan 3 tan pula kehabisan minyak dan terpaksa meminta bantuan dari 9 RRD lagi. Terima kasih kepada semua yang telah beruasaha. Lebih kurang 1430H sampai di ITAS dan bersurai. Alhamdulillah.

Friday, May 20, 2005

Rekee Party

Sebelum nak mula sesuatu latihan biasanya kita akan membuat tinjauan. Nak memastikan bahawa kawasan yang dipilih menepati kehendak latihan dan program yang akan dilaksanakan. Cuaca nampak macam nak hujan tapi Tasik Pedu memang dah nak kering. Kena 'modified' program mengikut keadaan tanah.

Nampak tak aras sebenar air tasik?

Posing, jangan tak posing :p

Tuesday, May 17, 2005

Cerita Ustaz Din

Bila bercakap tentang perubahan manusia (pelajar). Saya teringat sebuah kisah berkenaan nasihat ringkas yang memberi impak besar kepada diri pelajar. Ini adalah kisah sahabat kawan saya (kawan kepada kawan saya) yang juga merupakan seorang guru. Ini adalah kisah benar.

Suatu ketika, seorang guru telah mengisi masa lapang di kelas dengan bercakap tentang kepentingan 'menghormati kedua ibubapa'. Mengingati dan menginsafi betapa sukarnya kedua ibubapa membesarkan kita. Betapa payah dan jerihnya ibubapa berusaha mendapatkan rezeki demi untuk mengenyangkan perut si kecil (pelajar). Sabar dan tabahnya kedua ibubapa membesar dan menyediakan segala keperluan kita dan berusaha memastikan kita mendapat pendidikan yang terbaik walaupun terpaksa membayarnya dengan nilai yang tinggi.

Guru tersebut telah menyarankan agar para pelajar sentiasa bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada kedua ibubapa setiap masa, apa pun keadaannya dan di mana jua. Guru tersebut telah mencadangkan agar para pelajarnya memulakan dengan mencium tangan si ibu atau bapa sebelum pergi ke sekolah setiap hari. Sebagai menghargai pengorbanan ibubapa mereka.

Pada keesokkan hari, salah seorang pelajar dari kelas guru itu datang ke bilik guru dan ingin berjumpa dengannya. "Cikgu, hari nie belanja sekolah saya, 4 ringgit". Binggung!!. Di dalam hati guru itu tertanya-tanya kenapa tiba-tiba pelajar itu memberitahunya tentang duit saku sekolahnya. Bercampur, rasa hairan. Bagaimana pelajar itu boleh mendapat duit saku yang banyak ke sekolah?. Dengan nada lembut, "Macam mana awak boleh belanja 4 ringgit hari nie?".

"Terima kasih cikgu, ini semua kerana nasihat cikgu". Bertambah hairan guru itu. "Saya tak pernah salam dan cium tangan mak saya sebelum pergi sekolah". "Pagi tadi, pasal saya teringat nasihat cikgu, saya salam dan cium tangan mak saya". "Occay...." sapa guru.

"Bila saya berjalan meniggalkan rumah, dah nak dekat dengan jalan raya, tiba-tiba mak saya panggil saya". "Saya tengok, mak saya macam nak menangis dan dia kata pada saya, "Mak terharu"". "Pada masa yang sama, mak saya telah memberi lagi 2 ringgit untuk bekal sekolah". "Itulah sebab saya nak ucap terima kasih pada cikgu". Sambil tersenyum.

Bagi saya, ini adalah secebis dari berbillion lagi kisah tentang keberkatan menghormati guru. Maksud Hadis, "Tiada apa yang ditinggalkan oleh anak Adam melainkan tiga perkara, Ilmu yang bermanfaat, Amal Jariah dan Anak yang soleh dan solehah". Waallah hua'alam

Monday, May 16, 2005

As-sala-mu-alai-kum Cikgu

Assalamualikum atau Selamat Pagi Cikgu adalah ungkapan yang paling unggul pernah diucapkan oleh setiap rakyat Malaysia. Ucapan yang memuliakan seseorang, setiap hari yang kerjanya adalah menyampaikan ilmu kepada manusia. Di sini, ucapan pagi di tukar dalam bentuk melapor, lebih kurang "Good morning Sir/Maam, Class 5, strength 45, In class 45, ready for your lesson Sir/Maam", "Permision to sit at ease", "thank you Sir/Maam". Apa pun bentuknya, ucapan selamat sejahtera ini ditujukan kepada seorang yang di gelar 'Guru'.

Apa sebenarnya yang menyebabkan seorang manusia itu 'sanggup' mengabdikan dirinya untuk menjadi guru?. Bagi saya, sebab utama yang menjadikan saya ketagih untuk menjadi penyampai ilmu ialah dapat melihat manusia 'berubah'. Perubahan sikap manusia yang sungguh menakjubkan. Bukan sahaja perubahan sikap yang mengubah diri pelajar tetapi mengubah diri saya juga. Dulunya saya hairan kenapa mereka sukar untuk memahami pelajaran yang bagi saya sangat mudah, hari ini saya memahami sepenuhnya bahawa potensi manusia itu berbeza dan cara mereka memahami juga berbeza. Oleh itu, pendekatan untuk menyampaikan ilmu juga berbeza. Ianya sukar tapi itulah tugas paling menyeronokkan.

Menyampaikan ilmu itu sebenarnya bukan semudah bercakap dihadapan kelas dan balik pukul 2 petang. Sebenarnya, lebih dari itu. Kebolehan memahami dan mendalami pemikiran dan hati pelajar itu adalah eset paling berguna bagi seseorang guru yang hendak menyampaikan ilmu yang berkesan. Sebab itu, semua guru yang yang terlatih harus menguasai 'Psikologi Pendidikan'. Kadang-kadang, sedikit motivasi akan mengubah seluruh keperibadian pelajar tersebut. Kita sendiri tertanya-tanya bagaimana nasihat yang sedikit itu boleh mengubah keperibadian pelajar. Pada saya, pastinya guru itu adalah 'idola ilmuan terbaik' untuk pelajarnya. Penginspirasi terbaik. Guru boleh mengubah sikap pelajar dari seremeh-remeh penampilan diri mereka!!

Bagi saya, pelajar juga adalah sebahagian dari hidup saya. Tanpa mereka, saya mungkin menjadi orang lain. Pelajar telah mencorak diri dan pemikiran saya terhadap perkembangan dan perubahan sikap manusia. Adakala kita perlu berlembut dan adakala kita perlu bertegas. Adakala mereka tidak faham kenapa kita bertegas dan adakala mereka lalai dan mengambil mudah bila kita berlembut. Ini pelajaran tentang manusia yang paling berguna bagi saya. Selamat Hari Guru.

Saturday, May 14, 2005

Tungsten E

Terima kasih banyak-banyak buat isteriku atas hadiah yang kau beri. Sungguh bermakna, berharga dan tidak di sangka-sangka. Saya sudah semakin tua dan saya sudah semakin hampir menjadi ketua keluarga. Ya Allah, murahkan rezeki kami dan permudahkan perjalanan hidup kami. Ameen.

Thursday, May 12, 2005

Apabila Kitab Suci di Hina

Utusan Malaysia, 11 Mei 2005.
Sesungguhnya memang aneh pendirian umat Islam hari ini. Memuliakan al-Quran memang sesuatu yang dipuji tetapi melaksanakan apa yang tersirat di dalamnya lebih disanjung tinggi dan mulia.
Inilah yang sebenarnya tiada pada kebanyakan pemimpin Islam hari ini termasuk di kalangan yang tidak senang apabila kitab suci dibuang ke dalam tandas oleh tentera Amerika Syarikat di Guantanamo.
Mengapa perlu melenting sedemikian rupa sedangkan apa yang berlaku di kalangan umat Islam ini adalah cerminan kepada kealpaan umat Islam sendiri terhadap kandungan al-Quran.
Al-Quran menganjurkan perpaduan, tetapi lihat perpecahan yang berlaku di kalangan mereka akibat terlalu taksub kepada kabilah-kabilah atau puak-puak tertentu.
Apa yang berlaku di Palestin dan bagaimana konflik itu gagal diselesaikan berdekad-dekad lamanya adalah contoh terdekat bagaimana kandungan al-Quran diabaikan.
Di manakah kesatuan umat Islam sehingga rakyat Palestin terus menderita lantaran Yahudi yang kecil itu sekalipun gagal dikalahkan.
Di Iraq misalnya, maruah umat Islam dihina begitu sekali akibat percaturan kuasa-kuasa besar.
Sehingga hari ini pun, serangan-serangan bom dilaporkan saban hari. Ironinya, yang menyerangnya umat Islam, yang menjadi mangsa pun umat Islam juga.
Bagi sesetengah umat Islam pula, jihad pula ditafsirkan semata-mata sebagai perjuangan bersenjata ke atas bukan Islam tidak kiralah sama ada melalui peperangan gerila atau meletupkan diri sendiri.
Di kalangan negara yang kaya minyak pula, pemimpinnya hanyut dengan kekayaan selain terus berkiblatkan kepada kuasa-kuasa besar. Mereka terlupa ajaran al-Quran menuntut pembelaan ke atas nasib umat seagama.
Lebih teruk, mereka membelanjakan kekayaan yang ada membeli senjata yang dijual musuh untuk membunuh umat sesaudara sendiri.
Hari ini secara globalnya, tidak keterlaluan dikatakan bahawa negara-negara Islam secara fizikalnya telah pun dikuasai kuasa besar.
Tangan kuasa besar ada di mana-mana, sama ada politik mahupun sosial. Tidakkah umat Islam terasa hina dan rimas dengan senario-senario begini?
Jadi bagi musuh-musuh Islam apa ada pada al-Quran. Jika mereka hendak melenyapkannya, apa yang umat Islam mampu buat hanyalah marah-marah sahaja.
Bagi musuh-musuh Islam tiada yang boleh mereka contohi daripada umat Islam sendiri kerana al-Quran yang mereka jadikan panduan itu tidak pula diikuti.
Kalau ikut hukum dunia, adalah sesuatu yang lumrah mereka yang hina biasanya ditindas dan inilah harga yang perlu dibayar umat Islam kerana gagal mencermin diri sendiri serta gagal mengikut apa yang tersirat dalam kitab suci mereka. Jadi siapakah yang menghina al-Quran sebenarnya?

Thursday, May 05, 2005

Perbarisan Sayap

Di medan pertempuran, Pasukan Udara juga dikenali sebagai 'Queen of War'. Ini mengambil sempena kelebihan buah 'permaisuri' dalam permainan catur yang mempunyai keupayaan melangkaui petak catur tanpa had dan arah yang tertentu. Kelebihan ini juga membolehkan 'permaisuri' menewaskan buah catur musuh dari kedudukan yang tidak dapat dijangkau oleh buah catur lain.

Begitu juga keupayaan Pasukan Udara dalam pertempuran pada hari ini. Berkeupayaan untuk menjangkau pandangan di medan pertempuran, mengenalpasti kedudukan musuh, menghancur kedudukan musuh dan seterusnyanya menguasai ruang angkasa musuh. Kelebihan ini menjadi aset yang berguna bagi satu-satu angkatan bersenjata. Pasukan Udara juga mampu mempermudahkan pergerakkan logistik ke lokasi yang sukar dimasuki melalui jalan darat. Disamping itu, kecanggihan teknologi Pasukan Udara juga melahirkan anggota-anggota yang mempunyai kemahiran dalam kejuruteraan tinggi. Ini semua adalah salah satu asas untuk sebuah angkatan bersenjata yang perkasa.

Pada hari ini. Panglima Tentera Udara, Jen Dato' Sri Nik Ismail bin Nik Mohamed telah menyempurnakan Upacara Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Kelas 2003 Siri 1246 dan Jurumalim Siri 04/03 di Kolej Tentera Udara, TUDM Alor Setar, Kedah.

Congratulation...!!

Tuesday, May 03, 2005

Black Paddle

Minggu lepas adalah permulaan bagi sukan air di Kedah. Tempat yang paling popular sekali bila bercakap tentang sukan air ialah Ampang Jajar. Saya mula mengenali Ampang jajar dan Perahu Panjang ini sejak saya bersekolah di SMAP Kajang lagi pada awal tahun 90an. Pada ketika itu saya mempunyai beberapa orang sahabat yang datang dari sekolah yang terkenal di Alor Star ini, iaitu Maktab Mahmud. Perkara yang menarik tentang pelajar dari Maktab Mahmud ini ialah, mereka mempunyai susuk tubuh badan yang tegap dan lengan yang kuat. Setelah diselidiki, barulah saya tahu rupanya mereka adalah pendayung bagi perahu panjang untuk sekolah mereka.

Hari ini, sudah hampir setahun saya menjadi 'Team Manager' bagi Black Paddle. Pasukan Perahu Panjang bagi ITAS. Black Paddle telah membawa saya ke banyak temasya sukan air. Ampang Jajar, Batu Feringgi dan Putrajaya. Pada minggu lepas (30 April hingga 2 Mei) mereka telah mengikuti pertandingan di bawah kategori 'Uniform'. Pada saringan pertama kami berjaya mengalahkan PENJARA dengan catatan masa 4 minit 27 saat. Namun pada perlawanan suku akhir, kami tewas kepada Pasukan 3 ARMOR yang mencatat masa 4 minit 9 saat. Nampaknya takde rezeki tahun ini di Ampang Jajar setelah menjadi Johan IPT dua tahun berturut-turut.

Walaupun Black Paddle sentiasa kekurangan dana, mengahdapi saat-saat suka duka, kejayaan dan kekecewaan tetapi mereka tetap gembira mengayuh dengan kesungguhan untuk mencapai impian sebagai Pasukan Pendayung TUDM yang terhebat.