Wednesday, March 16, 2005

Mengelak mentaliti kelas ketiga

Oleh RAHMAT HIDAYAT SABARI
MENTALITI kelas ketiga di sini ditakrifkan sebagai kegagalan menggunakan kuasa berfikir sebenar ke tahap paling maksimum, seimbang dengan kedudukan pemikiran masyarakat yang boleh dianggap maju serta bertamadun.
Sekali imbas, ia mampu memberikan satu perbandingan yang mudah berlaku di dalam fenomena alam sekeliling iaitu umpama ``memberi sekumpulan monyet dengan sejambak bunga yang wangi''.
Si monyet pada asasnya hanya dapat mencium keharuman bunga itu tetapi selepas mencium, bunga yang masih berbau keharumannya itu ditinggalkan begitu sahaja.
Kisah monyet dan bunga di atas sebenarnya berlaku di dalam realiti orang Melayu di negara ini.
Kita juga seperti monyet yang hanya pandai mencium bau kemajuan, menyentuh pembangunan dan melihat keindahan teknologi terkini, tetapi semuanya itu tidak bermakna kerana ia bukan milik kita, semuanya milik orang lain sehingga pada satu-satu masa kita hanya dapat menumpang nama di sebalik kemajuan orang lain.
Akhirnya, perubahan sosial dan pembangunan yang berlaku di sekeliling kita tidak kelihatan bermakna, sebagaimana hal si monyet yang membuang bunga masih harum.
Memetik tulisan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam bukunya yang berbunyi : ``Orang Melayu yang selama ini lemah disebabkan oleh pengaruh keturunan dan alam sekitar tidak berupaya untuk menghadapi cabaran pendatang-pendatang Cina ini, hingga terpaksa mengalah. Apa sahaja yang boleh dilakukan oleh orang Melayu, orang Cina boleh melakukannya, tetapi dengan lebih baik dan lebih murah.
Lama-kelamaan pendatang-pendatang Cina yang mempunyai keazaman yang kuat dan rajin bekerja mula mengambil tempat perniagaan-perniagaan kecil dan semua kerja mahir yang dahulunya diusahakan oleh orang Melayu''.
Sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu merupakan golongan yang lambat menerima perubahan terutamanya dalam aspek menyambut cabaran ke arah kemajuan.
Justeru timbulnya kisah Mat Jenin yang telah diputarbelitkan oleh penjajah sehingga menjadi cerita rakyat yang menggambarkan sikap negatif orang Melayu di mata dunia.
Sebenarnya Mat Jenin merupakan orang Melayu yang mempunyai cita-cita dan harapan yang tinggi. Mat Jenin sudah menanamkan di dalam pemikirannya untuk memajukan dirinya dari segi ekonomi dengan menjual hasil pertanian, iaitu buah-buah kelapa dan dijadikan modal untuk memulakan perusahaan baru. Bukankah ini merupakan cara berfikir masyarakat yang berdaya maju dan inovatif?
Bagaimanapun, jika kita melihat realiti kehidupan sebenar masyarakat kita hari ini, dapatkah kita menyangkal putar belit itu?
Lihat sahajalah kehidupan generasi muda kita hari ini.
Pelbagai gejala negatif telah meracuni sikap dan pemikiran anak muda Melayu seperti penyalahgunaan dadah, ghairah dengan budaya konsert, pergaulan bebas lelaki dan perempuan dan salah laku akhlak.
Malahan kita dapat melihat baru-baru ini ketika sambutan tahun baru, masih ramai remaja Melayu keluar bersuka ria hingga lewat pagi walaupun kerajaan mengisytiharkan semua bentuk sambutan tahun baru dibatalkan demi menghormati mangsa bencana tsunami.
Menimpa
Bagaimanakah nasib Wawasan 2020 yang begitu gagah impiannya sekiranya generasi kita hari ini terus mengambil sikap `acuh tak acuh' dengan gejala sosial yang menimpa generasi muda kita.
Berdasarkan petunjuk Ibnu Khaldun (1322-1406), ahli sejarah Islam yang mengkaji teori jatuh dan bangunnya sesebuah bangsa, generasi kedua merupakan kelompok yang akan menikmati usaha dan pengorbanan generasi pertama dalam membentuk serta membangunkan masyarakat atau bangsanya.
Halangan dan cabaran yang bakal dihadapi oleh generasi kedua kelak bukan setanding dengan ujian pernah dilalui oleh generasi pertama pada awal pembentukan bangsa.
Dalam era generasi kedua inilah selalunya, menurut Ibnu Khaldun, semangat setia kawan mula menjadi kendur dan pudar.
Generasi muda hari ini merupakan generasi pewaris dan pembentuk kepada generasi masyarakat maju di masa akan datang.
Kita adalah acuan kepada generasi akan datang.
Justeru, setiap individu harus lebih peka dengan persekitaran kehidupan serta masalah yang sedang menimpa masyarakat kita hari ini.
Aspek terpenting yang harus diperjuangkan ialah berusaha membataskan sehingga peringkat minimum kemasukan budaya hedonisme ke dalam masyarakat kita.
Jika kita masih gagal menyediakan persekitaran yang kondusif untuk generasi muda, maka semakin menjadi kurang bermakna program-program pembangunan remaja dan belia yang digariskan di dalam dasar negara.
Apa ertinya kita menghabiskan beratus ribu wang rakyat untuk Program Khidmat Negara jika selepas tamat latihan, remaja-remaja ini akan tetap turun ke lembah kehidupan yang penuh dengan kelalaian dan keseronokan.
Wawasan 2020 merupakan satu wawasan yang memerlukan persediaan rapi dari segi mental dan fizikal.
Justeru, menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk mengubah serta membentuk sikap dan budaya berfikir ke arah yang lebih positif bagi merealisasikan cita-cita dan harapan murni ini

No comments: