Wednesday, March 16, 2005

Kerohanian dalam sains

Oleh DR. BAHARUDIN AHMAD
MINAT yang mendalam tentang kesejajaran agama dan sains di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) di kalangan ahli sains yang terkemuka masih jelas apabila Prof. Chales Townes memenangi hadiah RM5.7 juta kerana usaha dan pemikirannya tentang kesejajaran di antara agama dan sains.
Hadiah itu dimenangi Townes, seorang ahli sains terkenal dari Universiti California di Berkeley di atas minat yang mendalam, ceramah serta tulisannya tentang kerohanian serta bagaimana sistem kerohanian dapat memberikan makna kepada kejadian alam, sama seperti bidang sains fizikal yang juga cuba mencari makna kepada struktur kejadian alam.
Kebanyakan ahli sains Eropah yang terkemuka seperti Isaac Newton dan Albert Einstein mempunyai minat sangat mendalam terhadap agama dan ilmu kerohanian sehinggakan mereka dapat mencari sistem kejadian alam melalui kemungkinan-kemungkinan yang telah dinyatakan di dalam sistem kerohanian Yahudi dan Kristian.
Begitu juga dengan para ahli sains yang lebih awal seperti Galileo Galilei dan Leonardo Da Vinci.
Di Eropah, sains dan agama jauh terpisah di antara satu sama lain di dalam pandangan masyarakat umum tetapi para ahli sains Barat umumnya tidak memisahkan dua perkara tersebut.
Mereka mengetahui hal ini melalui latar belakang kehidupan beragama masing-masing terutamanya di dalam bidang kerohanian.
Sains mencari struktur kejadian dan agama memberi doktrin yang telah siap tentang kejadian.
Menurut Townes, kedua-duanya harus bertemu dan memberi penjelasan tentang yang satu sama lain sehinggakan sains tidak antiagama dan sebaliknya.
Di kalangan para pemikir Islam zaman lampau dan beberapa orang yang masih hidup kini tidak terdapat pemisahan mutlak di antara sains dan agama.
Agama memberi pengajaran tentang kejadian alam sedangkan sains memberi penjelasan tentang bagaimana struktur kejadian itu berlaku, asal usul kejadian dan sistem yang terdapat pada kejadian.
Para ulama Islam di zaman lampau meletakkan sains sebagai salah satu bidang ilmu sedangkan agama adalah penjelasan kepada keseluruhan ilmu.
Agama memberi jawapan dan inspirasi mengenali alam sedangkan sains mengkaji dan menemui bahawa apa yang telah dinyatakan di dalam agama itu dan mengetahui bahawa ia tidak berbeza dengan apa yang dapat difikirkan serta ditemui di dalam sains.
Ibn Sina dan al-Biruni dengan kaedah masing-masing meletakkan agama dan sains pada satu kedudukan yang jelas di mana agama menyatakan tentang kejadian dan sains membuktikan bahawa apa yang dinyatakan di dalam agama itu tidak berlawanan dengan sains.
Pemikiran
Demikian juga dengan bidang ilmu lain yang juga diletakkan di bawah makna agama seperti ilmu alam, ilmu hayat, matematik dan sebagainya.
Kesemuanya dikaji dengan semangat agama dan menerima fakta agama sebelum membuat kajian tentang apa yang dinyatakan oleh agama.
Apa yang dimaksudkan di sini ialah meletakkan sains pada tempatnya yang betul sehinggakan ia menjadi satu cabang ilmu dan bukannya ilmu yang hakiki sehinggakan penjelasan sains itu diambil bulat-bulat dan ia menghukum tafsiran atau kenyataan agama.
Di dunia ketiga amnya sains dan sains sosial diterima pakai sehingga ilmu ini memberi tafsiran tentang makna kehidupan, agama serta budaya.
Ia menjadi sebegitu hakiki sehinggakan makna agama diputarbelitkan dan hierarki ilmu diterbalikkan.
Salah satu punca mengapa hal ini berlaku ialah sempitnya ilmu agama di dunia Islam kini.
Bidang agama disempitkan kepada masalah hukum dan keperluan muamalat semata-mata di dalam kerangka mengikut hukum.
Agama tidak diperluaskan selain dari keperluan ibadah individu dan keperluan masyarakat di dalam kehidupan sosialnya.
Bidang-bidang ilmu agama seperti falsafah, teologi dan metafizik dilupakan di dunia Islam kini dan hanya menumpukan perhatian kepada penafsiran kehidupan sosial, ekonomi, jual beli, sistem perbankan dan sebagainya - yang umumnya tidak memerlukan sarjana besar untuk mentafsirkan persoalan berkaitan dengannya.
Di pusat-pusat pengajian tinggi juga tidak diberikan perhatian kepada ilmu falsafah, teologi dan metafizik sehinggakan doktrin-doktrin besar di dalam bidang-bidang pengajian tersebut tidak mendapat tempat di dalam akal fikiran para penuntut dan juga pemikir di universiti.
Akibatnya, berlaku ketandusan pelbagai bidang ilmu dan konsep yang boleh menjadikan Islam sebagai agama ilmu dan agama yang membicarakan kejadian alam serta tafsirannya terhadap alam itu yang terdapat di dalam doktrin pemikiran Islam tentang wujud, segala pecahannya, masalah-masalah yang berkaitan dengan hal ini, konsep masa dan ruang, konsep atom dan hierarki atom di dalam kejadian.
Para ahli fikir Islam zaman lampau seperti al-Farabi, Ibn Sina, al-Ghazali, Ibn. Arabi Sadr-al Shirazi, al-Biruni dan ramai lagi membicarakan persoalan ini dan memberi tafsiran tentangnya.
Mereka membicarakan hal ini di dalam perbicaraan tentang wujud.
Banyak tafsiran mereka ini dibicarakan semula kini oleh para ahli sains teoritikal moden yang sangat meminati bidang metafizik dan ramai pula yang hidup menuruti ajaran Tao China atau Mahayana Buddha hanya kerana melihat banyak persamaan di antara apa yang disebutkan oleh golongan ini dengan apa yang dijumpai di dalam bidang fizik teoretikal kini.
Mereka tidak langsung mengetahui kekayaan pemikiran Islam yang membicarakan tentang kejadian serta sifatnya.
Seorang ahli sains yang terkemuka pada masa sama merupakan seorang ahli falsafah dan pemikir.
Mereka menerokai alam kejadian kerana keinginan untuk mengenali yang benar dan hakiki, sedangkan para saintis di dunia Islam lebih berminat dengan sains semata-mata dan mengetepikan minat terhadap falsafah serta pemikiran sains sehingga mereka menjadi sempit kepada yang sudah ditulis di dalam buku teks Eropah.
Berlaku pemisahan yang besar di antara bidang kajian mereka dengan agama sebagai cara untuk hidup seperti yang difahami mereka di dalam kerangka hukum hakam sahaja.
Di sinilah kerugian besar masyarakat Islam sendiri yang melupakan dan mencemuh apa yang telah ditulis oleh pemikir mereka sendiri, membicarakan agama di dalam acuan sendiri, tidak menerokai alam dengan asas ilmu yang telah dituliskan beratus-ratus tahun lalu oleh pemikir Islam.
Kejadian
Malahan mereka menuduh dan mencemuh golongan ini sebagai sesat dan tidak mengikut ajaran Islam yang sejati.
Hasil ketandusan akal sebegini menyebabkan dunia Islam harus terus menerus melihat apa yang ada di Barat dan menunggu jawapan-jawapan diberikan oleh para ahli sains Barat yang umumnya lebih kreatif disebabkan mereka mempunyai jiwa dan akal lebih besar selain tidak sekadar mempelajari sesuatu kerana kerjaya.
Jiwa para saintis Islam harus disegarkan dengan ilmu metafizik, falsafah dan teologi yang ditulis oleh para pemikir sufi zaman lampau yang mendapat banyak idea tentang kejadian, alam, atom, strukturnya, masa dan ruang dan sebagainya.
Ilmu ini didapati kerana pengalaman mereka yang tidak semata-mata melalui kaedah sains namun kajian mereka itu tidak dapat disangkal oleh sains moden kerana sains moden kagum dengan keselarasan kenyataan yang dibuat oleh para ahli sufi tersebut dengan penemuan di dalam sains moden.
Dengan memperluaskan makna pemikiran agama kepada pentafsiran kejadian alam dan kedudukannya maka sains dapat mempelajari banyak penemuan agama dan pemikirannya sehinggakan sains tidak menjauhkan diri dari agama seperti zaman lampau di kalangan pemikir dan ahli sains Islam.
* Dr. Baharudin Ahmad ialah pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran Dan Tamadun Islam (ISTAC).

1 comment:

Anonymous said...

assalamualaikum..
saya khadijah dari Universiti teknologi malaysia (UTM),skudai,johor.

saya pelajar master dan sekarang mengambil subjek falsafah sains dan pembangunan sosial.sekarang sedang membuat tugasa bertajuk kesan pemikiran sains moden kepada masyarakat hari ini.

jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara Amir Azmi kerana telah membuat post ini.saya berharap saya akan mendapat banyak maklumat untuk menjayakan tugasan saya dengan adanya forum ini.
terima kasih