Sunday, July 18, 2010

Licin

"Alhamdulillah, semuanya selamat", getus hatiku sebaik sahaja memberhentikan kenderaanku di tepi lebuh raya setelah berputar beberapa kali di km 420.3 menghala ke selatan. Bumper depanku hancur dan bonet belakang sebelah kiri kemek. Hujan masih lebat di luar. Aku melihat bapa mertuaku tenang duduk di sebelahku namun kelihatan terkejut. Aku meneruskan perjalanan dengan harapan akan sampai ke Sungai Besi untuk dibaiki. Namun, hampir-hampir di persimpangan keluar ke Kepong, penanda radiator telah menunjukkan yang radiatorku sudah panas dan tidak mampu bergerak lagi.

Sebuah lori penarik berhenti di lebuh raya setentang di mana keretaku berhenti. Muncul seorang lelaki India memujuk-mujukku agar mengunakan perkhidmatannya. Aku cuba menolak dan menghubungi Honda. Honda tidak begitu membantu, masa semakin petang dan aku tiada banyak pilihan. Terus sahaja aku dan Aboy menaiki lori penarik dan membuat pusingan kembali ke keretaku.

Keretaku di tarik sehingga ke tempat kemalangan. Diberhentikan dan diambil gambar sekali lagi untuk tujuan tuntutan insuran. Aku belajar perkara penting, setiap kali kemalangan, berhenti dan laporkan kemalangan sebelum membuat apa-apa. Dari situ, aku dibawa ke Balai Polis Ulu Bernam untuk membuat laporan. Hantar keretaku di Tanjung Malim untuk disimpan sebelum di bawa ke Segambut pada hari Isnin.

Aku di sambut oleh kak ipar dan suami di tol Bukit Beruntung dan berehat di rumahnya. "Ya Allah, berkati dan permudahkanlah segala urusanku, Ameen".

Saturday, July 17, 2010

PAPAGO!

Di antara perkara yang paling tidak senang apabila memandu di tempat baru adalah ketidakupayaan mencari tempat yang dituju melalui laluan yang sebenar. Keadaan lebih mencemaskan apabila tanda-tanda bantuan di jalan raya menunjukkan yang saya telah tersasar dari objektif. Pada ketika itu rasa marah bercampur geram dan gelisah mula menyerang saraf-saraf di dalam otak. Cemas memikirkan masa yang terluang, kelewatan, pembaziran minyak dan kebodohan diri sendiri.

Simpton-simpton yang terhasil dari kesesatan di tempat baru ini telah memberitahu saya banyak perkara. Utama sekali, saya mesti bersedia dan merancang sebelum memandu di tempat baru. Ia akan memastikan perjalanan yang lancar ke tempat yang hendak dituju dengan ketenangan di hati. Dulu saya akan 'reckee' dulu tempat yang hendak dituju. Contohnya mesyuarat di Kuala Lumpur pada hari Selasa, pada Sabtu saya akan menumpang di rumah keluarga di Shah Alam dan cari jalan ke tempat mesyuarat.

Dengan datangnya teknologi internet, saya dapat manfaat dari google.maps. Menjimatkan masa 'reckee' saya. Ia sangat membantu, namun adakalanya masih tersesat juga. Setakat itu, saya cuma mahir satu jalan sahaja di Kuala Lumpur. Dari Shah Alam ke Jalan Padang Tembak!

Sejak bernikah dengan graduan Universiti Malaya. Pengetahuan jalan-jalan di Kuala Lumpur bertambah baik. Co-pilot saya sememangnya mahir jalan-jalan di Kuala Lumpur. Ini sangat mengembirakan saya. Memandu dengan tenang disamping co-pilot yang tersayang.

Kini saya mula berkhidmat di Kuala Lumpur. Jalannya sentiasa sesak, pemandu yang memandu dengan laju, sesetengahnya tidak bertimbang rasa dan terlalu banyak jalan sehala!. Tidak berubah sejak dulu. Saya memerlukan lebih dari pembantu-pembantu yang lalu. Saya memerlukan sesuatu yang sentiasa mendampingi saya sepanjang pemanduan di Kuala Lumpur. Dua hari lepas saya telah memilikinya. Set gps PAPAGO! yang saya telah beli di Plaza Law Yatt. Harga yang berpatutan dari Fotokem setelah menawaf plaza tersebut beberapa kali.

Setelah memandu dengan penuh ketidakpastian ke Law Yatt menggunakan google.maps yang dicetak di bilik guru, saya singgah ke Jaya Jusco Cheras Selatan dengan tenang sebelum balik ke Sg. Besi bersama co-pilot baruku. :)

Monday, July 12, 2010

Keikhlasan

Saya telah mengalami sejak lama dulu, bila saya benar-benar menginginkan bantuan tetapi bantuan yang diharap tidak pernah kunjung tiba. Kekecewaan ini telah membentuk satu perubahan sikap yang besar dalam diri saya bahawa, saya sentiasa merancang ke hadapan untuk menjadikan suatu tugasan itu dilakukan bersama sebagai pilihan pertama dan juga kedua. Pilihan ketiga, saya sendiri menggunakan inisiatif saya sendiri untk memastikan tugasan itu dilaksanakan. Pilihan ini sememangnya sangat pedih.

Biasanya, bila berada dalam pasukan yang ikhlas, semuanya berjalan dengan lancar. Adakalanya, bila ada orang yang merasakan itu sebagai sesuatu desakan, tugasan akan dijalankan dengan ala-kadar. Inilah yang membuat saya sentiasa memikirkan pilihan ketiga kerana saya pasti mala petaka akan melanda sekirangnya saya tidak mengambil tindakan segera untk mengatasinya. Arrgghh.. akhirnya aku juga yang meyelesaikan tugasan tersebut, memang tak boleh diharap.

Adakalanya suatu kebijaksanaan sekiranya dapat segera memilih orang yang ikhlas, tetapi kebiasaanya kita hanya dikurniakan mereka-mereka yang tiada semangat dan hanya separuh dari hatinya dipenuhi dengan ikhlas.

Apa yang saya belajar tentang keikhlasan? Keikhlasan memberitahu saya bahawa hasil kerja yang dihasilkan oleh mereka yang ikhlas adalah sangat bermutu. Ia memerlukan usaha yang berterusan dan kerahan fizikal dan mental. Ada kalanya untuk mencapai keikhlasan, masa untuk keluarga juga terpaksa diabaikan. Ini sangat meruntun jiwa. Namun, saya percaya Allah maha mengetahui.

Saturday, July 10, 2010

Tanda Diri

Saya masih lagi mengingati kata-kata Ketua Staf Am saya tentang kepentingan berbangga memiliki sayap berdarah. Kata-katanya itu tercetus setelah saya menyatakan bahawa saya agak segan untuk memakai sayap berdarah kerana tempoh berada di briged para dirasakan tidak cukup untuk mematangkan saya sebagai paratroopers. Beliau menyatakan bahawa tiada siapa yang mampu mencabut lencana sayap berdarah yang ada pada dada saya ini walaupun mereka adalah musuh di dalam pertempuran kecuali dengan izin Allah. Begitulah bangganya salah seorang paratroopers jati yang pernah saya kenali.

Kini, di Kuala Lumpur rasa bangga itu menjadi kenyataan. Bukan kerana mempertahankan dari dikopek oleh musuh tetapi hanya sedikit yang mempunyai sayap penerjunan berpelapik merun. Kebanggaan itu lebih terserlah apabila budaya di dalam tentera yang sentiasa memerhatikan tanda pengenalan dalam setiap kali berkenalan buat kali pertama. terlebih dari itu, saya suka budaya memerhati tanda pengenalan kerana ia secara tidak langsung memberi tahu orang lain tentang nama kita. Nametag adalah pengenalan diri yang asas dalam tentera.

Dalam hal ini, saya dapat melihat bagaimana nametag memberi impak kemesraan segera dalam interaksi dan sosial dalam tentera. Sesampai saya di MTD, CI adalah orang pertama yang saya jumpa dan kata-kata pertamanya adalah, "Mir, ko dah ada tempat tinggal?, aku rasa macam pernah jumpa ko la!". Saya tahu, dia telah melihat nametag saya. :)

Namun menjadi ralat di MTD ini. Ramai kakitangan awam tidak berminat untuk memakai nametag. Tidak dapat dipastikan kenapa mereka tidak mahu dikenali dan saya dapat merasakan impaknya. Mereka kurang mesra dan mengambil masa yang agak lama untuk dikenali. Sesuatu harus dilakukan untuk meningkatkan keintiman ini.