Wednesday, March 30, 2005

Cerita Lucu dari Titi Hayun

Cerita 1
Di suatu ketika di waktu maghrib di sebuah kampung, Iman surau kampung itu telah gagal menghadirkan diri. Ini kerana ada keuzuran yang tidak membolehkan dia hadir ke surau. Maka para makmum menjadi risau, kerana tiada penganti iman. Maka para makmum pun mula mencari-cari sapa di antara mereka yang boleh menjadi Imam. Diantara mereka adalah seorang pakcik berserban lagi nampak alim. Maka Para jemaah bersetuju untuk menlantik pakcik itu menjadi Iman. Namun begitu, pakcik itu berkeras untuk tidak menjadi Iman. Namun, akibat desakan, pakcik itu tetap jua menjadi Iman.
Baru masuk rakaat pertama, tembelang pakcik tu pecah. Rupanya dia tidak tahu membaca Al-Fatihah. Makmum menjadi resah kerana waktu solat maghrib sudah hendak tamat. Maka mereka mencari-cari lagi di kalangan jemaah sesiapa yang sesuai menjadi Imam. Dalam pilih memilih itu, mereka memilih seorang pemuda yang di rasakan sesuai, ini kerana pemuda itu boleh dikatakan setiap waktu ada di surau itu. Maka para jemaah menolak pemuda itu menjadi Iman walaupun beliau juga menolak seperti pakcik tadi. Kali ini, bila masuk bacaan surah, pemuda ini membaca merangkak-rangkak, rupanya dia tidak hafal satu surah pun.
Para jemaah menjadi hilang akal kerana tiada siapa yang boleh menjadi iman, ditambahkan lagi waktu Isyak semakin hampir!. Dalam keributan itu, seorang budak secara sukarela ingin menjadi Imam. Dalam separuh ragu, para jemaah mengizinkan budak itu mengimamkan solat Maghrib pada malam itu. Memang tidak mengecewakan, budak itu memang berbakat menjadi Iman, bacaannya yang betul ditambahkan dengan suara yang lunak. Para jemaah sangat berpuas hati.
Selepas selesai solat, para jemaah bersalaman dengan imam 'cilik' ini. Pada ketika itu juga seorang jemaah memuji budak itu. "Bagus betul la adik nie!". Secara spontan budak itu menjawab, "Itu belum ambil wudhu lagi, kalau lepas wudhu lagi sedap!!".



App 16 di Yan

Pilihan Melayu: Mahu senang atau susah

Oleh Azman Anuar (Wartawan Utusan)
Biasanya tabiat orang Melayu, jika diberi dua pilihan pendekatan; pertama melalui cara susah, kedua, cara mudah dan senang, sudah tentu pilihan popular ialah pendekatan kedua. Begitu juga sikap Melayu dalam apa juga bidang dan pekerjaan.
Pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam wawancara Utusan Malaysia mendedahkan sikap sesetengah orang Melayu yang hanya mahu jalan senang sahaja. Malah ada yang terlampau berpegang pada semangat nasionalisme yang tinggi hingga mereka terlupa hakikat bahawa negara ini sudah berada di atas pentas utama dunia.
Sebab itu, apabila orang Melayu kembali dibawa pada polemik bahasa dalam pengajaran Sains dan Matematik melalui bahasa Inggeris yang baru masuk tahun ketiga pelaksanaannya, yang mana patut dipilih oleh orang Melayu.
Adakah kerajaan yang dipimpin orang Melayu ini harus mengkaji semula dasar bahasa Inggeris ini atau meneruskan tindakan tidak popular di zaman Dr. Mahathir itu?
Jika ditanya kepada murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah yang terlibat dengan pengajaran dua subjek itu, mereka sudah tentu mahu pengajaran itu dibuat dalam bahasa Melayu.
Hal sama juga akan diluahkan oleh para guru yang terlibat. Kerana pada asasnya mereka mahu keadaan selesa seperti sebelum ini, malah otak mereka tidak `berasap' untuk berfikir dan lidah tidak kelu untuk menyebut dalam bahasa Inggeris.
Tetapi kita jangan mudah lupa, dahulu kita bertungkus lumus mencari jalan bagaimana hendak meningkatkan darjat dan maruah orang Melayu di tanah tumpah darahnya.
Dalam persaingan hidup kini, apa yang boleh Melayu pertaruhkan ialah pelan jangka panjang dalam bidang pendidikan yang membolehkan anak-anak Melayu menguasai ilmu pengetahuan.
Tetapi, jika ada sahaja pihak yang bangkit menentang usaha untuk merevolusikan mental Melayu ini daripada dilaksanakan, ia akan merugikan kita sendiri. Kita tidak boleh lagi terlampau dimanjakan oleh semangat bahasa, status pribumi serta hak istimewa bumiputera dalam perlembagaan. Akibatnya, kita seolah-olah tidak mahu langsung anak-anak Melayu menghadapi kepayahan dalam perjalanan hidup mereka.
Jika usaha gigih dalam `memaksa' anak-anak Melayu menimba ilmu dalam bahasa asing ini tidak dilakukan, bermakna kita akan kembali kepada masalah lama.
Pokok segala harapan ini terletak kepada ibu bapa, sama ada mahu cara senang atau susah.
Kalau mahu cara senang, biarkan saja anak-anak mereka hanya menguasai satu bahasa sahaja.
Pelajar berkenaan tidak perlu pening kepala untuk memahami dan menguasai subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Kalau ibu bapa mahu cara susah, `paksa' anak-anak belajar dalam bahasa Inggeris. Pada peringkat mula, memang banyak dugaan yang boleh mematahkan semangat untuk belajar dalam bahasa itu. Tetapi dengan cara dan sistem yang betul mereka akhirnya akan menguasainya.
Jadi, cara mana jadi pilihan orang Melayu?

Saturday, March 26, 2005

Titi Hayun, Yan.

4 minggu sebelum latihan ini, Mej. Zubir telah melantik saya sebagai ketua latihan Grup Dinamik App. 16. Ini merupakan kali ketiga, sebelum ini di Puncak Janen, Pendang dan Titi Hayun, Yan juga tapi di ambil alih oleh Kapt Noor kerana menghadiri kursus ESP di TLDM, Lumut. Kali ini pastinya latihan yang terbaik untuk pelatih.

22 Mac 2005
Bertolak meninggalkan ITAS pada jam 0830 berjalan dengan lancar. Pada jam 0930, Pelatih sampai betul di hadapan sebuah kedai yang mana dijadikan tapak permulaan jalan lasak. Latihan ini mengambil masa lebih kurang 1 jam dan masa bagi setiap kumpulan di ambil untuk mata. Sesampai di garis penamat, berehat, berkumpul, memasang khemah, bina dapur, surau dan mengali tempat mandi. Pelantikan PW latihan juga dibuat dan Kedi bernasib baik!. Task untuk LDK I di berikan lebih kurang 1500H dan pelatih membantu Jurulatih membina rumah masak, tempat tidur dan surau. Selepas Isyak, Program LDK I bermula (pembentangan bendera, logo dan konsep). Lebih banyak cadangan, pandangan yang merapu. Meraka tak serius!. Mangsa pertama yang disiksa adalah kerana menghisap rokok dalam kumpulan..!!. lebih kurang jam 0030, program sesesai dan Pelatih kembali ke khemah masing-masing.

23 Mac 2005
Latihan di mulakan dengan memanjat 1000 Tangga Kenari. Merupakan salah satu tarikan utama di Air Terjun Titi Hayun. Memang mencabar fizikal, kerana ada yang kena papah ke atas. Dari pengiraan salah sorang anggota yang di 'detail', bilangan anak tangga itu sebenarnya adalah 1262 anak tangga, dan pengetahuan itu telah menjadi markah bonus pada kumpulan yang nak ambil tahu. yang pasti, ramai yang kencing masa buat senaman perang, sebab tu ramai yang 'pewai' masa panjant tangga tu. Markah bonus diberi pada kumpuan yang paling banyak mengumpul sampah. dan kumpulan terakhir, G6... kena sapu tangga Kenari. Memang inilah kali pertama pembersihan tangga Kenari dilakukan. Memang bersih... Bagus depa nie!. Acara seterusnya adalah pertandingan sukan. dua sukan sahaja yang dapat diadakan kerana kekurangan staff. Namun begitu, pertandingan tetap meriah. Sepak Takraw Bulatan dan 'Shootball'. Occay la!! They fought well..!. Sebelah petang LDK II: Komunikasi Berkesan, sekali lagi mereka tak serius, terutama Cobra, akibatnya kena tolak 5 markah dan akan di siksa. Di kesempatan itu juga, satu acara spontan telah dilaksanakan. Pertandingan Memikat. Pada teorinya Cobra yang terbagus tapi pada aplikasinya. Cobra dan G6..... yang gagal! Sebelah malam LDK III: Pulau Harapan. Baru nak serius lepas kena rendam. Tapi bila serius sangat ramai yang lentok, macam biasa dua korban kena siksa. Habis lewat kat 0100H baru selesai. Tido kat luar, cuaca malam tu hangat sikit!

24 Mac 2005
Bangun awal dan solat subuh berjemaah. Bersiap untuk Program Khidmat Masyarkat. Dua kumpulan telah dihabagi, satu untuk Rumah Anak Yatim Budi, Yan dan satu lagi tanah perkuburan Serdang Pasir. 0900H, semuanya dah bergerak dalam tiga kumpulan dan tiba jam 0930. di Rumah Budi Yan, ada sedikit masalah di mana suasana tidak terurus namun dapat di atasi kemudiannya. Di tanah perkuburan, memang tidak dijangka. Pertolongan Datuk Shamsudin bukan sahaja sahaja mengumpulkan pekerja Majlis Daerah Yan berserta peralatan gotong royong, tetapi orang kampung. Mereka menyambut kami dengan memasang kaset bacaan Al-Quran dan gotong royong untuk makan tengah hari kami. Gotong Royong telah berjalan lancar dan penutup gotong royong di Rumah Budi Yan, sedikit cenderahati di sampaikan oleh OC kepada Haji Seman, Penyelia Rumah Budi Yan. Di tanah perkuburan, makan tengah hari berlaukkan ikan masin dan gulai pisang berserta ulam dan sambal belacan di meriahkan lagi dengan kehadiran Pegawai Daerah Yan dan Yang Berhormat bagi kawasan Guar Chempedak. Majlis diakhiri dengan pemberian cenderahati oleh OC dan ucapan oleh Datuk Shamsudin. Balik kena jalan kaki. Petang, persiapan untuk persembahan malam penutup. Malam, pada 2140H, CO, CI dan OC berserta staf-staf ITAs tiba dan majlis dimulakan. Memang luamyan makan malam itu diantaranya ialah "mentarang' bakar. Ini pertama kali saya jumpa 'mentarang'. kalau tengok macam tak lalu nak makan, tapi kalau dah makan... nak makan lagi!! memang sedap! Persembahan pun boleh tahan. setiap kumpulan dikehendaki memberi komen, satu cerita lawak dan bersembahan berkumpulan (nasyid atau 'akapela'). komen dari CO, sungguh memberangsangkan... memang Happy malam tu! Akhir sekali, Kumpulan Cobra menjadi johan keseluruhan.

25 Mac 2005
Semuanya siap dan 3 tan bergerak lebih kurang 0900H. tiba di ITAS lebih kurang jam 1000. Pelatih-pelatih balik ke Kelubi selepas solat Jumaat. Alhamdulillah..:-)

Wednesday, March 16, 2005

Kerohanian dalam sains

Oleh DR. BAHARUDIN AHMAD
MINAT yang mendalam tentang kesejajaran agama dan sains di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) di kalangan ahli sains yang terkemuka masih jelas apabila Prof. Chales Townes memenangi hadiah RM5.7 juta kerana usaha dan pemikirannya tentang kesejajaran di antara agama dan sains.
Hadiah itu dimenangi Townes, seorang ahli sains terkenal dari Universiti California di Berkeley di atas minat yang mendalam, ceramah serta tulisannya tentang kerohanian serta bagaimana sistem kerohanian dapat memberikan makna kepada kejadian alam, sama seperti bidang sains fizikal yang juga cuba mencari makna kepada struktur kejadian alam.
Kebanyakan ahli sains Eropah yang terkemuka seperti Isaac Newton dan Albert Einstein mempunyai minat sangat mendalam terhadap agama dan ilmu kerohanian sehinggakan mereka dapat mencari sistem kejadian alam melalui kemungkinan-kemungkinan yang telah dinyatakan di dalam sistem kerohanian Yahudi dan Kristian.
Begitu juga dengan para ahli sains yang lebih awal seperti Galileo Galilei dan Leonardo Da Vinci.
Di Eropah, sains dan agama jauh terpisah di antara satu sama lain di dalam pandangan masyarakat umum tetapi para ahli sains Barat umumnya tidak memisahkan dua perkara tersebut.
Mereka mengetahui hal ini melalui latar belakang kehidupan beragama masing-masing terutamanya di dalam bidang kerohanian.
Sains mencari struktur kejadian dan agama memberi doktrin yang telah siap tentang kejadian.
Menurut Townes, kedua-duanya harus bertemu dan memberi penjelasan tentang yang satu sama lain sehinggakan sains tidak antiagama dan sebaliknya.
Di kalangan para pemikir Islam zaman lampau dan beberapa orang yang masih hidup kini tidak terdapat pemisahan mutlak di antara sains dan agama.
Agama memberi pengajaran tentang kejadian alam sedangkan sains memberi penjelasan tentang bagaimana struktur kejadian itu berlaku, asal usul kejadian dan sistem yang terdapat pada kejadian.
Para ulama Islam di zaman lampau meletakkan sains sebagai salah satu bidang ilmu sedangkan agama adalah penjelasan kepada keseluruhan ilmu.
Agama memberi jawapan dan inspirasi mengenali alam sedangkan sains mengkaji dan menemui bahawa apa yang telah dinyatakan di dalam agama itu dan mengetahui bahawa ia tidak berbeza dengan apa yang dapat difikirkan serta ditemui di dalam sains.
Ibn Sina dan al-Biruni dengan kaedah masing-masing meletakkan agama dan sains pada satu kedudukan yang jelas di mana agama menyatakan tentang kejadian dan sains membuktikan bahawa apa yang dinyatakan di dalam agama itu tidak berlawanan dengan sains.
Pemikiran
Demikian juga dengan bidang ilmu lain yang juga diletakkan di bawah makna agama seperti ilmu alam, ilmu hayat, matematik dan sebagainya.
Kesemuanya dikaji dengan semangat agama dan menerima fakta agama sebelum membuat kajian tentang apa yang dinyatakan oleh agama.
Apa yang dimaksudkan di sini ialah meletakkan sains pada tempatnya yang betul sehinggakan ia menjadi satu cabang ilmu dan bukannya ilmu yang hakiki sehinggakan penjelasan sains itu diambil bulat-bulat dan ia menghukum tafsiran atau kenyataan agama.
Di dunia ketiga amnya sains dan sains sosial diterima pakai sehingga ilmu ini memberi tafsiran tentang makna kehidupan, agama serta budaya.
Ia menjadi sebegitu hakiki sehinggakan makna agama diputarbelitkan dan hierarki ilmu diterbalikkan.
Salah satu punca mengapa hal ini berlaku ialah sempitnya ilmu agama di dunia Islam kini.
Bidang agama disempitkan kepada masalah hukum dan keperluan muamalat semata-mata di dalam kerangka mengikut hukum.
Agama tidak diperluaskan selain dari keperluan ibadah individu dan keperluan masyarakat di dalam kehidupan sosialnya.
Bidang-bidang ilmu agama seperti falsafah, teologi dan metafizik dilupakan di dunia Islam kini dan hanya menumpukan perhatian kepada penafsiran kehidupan sosial, ekonomi, jual beli, sistem perbankan dan sebagainya - yang umumnya tidak memerlukan sarjana besar untuk mentafsirkan persoalan berkaitan dengannya.
Di pusat-pusat pengajian tinggi juga tidak diberikan perhatian kepada ilmu falsafah, teologi dan metafizik sehinggakan doktrin-doktrin besar di dalam bidang-bidang pengajian tersebut tidak mendapat tempat di dalam akal fikiran para penuntut dan juga pemikir di universiti.
Akibatnya, berlaku ketandusan pelbagai bidang ilmu dan konsep yang boleh menjadikan Islam sebagai agama ilmu dan agama yang membicarakan kejadian alam serta tafsirannya terhadap alam itu yang terdapat di dalam doktrin pemikiran Islam tentang wujud, segala pecahannya, masalah-masalah yang berkaitan dengan hal ini, konsep masa dan ruang, konsep atom dan hierarki atom di dalam kejadian.
Para ahli fikir Islam zaman lampau seperti al-Farabi, Ibn Sina, al-Ghazali, Ibn. Arabi Sadr-al Shirazi, al-Biruni dan ramai lagi membicarakan persoalan ini dan memberi tafsiran tentangnya.
Mereka membicarakan hal ini di dalam perbicaraan tentang wujud.
Banyak tafsiran mereka ini dibicarakan semula kini oleh para ahli sains teoritikal moden yang sangat meminati bidang metafizik dan ramai pula yang hidup menuruti ajaran Tao China atau Mahayana Buddha hanya kerana melihat banyak persamaan di antara apa yang disebutkan oleh golongan ini dengan apa yang dijumpai di dalam bidang fizik teoretikal kini.
Mereka tidak langsung mengetahui kekayaan pemikiran Islam yang membicarakan tentang kejadian serta sifatnya.
Seorang ahli sains yang terkemuka pada masa sama merupakan seorang ahli falsafah dan pemikir.
Mereka menerokai alam kejadian kerana keinginan untuk mengenali yang benar dan hakiki, sedangkan para saintis di dunia Islam lebih berminat dengan sains semata-mata dan mengetepikan minat terhadap falsafah serta pemikiran sains sehingga mereka menjadi sempit kepada yang sudah ditulis di dalam buku teks Eropah.
Berlaku pemisahan yang besar di antara bidang kajian mereka dengan agama sebagai cara untuk hidup seperti yang difahami mereka di dalam kerangka hukum hakam sahaja.
Di sinilah kerugian besar masyarakat Islam sendiri yang melupakan dan mencemuh apa yang telah ditulis oleh pemikir mereka sendiri, membicarakan agama di dalam acuan sendiri, tidak menerokai alam dengan asas ilmu yang telah dituliskan beratus-ratus tahun lalu oleh pemikir Islam.
Kejadian
Malahan mereka menuduh dan mencemuh golongan ini sebagai sesat dan tidak mengikut ajaran Islam yang sejati.
Hasil ketandusan akal sebegini menyebabkan dunia Islam harus terus menerus melihat apa yang ada di Barat dan menunggu jawapan-jawapan diberikan oleh para ahli sains Barat yang umumnya lebih kreatif disebabkan mereka mempunyai jiwa dan akal lebih besar selain tidak sekadar mempelajari sesuatu kerana kerjaya.
Jiwa para saintis Islam harus disegarkan dengan ilmu metafizik, falsafah dan teologi yang ditulis oleh para pemikir sufi zaman lampau yang mendapat banyak idea tentang kejadian, alam, atom, strukturnya, masa dan ruang dan sebagainya.
Ilmu ini didapati kerana pengalaman mereka yang tidak semata-mata melalui kaedah sains namun kajian mereka itu tidak dapat disangkal oleh sains moden kerana sains moden kagum dengan keselarasan kenyataan yang dibuat oleh para ahli sufi tersebut dengan penemuan di dalam sains moden.
Dengan memperluaskan makna pemikiran agama kepada pentafsiran kejadian alam dan kedudukannya maka sains dapat mempelajari banyak penemuan agama dan pemikirannya sehinggakan sains tidak menjauhkan diri dari agama seperti zaman lampau di kalangan pemikir dan ahli sains Islam.
* Dr. Baharudin Ahmad ialah pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran Dan Tamadun Islam (ISTAC).

Mengelak mentaliti kelas ketiga

Oleh RAHMAT HIDAYAT SABARI
MENTALITI kelas ketiga di sini ditakrifkan sebagai kegagalan menggunakan kuasa berfikir sebenar ke tahap paling maksimum, seimbang dengan kedudukan pemikiran masyarakat yang boleh dianggap maju serta bertamadun.
Sekali imbas, ia mampu memberikan satu perbandingan yang mudah berlaku di dalam fenomena alam sekeliling iaitu umpama ``memberi sekumpulan monyet dengan sejambak bunga yang wangi''.
Si monyet pada asasnya hanya dapat mencium keharuman bunga itu tetapi selepas mencium, bunga yang masih berbau keharumannya itu ditinggalkan begitu sahaja.
Kisah monyet dan bunga di atas sebenarnya berlaku di dalam realiti orang Melayu di negara ini.
Kita juga seperti monyet yang hanya pandai mencium bau kemajuan, menyentuh pembangunan dan melihat keindahan teknologi terkini, tetapi semuanya itu tidak bermakna kerana ia bukan milik kita, semuanya milik orang lain sehingga pada satu-satu masa kita hanya dapat menumpang nama di sebalik kemajuan orang lain.
Akhirnya, perubahan sosial dan pembangunan yang berlaku di sekeliling kita tidak kelihatan bermakna, sebagaimana hal si monyet yang membuang bunga masih harum.
Memetik tulisan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam bukunya yang berbunyi : ``Orang Melayu yang selama ini lemah disebabkan oleh pengaruh keturunan dan alam sekitar tidak berupaya untuk menghadapi cabaran pendatang-pendatang Cina ini, hingga terpaksa mengalah. Apa sahaja yang boleh dilakukan oleh orang Melayu, orang Cina boleh melakukannya, tetapi dengan lebih baik dan lebih murah.
Lama-kelamaan pendatang-pendatang Cina yang mempunyai keazaman yang kuat dan rajin bekerja mula mengambil tempat perniagaan-perniagaan kecil dan semua kerja mahir yang dahulunya diusahakan oleh orang Melayu''.
Sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu merupakan golongan yang lambat menerima perubahan terutamanya dalam aspek menyambut cabaran ke arah kemajuan.
Justeru timbulnya kisah Mat Jenin yang telah diputarbelitkan oleh penjajah sehingga menjadi cerita rakyat yang menggambarkan sikap negatif orang Melayu di mata dunia.
Sebenarnya Mat Jenin merupakan orang Melayu yang mempunyai cita-cita dan harapan yang tinggi. Mat Jenin sudah menanamkan di dalam pemikirannya untuk memajukan dirinya dari segi ekonomi dengan menjual hasil pertanian, iaitu buah-buah kelapa dan dijadikan modal untuk memulakan perusahaan baru. Bukankah ini merupakan cara berfikir masyarakat yang berdaya maju dan inovatif?
Bagaimanapun, jika kita melihat realiti kehidupan sebenar masyarakat kita hari ini, dapatkah kita menyangkal putar belit itu?
Lihat sahajalah kehidupan generasi muda kita hari ini.
Pelbagai gejala negatif telah meracuni sikap dan pemikiran anak muda Melayu seperti penyalahgunaan dadah, ghairah dengan budaya konsert, pergaulan bebas lelaki dan perempuan dan salah laku akhlak.
Malahan kita dapat melihat baru-baru ini ketika sambutan tahun baru, masih ramai remaja Melayu keluar bersuka ria hingga lewat pagi walaupun kerajaan mengisytiharkan semua bentuk sambutan tahun baru dibatalkan demi menghormati mangsa bencana tsunami.
Menimpa
Bagaimanakah nasib Wawasan 2020 yang begitu gagah impiannya sekiranya generasi kita hari ini terus mengambil sikap `acuh tak acuh' dengan gejala sosial yang menimpa generasi muda kita.
Berdasarkan petunjuk Ibnu Khaldun (1322-1406), ahli sejarah Islam yang mengkaji teori jatuh dan bangunnya sesebuah bangsa, generasi kedua merupakan kelompok yang akan menikmati usaha dan pengorbanan generasi pertama dalam membentuk serta membangunkan masyarakat atau bangsanya.
Halangan dan cabaran yang bakal dihadapi oleh generasi kedua kelak bukan setanding dengan ujian pernah dilalui oleh generasi pertama pada awal pembentukan bangsa.
Dalam era generasi kedua inilah selalunya, menurut Ibnu Khaldun, semangat setia kawan mula menjadi kendur dan pudar.
Generasi muda hari ini merupakan generasi pewaris dan pembentuk kepada generasi masyarakat maju di masa akan datang.
Kita adalah acuan kepada generasi akan datang.
Justeru, setiap individu harus lebih peka dengan persekitaran kehidupan serta masalah yang sedang menimpa masyarakat kita hari ini.
Aspek terpenting yang harus diperjuangkan ialah berusaha membataskan sehingga peringkat minimum kemasukan budaya hedonisme ke dalam masyarakat kita.
Jika kita masih gagal menyediakan persekitaran yang kondusif untuk generasi muda, maka semakin menjadi kurang bermakna program-program pembangunan remaja dan belia yang digariskan di dalam dasar negara.
Apa ertinya kita menghabiskan beratus ribu wang rakyat untuk Program Khidmat Negara jika selepas tamat latihan, remaja-remaja ini akan tetap turun ke lembah kehidupan yang penuh dengan kelalaian dan keseronokan.
Wawasan 2020 merupakan satu wawasan yang memerlukan persediaan rapi dari segi mental dan fizikal.
Justeru, menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk mengubah serta membentuk sikap dan budaya berfikir ke arah yang lebih positif bagi merealisasikan cita-cita dan harapan murni ini