Thursday, June 09, 2005

Mindset

Bila saya melihat pratonton filem Titanic di TV3, teringat saya kenangan semasa belajar di USM. Titanic ini mengingatkan saya tentang kuliah Teknik Berfikir. Antara buku yang saya gunakan dalam kuliah ini adalah; Pemikiran Logikal dan Kritikal karangan Ainon Mohd dan Abdullah Hassan. Pada buku ini, di muka surat 117 ada membicarakan tentang ‘Mindset’. Dalam membincangkan topic ini, beliau telah mengambil contoh tragedi malang di laut Atlantik yang mengorbankan 1513 jiwa pada tahun 1912. Titanic.

Titanic telah dicipta sebagai kapal pelayaran yang terbesar ketika itu dan penciptanya percaya bahawa Titanic tidak mungkin karam dan merupakan ‘benda’ terapung yang paling selamat. Bahagian bawahnya dilindungi dengan dua lapisan logam yang kukuh dan mempunyai 16 ruang yang tidak boleh dimasuki air.

Olek kerana terlalu yakin dengan keteguhan dan kekuatan kapal ini, aspek keselamatan penumpang tidak begitu diambil kira. Bot penyelamat yang terdapat pada Titanic sebenarnya Cuma mampu menampung 1/3 dari penumpangnya sahaja. Tiada taklimat keselamatan dan penumpang juga tidak tahu bagaimana hendak mengedalikan bot keselamatan apabila berlaku kecemasan.

Pada hari ketiga pelayaran, Titanic telah menerima kawat tentang bongkah ais yang terapung dalam laluannya. Oleh kerana kesibukan operator wayerles, beliau lupa mencatatkan kawat tersebut.

Pada petang itu, operator telah menerima lagi kawat amaran dan beliau telah menyerahkan kepada Kepten kapal. Kepten kapal membaca dengan sambil lewa dan yakin Titanic mampu menempuh bongkah ais tersebut. Beliau telah memberi kawat itu kepada Pengarah Urusan White Star Line, Syarikat pemilik Titanic tanpa memberi apa-apa pandangan dan nasihat atas kawat amaran tersebut.

Pada sebelah malam pula, Titanic menerima tidak kurang dari 5 kawat amaran tentang bongkah ais di laluannya. Kepten kapal yang terlalu yakin itu cuma mengarahkan beberapa anak kapal untuk berada di hadapan Titanic untuk memerhatikan bongkah ais dalam kegelapan malam. Malah, para Pegawai White Star Line mahu Titanic memecah rekod kelajuan dan Titanic meluncur dengan kelajuan 22 knot pada malam itu.

Pada 11.30 malam, berhampiran dengan Titanic. Sebuah kapal lain, Kapal Californian telah terkandas di dalam bongkah ais. Operator kapal ini telah meminta bantuan dari Titanic tetapi beliau telah di marahi oleh operator Titanic kerana mengganggu taliannya yang ketika itu sedang menghubungi tempat lain.

10 minit kemudian, anak-anak kapal yang ditugaskan telah ternampak bongkah ais yang besar di hadapan Titanic. Para pegawai Titanic telah berusaha mengelak Titanic dari berlanggar dengan bongkah ais itu, tetapi mereka telah terlambat. Perlanggaran itu telah menyebabkan dinding Titanic telah terkopak sepanjang 100 ela. Air mula memasuki Titanic dan Titanic perlahan-lahan tenggelam.

Ramai dikalangan penumpang tidak percaya Titanic akan tenggelam. Ini menyebabkan proses pemindahan penumpang ke bot keselamatan tidak berjalan dengan lancar.

2 jam kemudian, Titanic tenggelam bersama dengan 1513 nyawa dan bersemadi di dasar Laut Atlantik sehingga ke hari ini.

Mindset ialah suatu keadaan di mana otak kita melihat sesuatu perkara dari satu sudut pandangan meskipun terdapat bukti-bukti yang bertentangan dengan sudut pandangan itu. Keadaan begini menyebabkan persepsi kita jadi salah sama sekali. Ini terjadi kerana mindset menyebabkan kita gagal melihat dan memproses bukti-bukti yang tidak selaras dengan persepsi kita waktu itu. Ia menyebabkan kita “nampak apa yang kita mahu lihat” sahaja, manakala kita seolah-olah “buta’ pada apa-apa yang sebenarnya ada terbentang di depan mata.

Peristiwa tenggelamnya kapal Titanic, sebuah kapal yang dibina menggunakan segala teknologi supaya ia menjadi kapal paling selamat di dunia pada waktu itu, banyak dipengaruhi oleh faktor mindset orang-orang yang terlibat dalam peristiwa tragik tersebut.

Rujukan:
Pemikiran Logikal dan Kritikal, Ainon Mohd. & Abdullah Hassan. Utusan Publications &Distributors Sdn Bhd, Terbitan Pertama 1996.

1 comment:

Anonymous said...

hmm..think of our ppl's mindset on our own political ocean. one side is always bad, vice versa. tepuk dada tanya selera...