Setelah 3 tahun berkhidmat di sini. Baru minggu lepas saya mendapat tahu bahawa makcik yang menyedia dan menjual makanan di Kelab Pegawai itu adalah bekas tentera di zaman British. Beliau adalah bekas MP (Military Police) yang berkhidmat di bawah Tanah Melayu pada awal tahun 60an.
Ada dua perkara yang saya suka tentang makcik ini. Pertama ialah 'kederat' atau fizikal makcik ini walaupun telah melebihi 60 tahun tapi masih nampak kelihatan muda 15 tahun dan mampu melakukan kerja-kerja berat, walaupun kadang-kadang ada juga mengadu tidak sihat. Keduanya adalah cerita-cerita dari kisah silamnya. Kisah tentang dirinya, pemerhatiannya dan pandangannya tentang apa yang berlaku di Tanah Melayu pada ketika itu.
Bermula dari Zaman Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, beliau menceritakan tentang bagaimana ibunya terpaksa menyorokkan kakaknya dari tentera Jepun gara-gara kakaknya berkulit putih dan mempunyai rambut yang kemerah-merahan. Kakaknya disorok di dalam lubang di dalam 'dangau' di tengah-tengah sawah. Abangnya pula pernah di paksa oleh tentera Jepun memanjat pokok Pinang semata-mata ingin merasa buah pinang itu.
Menurut beliau, sebelum pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Orang Islam-Melayu telah ramai yang hanyut disebabkan oleh candu. Mereka lebih suka melepak di kedai-kedai kopi dan malu untuk melakukan kerja-kerja buruh seperti mana yang dilakukan oleh pendatang dari China dan India. Ini semua adalah agenda British untuk melemahkan minda orang Islam-Melayu agar orang Islam-Melayu mempasakkan pemikiran bahawa sebagai Tuan kepada Tanah Melayu, kerja berat adalah menyusahkan dan hidup ini seronok dengan hanya bersantai dan melepak.
Kehadiran Jepun ke Tanah Melayu sebenarnya membawa rahmat. Jepun yang terkenal dengan budaya yang berdisiplin dan menghormati masa telah membawa bersama budaya itu semasa penaklukkan mereka di Tanah Melayu. Jepun yang memang membenci budaya lepak telah menyebabkan ramai orang Islam-Melayu di sepak, terajang dan penampar di kaki-kaki lima warung kopi ketika itu. Kelihatannya nampak kejam tetapi untuk mengatasi budaya lepak di kalangan orang Islam-Melayu, orang Jepun telah menyediakan bantuan khidmat kepada orang Islam-Melayu agar membangunkan perindustrian kecil dengan memcipta kraf tangan dari sumber tempatan. Beliau masih ingat lagi bagaimana tentera Jepun telah membimbing orang kampungnya untuk membuat senduk, mangkuk dan lain-lain lagi dari tempurung kelapa. Beliau juga percaya, kraf tangan Malaysia hari ini adalah dari usaha tentera Jepun untuk melihat orang Islam-Melayu membagunkan sumber tempatan dan mengelakkan orang Islam-Melayu dari memenuhi warung kopi dan membuang masa.
Satu lagi kisah yang selalu saya bertanya pada makcik adalah berkenaan 13 Mei 1969. Cerita yang tidak banyak di tulis dalam buku sejarah moden Malaysia. Menurut beliau, sebagai seorang MP, beliau melakukan tugas-tugas pemeriksaan kenderaan, bagasi dan individu yang keluar masuk di Lapangan Terbang Kepala Batas. Itulah rutin hariannya sehinggalah dia di kerah untuk pergi ke Ipoh pada 'tarikh' itu. Tiada apa yang boleh diungkapkan melainkan kengerian melihat banyak mayat yang bergelimpangan di atas jalan. Beliau di tugaskan untuk mengasing dan mengusung mayat naik ke trak tentera. Beliau masih ingat lagi bagimana seorang anggota polis yang 'trouma' melihat banyaknya mayat telah melepaskan tembakan pada rakan sejawatnya. Anggota polis itu telah ditangkap dan ditenangkan sebelum di bawa pergi dari tempat kejadian. Perpaduan bukan perkara kecil. Ia melibatkan rasa hormat menghormati dan toleransi sesama manusia.
Sejarah tetap sejarah. Manusia selamanya tidak mampu mengubahnya. Cuma, sejarah lalu merupakan pengajaran terbaik untuk mencipta sejarah masa depan yang lebih baik.
Namun begitu, bagi sebilangan orang 'kita'. Sejarah lalu tidak mampu menjadi pengajaran bagi mereka. Jika dahulu candu sebagai najis untuk hiburan dan kedai kopi 'port' untuk melepak, hari ini candu dan kedai kopi telah berevolusi dalam bentuk yang lebih melalaikan dan merosakkan jiwa, hati dan minda orang 'kita'.
Barangkali perlu ada penyepak, terajang dan penampar Jepun baru orang 'kita' hendak terngadah dari diulit mimpi yang merosakkan dan menghancurkan. Mungkin penyepak, terajang dan penampar Jepun juga patut berevolusi dalam bentuk yang lebih mantap dan berkesan agar orang Islam-Melayu membuka mata seluas-luasnya melihat apa yang telah berlaku pada hari ini. Kita di sepak, terajang dan penampar dalam keadaan tersenyum dengan minda kita berkhayal dengan sesuatu yang merosakkan. Adakah kita ini 'Pewaris Candu'? sesuatu yang harus difikirkan....!!
No comments:
Post a Comment