Monday, April 25, 2005

ITAS, ISO 9001:2000

TUDM, ITAS terima ISO 9001:2000
Berita Harian, 23 April 2005
SUBANG: Bahagian Kejuruteraan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan Institut Teknologi aerospace Alor Star (ITAS) semalam dianugerahkan Sijil ISO 9001:2000.
Sijil diserahkan Presiden dan KetuaEksekutif Sirim, Datuk Dr Ariffin Aton kepada Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Nik Ismail Nik Mohamed di Kelab Rekreasi Tentera Udara.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Ariffin dan Wakil Pengurusan Kualiti Bahagian Kejuruteraan TUDM, Leftenan Kolonel Mohd Asri Ismail. Mohd Asri berkata, usaha untuk memperoleh akreditasi bermula sejak 1997 dan dilancarkan pada 2000, bertepatan hala tuju dan visi yang digariskan dalam Kejuruteraan 2005 TUDM.
Katanya, Bahagian Kejuruteraan TUDM menggembleng seluruh tenaga warganya untuk mendapat pengiktirafan itu.

Bahagian Kejuruteraan TUDM, Itas terima sijil ISO 9001:2000
Utusan Malaysia, 23 April 2005
SUBANG 22 April - Bahagian Kejuruteraan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan Institut Teknologi Aerospace Alor Star (Itas) hari ini dianugerahkan sijil ISO 9001:2000 oleh Sirim QAS Sdn. Bhd., kerana kecemerlangan perkhidmatan kedua-dua organisasi tersebut.
Panglima TUDM, Jeneral Daruk Seri Nik Ismail Nik Mohamed berkata, Penganugerahan tersebut akan mengukuhkan peranan TUDM dalam menjaga kedaulatan negara khasnya, sejajar dengan visi menjadikan TUDM 'Angkatan Tentera Udara Bertaraf Dunia'.
"Usaha mendapatkan akreditasi ini bermula sejak 1997 dan dilancarkan mulai 2000.
"Tambahan pula Bahagian Kejuruteraan merupakan organisasi yang terbesar dalam TUDM dan untuk koordinasi proses bagi memenuhi kehendak ISO bukanlah mudah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penganugerahan Sijil ISO 9001:2000 kepada Bahagian Kejuruteraan dan Itas di Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sirim, Datuk Dr. Ariffin Aton.
Menurut Nik Ismail, Kejayaan memperoleh penganugerahn tersebut juga selaras dengan 'Visi Engineering 2004' yang memacu ke arah kecemerlangan berterusan dalam perkhidmatan berkualiti tinggi.
"Lebih-lebih lagi era alaf baru ini, peralatan pertahanan sama ada pesawat terbang, sistem radar, persenjataan serta alatan bantuan perlu berada dalam keadaan sedia beroperasi setiap masa," katanya.
Tambah Nik Ismail, beliau juga akan mengusahakan bahagian-bahagian lain di bawah TUDM seperti Logistik, Operasi dan Pentadbiran memperoleh pengiktirafan yang sama.
"walaupun bahagian-bahagian tersebut belum lagi memiliki sijil ISO, perkhidmatan berkuliti lagi proaktif sememangnya menjadi sebahagian daripada budaya kerja TUDM," katanya.

No comments: