Tuesday, January 11, 2005

Di mana NGO Islam?

Oleh Zulkiflee Bakar (Di Banda Aceh, Indonesia)
Utusan Online, 11 Januari 2005


Kenyataan Konsul Jeneral Malaysia ke Medan, Mohd. Yusoff A. Bakar bahawa masyarakat dan yayasan Islam di Malaysia perlu segera membantu rakyat Aceh yang menjadi mangsa tsunami tidak harus dilihat sekadar satu seruan oleh seorang diplomat semata-mata, sebaliknya kenyataan itu harus dihalusi sebagai satu mesej yang tersirat berikutan perkembangan di wilayah itu kini.
Mohd. Yusoff sudah pasti tidak akan membuat kenyataan seumpama itu jika beliau tidak melihat sebarang kejanggalan dalam usaha pelbagai pihak memberi bantuan kepada rakyat Aceh atau sekadar membuat seruan bagi meringankan beban kelompok berkenaan.
Hakikatnya, sesiapa juga yang berada di Aceh amat memahami betapa aktifnya pertubuhan atau negara bukan Islam membantu rakyat Aceh yang dalam kesusahan.
Mereka bukan sekadar menghantar bantuan tenaga malah turut menyediakan pelbagai kemudahan yang akan memungkinkan jasa mereka mampu dikenang dalam tempoh yang panjang.
Oleh itu adalah perlu masyarakat Islam melihat bantuan yang diberikan kepada rakyat Aceh bukan sekadar bantuan jangka pendek sahaja tetapi juga jangka panjang.
Di samping itu perlu dimulakan gerakan dari sekarang untuk merancang apa yang boleh mereka lakukan bagi memastikan rakyat Aceh tidak terperangkap dengan tipu helah mana-mana pihak.
Kita tidak menafikan bahawa pada masa ini bukan sahaja kerajaan malah pertubuhan-pertubuhan sukarela dari Malaysia sedang bertungkus-lumus membantu mangsa tsunami Aceh. Tetapi kita harus mengakui bahawa kita tidak mempunyai keupayaan seperti mana pertubuhan-pertubuhan bukan Islam dari negara asing yang memiliki segala kelengkapan.

Yayasan
Sebagai contoh, sebuah yayasan Buddha iaitu Yayasan Buddha Tzu Chi merupakan salah sebuah pertubuhan sukarela yang paling menjadi sebutan di Aceh berikutan bantuan-bantuan yang mereka berikan kepada mangsa tsunami, malah mereka juga menyediakan pelbagai kemudahan kepada pasukan tentera dan anggota sukarela.
Justeru tidak hairanlah jika di mana-mana juga di Aceh ini, kita akan melihat pelbagai kemudahan yang disediakan oleh Tzu Chi terutamanya khemah-khemah untuk pelarian.
Begitu juga dengan sebuah lagi pertubuhan bukan Islam dari sebuah negara Eropah yang turut menyediakan pelbagai bantuan kepada mangsa tsunami yang sekali gus menenggelamkan segala usaha gigih pertubuhan-pertubuhan dari negara Islam seperti Malaysia walaupun hakikatnya digemari oleh rakyat Aceh.
Oleh itu, masyarakat Islam Malaysia perlu memikirkan dengan serius keadaan ini dan tidak melihat bahawa rakyat Aceh yang menjadi mangsa hanya memerlukan setakat makanan dan khemah sahaja.
Kita perlu merancang untuk memberi bantuan jangka panjang yang sekali gus akan mengelakkan mereka terhutang budi kepada mana-mana pihak yang tidak sepatutnya.
Mungkin dana menjadi halangan kerana untuk bergerak seperti pertubuhan-pertubuhan negara asing lain, kita memerlukan dana yang cukup besar.
Tetapi masalah ini bukanlah perkara mustahil jika dilihat kepada perpaduan dan kekayaan tokoh-tokoh korporat di Malaysia yang sudah pasti bersedia menghulurkan bantuan jika diminta.
"Kita boleh mula dengan membina masjid dan sekolah, begitu juga asrama anak yatim - mereka perlu bantuan itu,'' kata Mohd. Yusoff yang begitu mengambil berat perkembangan masyarakat Aceh selepas wilayah itu dilanda tsunami.
Kita seharusnya tidak merasa kecewa jika negara atau pertubuhan bukan Islam lain begitu aktif di Aceh. Tetapi sebaik-baiknya kita bermuhasabah kenapa kita tidak boleh melakukan seperti mana mereka laksanakan.
Apa yang penting ialah kesungguhan ke arah melihat nasib rakyat Aceh pada masa depan.
Tokoh korporat dan masyarakat Islam seperti mana kata Mohd. Yusoff boleh memulakan langkah dengan menyediakan peruntukan dan dana bagi memulihkan masjid-masjid dan sekolah yang musnah atau rosak akibat dilanda bencana tsunami.
Pemulihan semula kedua-dua sektor ini sudah pasti akan menyebabkan jasa mereka akan dikenang oleh rakyat Aceh.
Masyarakat Islam Malaysia mempunyai kesempatan terbaik untuk menaburkan bakti ini kerana rakyat Aceh amat mengalu-alukan kehadiran Malaysia. Malah di mana-mana juga di Aceh jika mereka melihat bendera negara kita, mereka akan menjerit "Malaysia'' atau "assalamualaikum Malaysia''.
Seruan seumpama ini walaupun dilihat hanya satu jeritan tetapi hakikatnya ia membuktikan betapa rakyat Aceh amat menghargai kehadiran Malaysia. Ini kerana selain serumpun mereka juga mengetahui bahawa Malaysia menghantar bantuan atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan Islam.

Kesempatan
"Kami tidak mahu Amerika atau bukan Islam menguasai wilayah ini, kami lebih rela rakyat Malaysia yang membantu kerana kita tahu kita serumpun dan kuat beribadat kepada Allah,'' kata seorang penduduk Aceh yang agak kecewa dengan kemasukan begitu banyak pertubuhan bukan Islam.
Keadaan yang berlaku sekarang tidak boleh dibiarkan, masyarakat Islam di Malaysia perlu bangkit dan tidak melihat masalah yang dialami oleh rakyat Aceh sekadar kelompok yang perlu dibantu secara sementara atau tidak perlu diambil perhatian berat, ini kerana dalam jangka panjangnya ia ada kaitan dengan agama.
Oleh itu, pertubuhan dan kumpulan Islam yang selama ini begitu beria-ria benar ingin memperkembangkan Islam sehingga sanggup meninggalkan anak isteri atau dengan lantang mengkritik kerajaan yang kononnya tidak mengamalkan dasar Islam perlu melihat ke arah Aceh.
Mereka boleh menghulurkan pelbagai bantuan kepada rakyat Aceh yang 99.9 peratus penduduknya beragama Islam. Mereka perlu datang ke sini dan membela nasib rakyat Aceh.
Kehadiran mereka bukanlah dengan tujuan mengetepikan pemerintah Indonesia tetapi untuk menunjukkan bahawa perpaduan Islam itu kukuh tanpa mengira apa juga bangsa atau keturunan.
"Jangan biarkan orang lain mengambil kesempatan atau menangguk di air keruh, umat Islam Malaysia perlu bantu rakyat Aceh dengan segala kemampuan yang kita ada,'' kata seorang diplomat Malaysia.
Dalam merealisasikan matlamat untuk menyaksikan penglibatan menyeluruh masyarakat Islam Malaysia, kerajaan perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang bertanggungjawab menghantar pasukan ke kem-kem penempatan sementara.
Pasukan ini perlu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang diperlukan oleh mangsa terutamanya ubat-ubatan dan pegawai perubatan.

Sikap
"Kita kena buat cepat perkara itu, tidak boleh tangguh-tangguh lagi jika tidak kehadiran kita tidak begitu dilihat oleh rakyat Aceh.
"Kita perlu pacakkan khemah yang memberi perkhidmatan kepada mangsa dan sekali gus menunjukkan kehadiran kita,'' kata seorang anggota pasukan penyelamat Malaysia.
Seperkara lagi yang turut menimbulkan rasa kesal ialah komitmen negara-negara Islam membantu pemerintah Indonesia khususnya rakyat Aceh, kecuali Malaysia yang menghulurkan sumbangan kewangan dan tenaga. Negara-negara Islam lain lebih selesa memerhati dari jauh dan sekadar menghulurkan bantuan kewangan.
Kita tidak pasti kenapakah negara Arab bersikap sedemikian, tetapi apa yang pasti di Aceh tempat ujian terbaik kepada umat Islam sedunia menunjukkan perpaduan mereka.
Kenapakah tidak ada pertubuhan Islam yang kaya datang ke Aceh dan mencontohi apa yang dilakukan oleh pertubuhan bukan Islam?
Sukar untuk dipastikan tetapi apa yang nyata rakyat Aceh amat menanti kehadiran tenaga bantuan dari negara Islam bagi membangunkan semula Aceh yang dilanda bencana paling buruk dalam sejarah mereka.
Mengenai kehadiran AS pula, walaupun mereka dilihat begitu bersungguh-sungguh namun ada pihak yang melihat kedatangan AS bukan sekadar membantu tetapi sebaliknya mempunyai motif tertentu.
Walaupun hakikatnya kita tidak berhak mengamalkan sikap buruk sangka kepada kuasa besar itu tetapi sejarah membuktikan bahawa itulah sikap sebenar AS.
Mereka mampu melakukan segala-galanya kerana negara-negara Islam tidak bersatu atau mengamalkan sikap tidak menghantar bantuan tenaga dan logistik yang boleh menyaingi AS.
Semoga sejarah tsunami di Aceh akan menjadi medan yang menunjukkan perpaduan dan kekuatan logistik negara-negara Islam dan bukan mencatatkan satu lagi medan yang bakal menyaksikan ada wilayah Islam terhutang budi kepada AS.

No comments: