Wednesday, December 02, 2009

Kenangan Penerjunan

Bersama buddy, Mejar Shukrie dari 11 Briged. Bergambar di depan hangar setelah dianugerahkan dengan sayap penerjunan. "Nampak jantan!", kata Mejar Shukrie.

Syukur Alhamdulillah, dengan izin Allah saya telah berjaya menamatkan Kursus Asas Payung Terjun di Pusat Latihan Peperangan Khusus Tentera Darat (PULPAK) di Kem Sg. Udang. Selamat dianugerahkan dengan sayap penerjunan pada 31 Nov yang lalu. Usaha getir yang bermula pada 8 Oktober lalu telah meninggalkan seribu kenangan dan ingatan yang tidak terlupa. Lebih dari itu, latihan yang berat itu telah mengubah cara berfikir dan memotivasi diri betapa kelalaian sesaat mampu memudaratkan diri seumur hidup. Alhamdulillah.

Di dalam kursus ini saya telah berpeluang terjun dengan beg payung terjun dari pesawat pada ketinggian 1000 kaki. Ini bukan pengalaman luarbiasa, tetapi sangat luarbiasa. Pengalaman merasai sendiri bagaimana jantung berdegup dengan pantas seakan mahu meletup dan terasa hilang akal dalam beberapa saat. Terasa sebak masa sendiri apabila terkenangkan wajah isteri dan anak-anak. Sungguh memilukan, agaknya mungkin itu secubit gambaran orang yang hendak menemui sakaratul maut. Wallahu a'alam.

Penerjunan kali ke-6 bersama alatan dan senjata adalah kenangan penerjunan yang tidak terlupa. Sebaik sahaja keluar dari pesawat CN 235 milik TUDM, terasa sepakan angin di ketinggian 1000 kaki. Dalam kedudukan kepala tunduk sehingga dagu mencecah dada dan kaki rapat dalam 3 saat, payung MCI-IBD saya telah mengembang dengan baik. Selepas pasti payung mengembang dengan baik, pemeriksaan sekeliling dibuat untuk memastikan tiada rakan yang berada berhampiran, untuk mengelakkan dari perlanggaran di udara. Setelah aman, terus lihat permukaan bumi, sedia untuk gantung alatan.

Sebaik sahaja alatan digantung, persediaan untuk mendarat bermula. Saya melihat kawasan pendaratan saya adalah tanah lapang yang berair berhampiran jalan tanah merah yang penuh dengan penonton (orang kampung) yang tak jemu menunggu saya dan rakan-rakan membuat persembahan penerjunan. Dengan menarik 'toggle' (alat yang diguna untuk mengarah payung ke kiri atau ke kanan) saya telah menghalakan payung saya untuk mendarat di jalan raya. Kebetulan angin bertuip dari belakang saya. Ini membuat payung saya turun dengan laju menghala ke arah para penonton. Saya cuma tersenyum apabila melihat para penonton setia kelam kabut mengalihkan basikal dan motor saya. Cemas kalau-kalau saya akan mendarat di atas mereka.

Pada ketinggian lebih kurang 100 kaki, sekali lagi saya menarik 'toggle' sebelah kanan dan itu telah membuatkan payung saya berputar 180 darjah dan terus mengadap angin. Pandangan saya mengahadap tiupan angin dan membelakangi para penonton. Pada saat ini, payung saya tidak meluncur laju lagi ke arah para penonton yang memenuhi jalan tanah merah. Payung seolah-olah berhenti dan turun dengan perlahan ke bumi. Saya merapatkan dan membengkokkan kaki dan sedia untuk mendarat. Alhamdulillah, pendaratan dilakukan dengan baik dan betul-betul berada tidak jauh dari para penonton yang menarik nafas lega atas tindakan saya tidak mendarat di atas mereka. Sesungguhnya, saya sudah memahami sedikit dari ilmu yang telah diajarkan kepada saya. Ia telah menyelamatkan saya dari kemalangan. Alhamdulillah. Syukur Alhamdulillah. :)

2 comments:

sirmat said...

tahniah, semoga mnendapat banyak lagi kejayaan dimasa hadapan

sherrina said...

cayalah!