Thursday, December 28, 2006

Menepati Janji

Minggu lepas saya menerima sepucuk surat dari Perancis. Surat dari Pensyarah Perancis, Jean Hourcarde yang berusia 60 tahun. Bila saya lihat surat ini, saya terkenang sesuatu yang menarik tentang sahabat Perancis saya. Selama menguruskan beliau semasa menjadi pensyarah Bahasa Perancis di Malaysia, tidak pernah saya melihat beliau lewat dalam apa-apa temujanji dan sehinggakan hari terakhir beliau hendak meninggalkan Malaysia, beliau masih lagi mengekalkan displin masa dengan datang 10 minit awal sebelum kereta yang membawa beliau ke kedutaan Perancis tiba.

Melihat beliau terpacak menunggu kereta yang dijanjikan, saya yang sedikit gusar berkata kepadanya, "The car will arrive at 9, right!". Beliau menjawab, "yaa, yaa..." sambil saya dan dia sama-sama melihat jam di tangannya yang sudah jam 9.05 pagi. "It's 10 minutes early, I always abuse myself" sambil tersenyum lebar melihat jam ditangan saya baru 8.55 pagi. "even you're retired!" beliau cuma tersenyum. Dalam hati saya berbisik, hebat orang tua nie!.

Sepanjang bulan 'Pengantin' ini, saya menghadiri beberapa jemputan perkahwinan rakan dan saudara-mara. Dalam setiap majlis yang saya hadiri ada satu perkara yang ralat sedikit bagi saya. Perkara yang melibatkan masa. Kerapkali berlaku kelewatan. Lebih mengharukan apabila majlis pernikahan terpaksa ditunda kerana pengantin lelaki masih belum tiba. Perkara yang biasa menjadi alasan adalah kerana pengantin datang dalam bentuk konvoi yang melibatkan beberapa buah kenderaan dan kesukaran mencari jalan untuk sampai.

Menariknya, kelaziman ini tidak menjadi suatu bebanan kepada kedua-dua pihak. Malah, semua orang menarik nafas lega apabila pengantin tiba walaupun lewat hampir 3 jam!. Kita ada satu budaya timbangrasa tahap tinggi, sehinggakan majlis yang besar pun kita sentiasa reda dengan kecuaian dalam menepati masa. Pada saya, ini adalah budaya yang melemahkan jati bangsa kita yang menganut agama Islam.

Mungkin kita boleh bertimbangrasa dalam hal-hal perkahwinan orang Melayu tapi dalam dunia yang lebih luas, budaya timbang rasa tahap tinggi itu bukan budaya yang boleh membawa kita bersaing dalam arena antarabangsa. Benarlah Firman Allah dalam Surah Al-Asr, "[103:1] Demi masa, [103:2] Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. [103:3] Kecuali bagi orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka yang berpesan-pesan atas kebenaran dan mereka yang berpesan-pesan atas kesabaran".

3 comments:

Pa'chik said...

alhamdullillah kenduri kat rumah saya tidak terjadi kes sebegini. Pengantin lelaki tiba setengah jam awal. Mungkin sudah tidak sabar-sabar...
Tapi itu lebih baik dari lewat. Sebabnya memang saya tidak suka orang yang tidak pandai mengurus masa.

sherrina said...

alamak, ini mengingatkan saya supaya membetulkan jam dinding bilik saya dan jam tangan supaya cepat 10 minit. aritu dah tukar tapi ntah sapa yg tukar ke waktu yg sebenar. menepati masa ni tak kuat dlm budaya kita, malah diri saya sendiri pun. bagaimana ya nak train diri supaya tepati masa?

Amir Azmi said...

pa'chik: Alhamdulillah, itu yang bagusnya jika semua orang menghormati masa. Semamangnya nak menepati mas itu berat, tapi manfaatnya dapat dilihat di dunia lagi :)

sherrina: Kena 'abuse' diri sendiri macam kawan Perancis saya tu. Berat tu tapi itu yang terbaik untuk hidup sebagai seorang muslim, betul tak?