Sebenarnya saya sudah berkhidmat lebih setahun di Melaka namun belum semua tempat sempat saya jelajahi di sana. Sememangnya ada kesempatan tetapi tidak pernah diambil berat. Masa yang terlapang (jika ada) lebih kepada bersantai dan menonton wayang di Melaka Parade atau di Dataran Pahlawan. Menara Taming Sari pun belum pernah di jejaki.
Namun saya pernah berniat untuk merakam beberapa kenangan di Melaka. Di antaranya, kehidupan malam di Jonker Walk, Makan-makan pahlawan Melaka dan legasi yang ditinggalkan oleh tentera Portugis di Melaka. Sayang, niat itu tidak kesampaian. InsyaAllah, suatu masa nanti.
Setelah meninggalkan Melaka sejak bulan Julai yang lalu, takdir telah menentukan saya kembali. Kali ini dengan keluarga kerana menghadiri 'family day' isteri saya. Tempat yang saya tidak pernah teringin melawat, akhirnya terakam dalam memori kad DSLR saya. Pengalaman menaiki bot merentasi Sungai Melaka. Sangat menarik!