Thursday, June 14, 2007

Tangan

Masa saya kecil dulu, ada rakan sedarjah yang suka meramal masa depan saya dengan melihat tapak tangan saya. Mereka menepuk-nepuk, memicit-micit dan mengepak tapak tangan saya untuk melihat urat-urat yang dapat memberi mereka maklumat tentang masa depan saya. Seingat saya, berdasarkan ‘ahli nujum tapak tangan’, tiada tanda-tanda yang saya akan memiliki anak!. Alhamdulillah, setakat ini saya telah dikurniakan dengan cahaya mata. Memang lucu. Persoalannya, dari mana mereka dapat ilmu ‘baca tapak tangan’ ini?. Beriya-iya menelek, beriya-iya meramal! Agaknya, itulah mentality kanak-kanak yang belum mumayyiz!

Bila saya dah besar sikit, ada kawan saya bagitau tentang tapak tangan perempuan. Dia kata, ada makna bila tapak tangan perempuan nampak pucat atau kelihatan kemerah-merahan. Katanya ada kaitan dengan peratus jumlah darah dalam badan perempuan! Pasal peratus jumlah darah perempuan sentiasa berubah!. =)

Semasa bercuti di Terengganu yang lalu, saya tergerak untuk merakam beberapa gambar ‘tangan’. Ada yang diambil secara sengaja dan ada juga secara tidak sengaja. Namun, bila saya perhatikan betul-betul gambar tangan itu, saya dapati ada sesuatu yang kita boleh pelajari. Tekstur, pigment, bentuk tangan itu sendiri mencerminkan sesuatu tentang empunya!

Gambar ini memang segaja saya ambil bila tekong kapal yang membawa kami mencandat sotong sedang berehat. Lihat pada kedut, bonjolan urat dan warna gelap kulit tangannya. Pada saya, itu adalah gambaran betapa jerihnya hidup sebagai seorang nelayan. Bekerja keras setiap hari walaupun tahu, rezeki tidak selalunya ada.

Gambar ini pula saya ambil dengan kerjasama seorang pakcik yang menjual batu cincin yang dibuat dari kayu. Lokasinya, Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu. Pakcik nie ‘talkative’ sikit. Segala jenis kayu dia tahu. Bukan setakat fizikal kayu tetapi rahsia alam mengenainya juga. Gambar menunjukkan beliau sedang mengasah sejenis kayu untuk dijadi batu cincin. Ada ciri-ciri kesungguhan yang tinggi. Namun, ada yang boleh saya percaya, tapi bila masuk bab mistik, saya cuma angguk-anggukkan kepala!.
Masa kami sekeluarga melawat Arfa Batik di Kuala Terengganu, ada demonstrasi melukis batik. Memang menarik. Cantiknya lukisan batik secantik pelukisnya. Penuh dengan ketelitian dan kesenian. Bagaimana lembutnya tangan yang melukis begitu juga lembutnya lukisan yang dihasilkan. Saya rasa, itu tangan anak dara!
Ini gambar tangan orang yang sentiasa ‘curious’. Dah selalu tonton Discovery, ini peluang melihat sendiri rupabentuk ‘Jaws’ meskipun ‘Jaws’ ini masih kecil lagi. Kecil-kecil cili api, kecil-kecil lagi rahangnya dah berceragah! Jerung ini ditangkap semasa kami mencandat sotong. Gambar tangan isteri saya sedang mengepak rahang anak jerung yang telah dipancing oleh bapanya sendiri!.

Wednesday, June 06, 2007

Negeri Cantik

Setelah sekian lama bercita-cita untuk menjejakkan kaki ke Terengganu, akhirnya cita-cita itu dimakbulkan Allah pada 1 Jun yang lalu. Bersama keluarga berkampung di salah sebuah rumah rehat di Seberang Takir selama 3 hari. Perjalanan yang sangat jauh lagi berliku sememangnya memenatkan. Namun, keindahan negeri Terengganu ini buat kami lupa semua itu.

Objektif utama bercuti di Terengganu adalah untuk mengalami sendiri pengalaman 'mencandat sotong'. Sememangnya pengalaman mencandat sotong ini sangat menyeronokkan cuma bagi kami yang tiada pengalaman ini, mencandat sotong ini merupakan sesuatu aktiviti yang memenatkan. Walaupun hasil yang kami perolehi tidak seberapa tetapi kami bersyukur dan gembira dengan pengalaman yang telah kami lalui. Satu yang jelas, menjadi nelayan itu bukan satu tugas yang mudah. Adakalanya, nelayan akan pulang dengan tangan kosong. Kesian.

Selain mencandat, membeli belah juga merupakan aktiviti utama semasa di sana. Kalau tak silap saya, kami pergi ke Pasar Kedai Payang sebanyak 3 kali! Sememangnya barang-barang di sana buat kita rambang mata. Cuma hajat kita selalu terbantut, bila poket kita sudah semakin nipis.

Selain dari itu, yang menarik di Terengganu adalah makanan lautnya yang 'fresh'. Memang tak dapat dinafikan, keropok lekor di Terengganu lebih sedap dari yang ada di pasar malam di Seri Manjung nie! Paling sedap makan keropok lekor adalah di Pantai Teluk Ketapang. Boleh kata semua gerai tepi laut menyediakan keropok lekor. Selain keropok lekor, ikan, sotong, udang yang digoreng tepung juga dijual. Memang tak menang tangan peniaga kat situ. Sememangnya sedap dimakan panas-panas sambil di tiup hembusan angin petang Laut China Selatan. Best!

Semasa saya berada di majlis suai kenal SMAP Kajang dulu, seorang sahabat saya dari Terengganu memperkenalkan dirinya dan diakhir ucapannya, beliau mengambarkan Terengganu dengan ungkapan "Negeri cantik, Budaya menarik". Bagi sesiapa yang belum sampai ke Terengganu lagi, cuba lawat negari nie. Pasti berbaloi!