Friday, January 15, 2010

Doa

Saya tidak akan melupakan malam sebelum keputusan Penilaian Darjah 5 dikeluarkan diseluruh Malaysia pada awal tahun 1986. Saya tidak dapat tidur dengan lena kerana setiap kali terkenangkan keputusan yang bakal keluar, saya akan terbangun dan berdoa!.

Keesokkannya, debaran semakin memuncak sehinggalah saya dimaklumkan bahawa saya mendapat 4A 1B. Keputusan yang sangat memuaskan walaupun tidak seperti yang saya impikan. Syukur kehadrat Allah kerana memberi kejayaan yang bukan sahaja mengembirakan saya malah seluruh keluarga saya, sebagai anak pertama, sebagai cucu pertama dalam keluarga sebelah ibu saya.

Semenjak dari itu saya sangat percaya dengan kehebatan doa. Setelah meningkat dewasa, saya lebih faham bahawa doa itu harus diiringi dengan usaha. Kemudian dari itu, saya seperti mampu meramal sesuatu keputusan dalam hidup saya. Saya yakin, sukar impian saya terlaksana sekiranya saya kurang berusaha, walaupun saya berdoa bersungguh-sungguh. InsyaAllah, dengan yakinnya saya merasakan keputusan yang baik, sekiranya saya telah beruasaha dan faham apa yang saya usahakan!. Saya dapat berdoa dengan tenang dan yakin.

Seiring dengan itu adalah kesabaran. Doa yang dipohon selalunya memerlukan kesabaran. Sabar menantikan keputusan, sabar menerima apa juga yang Allah inginkan kepada diri saya.

Semasa mengikuti kursus Asas Payung Terjun di PULPAK. Saya sentiasa berdoa. Namun, hanya satu sahaja doa yang paling popular!. Doa agar Allah memanjangkan umur saya. Doa yang bersungguh-sungguh. Doa yang tidak putus-putus dari lidah dan hati saya sejak saya mula memakai beg payung terjun, mendengar enjin pesawat dan yang paling konsisten doanya adalah semasa berada di depan pintu pesawat sebelum membuat penerjunan.

Saat itu saya berdoa seperti benar-benar untuk menghadapi maut. Sebaik sahaja terjun, itulah tawakkal saya paling ikhlas pernah saya rasakan sepanjang hidup setakat ini. Hanya Allah sahaja yang berkuasa menentukan kelangsungkan hidup saya. Dalam masa 2 hingga 3 saat, payung saya mengembang, itulah saat di mana saya yakin Allah telah memakbulkan doa saya. Syukur Alhamdulillah. Syukur kerana Allah memakbulkan doa saya untuk terus hidup di muka bumi ini. untuk saya terus tenang bersama keluarga tercinta. Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke bumi, ketahuilah saya Allah itu Maha Berkuasa!

Sehingga hari ini saya masih lagi berdoa, doa dan terus berdoa. Saat ini saya sangat mengimpikan agar saya dapat bekerja dengan penuh ikhlas dan pada masa yang sama, saya sentiasa dekat dengan keluarga saya. Saya sedang beruasaha ke arah itu dan Ya Allah Ya tuhanku, perkenankanlah doaku, Ameen.