Sunday, September 27, 2009

Sujud

sumber: Utusan Online
Pada 26 September yang lalu bertempat di Capital Hill, Amerika Syarikat, beribu-ribu umat Islam telah berkumpul untuk melaksanakan solat Jumaat. Menurut penganjur acara itu, Abdul Malik berkata, umat Islam datang dari seluruh Amerika Syarikat, malah ada antaranya dari Britain dan Kanada. Menurutnya lagi, acara itu bukan suatu bentuk protes, sebaliknya hari untuk bersembahyang, mengabdikan diri kepada Tuhan dengan doa supaya semua lapisan rakyat Amerika boleh hidup bersama untuk kemajuan sejagat.

Inilah salah satu bentuk syiar yang dituntut di dalam Islam. Memberi gambaran yang jelas lagi baik tentang Islam di mata dan hati orang bukan Islam. Melihat gambar di atas mengingatkan saya betapa nikmat, hiba dan syukur dapat bersujud di bumi Allah yang tidak disirami syiar Islam. Mengingatkan saya bersolat di bilik persalinan di Mount Buller, di bilik kecil di RMIT, di dewan bola keranjang di Warabee dan sembahyang duduk dalam perjalanan menaiki bas dari Melbourne ke Sydney yang mengambil masa 14 jam.

Bersujud dan menyebut "Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya" sebanyak 3 kali di bumi Australia adalah satu nikmat yang sungguh menginsafkan. Nikmat yang sama dirasai oleh mubaligh Islam yang bersujud di persisiran pantai Melaka semasa pemerintahan Parameswara, Tariq bin Ziad di bumi Sepanyol dan umat Islam AS di Capital Hill. Maha Suci Allah.