Bila kali terkahir anda merasa tersangat cemas? Cemas sehingga anda akan berdoa sebanyak-banyaknya dan berzikir sebanyak-banyaknya semoga Allah melindungi anda dari malapetaka yang dahsyat!.
Saya, saya tidak pasti bila kali terakhir kerana mungkin telah terlalu lama menikmati nikmat keamanan dan ketenangan dari Allah. Saya mungkin terlupa dengan ujian-ujian yang lalu dan saya sudah lupa dengan keadaan di mana betapa kecilnya diri ini semasa menghadapi ujian yang berat.
Petang tadi, saya membawa anak perempuan saya ke Marina Water Park yang berdekatan dengan Teluk Batik. Tujuannya adalah untuk meninjau tempat rekreasi baru di Teluk Batik itu dan mengisi masa lapang bersama anak kerana isteri saya merupakan pegawai bertugas di tempat kerjanya.
Lebih kurang jam 6.45 petang, setelah lebih kurang 30 minit berada di taman tersebut, kami bersedia untuk pulang walaupun anak saya agak terkilan kerana tidak dapat mandi di kolam renang taman tersebut. Sesampai di rumah lebih kurang 6.55 petang, saya dapati dompet saya tiada di dalam poket seluar. Puas menyeluk, kemudian mengeledah seluruh kereta, saya membuat andaian yang dompet saya telah tercicir di taman tersebut.
10 minit yang sangat panjang, 10 minit yang penuh dengan zikir dan doa, 10 minit yang sangat mencemaskan lagi mendebarkan, 10 minit yang penuh dengan pengharapan. 10 minit untuk sampai kembali ke taman tersebut. Sesampai di taman, saya terus mengelabah mencari dompet yang hilang. Cari dan terus mencari dengan beberapa bantuan dari pekerja taman tersebut. Sehinggalah saya mula memikirkan untuk melaporkan sahaja kehilangan dompet serta dokumen penting ke balai polis terdekat.
Dengan hati yang bercelaru dan berat saya meninggalkan taman tersebut. Sempat juga saya meminta nombor hp pakcik penjaga tiket taman tersebut. Manalah tahu anda manusia yang budiman terjumpa dompet saya dan memulangkan kepada pihak berkuasa taman. Harap dan mengharap!.
Sebaik saja saya hendak melangkah keluar, datang seorang wanita dan berkata, "Encik ada hilang wallet?". Saya terus mengiyakan. "Bang, dia punya wallet agaknya". Dari kejauhan saya melihat seorang lelaki berbaju T dan berkain pelikat serta dua orang budak lelaki bersamanya. Menurut lelaki tersebut anaknya yang menjumpai dompet saya dan beliau meminta maaf kerana 'mengelidah' dompet saya kerana cuba mencari nombor hp saya.
Dalam perasaan gembira bercampur terharu serta rasa syukur yang teramat sangat saya mengucapkan terima kasih dan memberi sedikit saguhati kepada anaknya walaupun ibunya melarang. Mungkin kerana perasaan yang bercampur itu juga membuat saya terlupa satu perkara yang penting, mengambil sedikit maklumat tentang hamba Allah yang sangat jujur itu. Rasa sedikit kurang!
Dalam perjalanan pulang, ucap syukur berterusan dengan hati yang terasa tersangat tenang. Syukur kepadamu ya Allah, kerana telah memberi kekuatan dalam menghadapi ujianmu ya Allah. Kurniakan rezeki yang bertambah-tambah dan keberkatan hidup berkeluarga kepada hamba Allah yang telah menemui 'wallet' saya. Ameen. Syukur Alhamdulillah.