Friday, August 31, 2007

Merdeka!


Sejak 1511, sejarah Malaysia telah berubah dengan begitu drastik. Dari sebuah semenanjung yang aman dan damai kepada penjarahan oleh satu bangsa ke satu bangsa yang lain. Kita sendiri pun tidak begitu pasti dengan sejarah kisah generasi yang lalu. Apakah bentuk kesengsaraan yang mereka alami selama mereka dijajah?

Bagaimana pula sekiranya tiada anak bangsa yang berusaha menetang penjarahan tersebut? Apakah hari ini kita akan berpeluang menikmati keamanan dan kemajuan yang ada pada hari ini?.

Bayangkan bagaimana kita diperintah dan dipecah mengikut keturunan dan bangsa. Orang Melayu tinggal di kampung dan bertani, orang Cina tinggal di bandar dan berniaga dan orang India tinggal di estet dan hidup dengan menoreh.

Jika kita belum merdeka, pasti ada peribumi yang meminta-minta di tanahair sendiri!.

Bagi saya pejuang kemerdekaan Malaysia telah melakukan suatu pengorbanan yang besar. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kerana usaha dan ihktiar yang kini menjadi sejarah yang berusia 50 tahun.

Thursday, August 16, 2007

Anak Didik

Saya masih ingat lagi guru-guru saya yang garang semasa saya di sekolah rendah dahulu. Masih segar dalam ingat saya bagaimana seorang guru lelaki telah merotan rakan saya gara-gara rakan saya mengusik seorang guru wanita kelas saya. Saya tidak tahu kenapa guru lelaki itu begitu marah terhadap rakan saya, tetapi saya sangat kesian terhadap rakan saya itu. Rakan saya dirotan di hadapan kelas dan saya rasa rakan saya itu terinaya. Pada saya, rakan saya itu bukanlah terlalu nakal dan dia tidak harus dihukum rotan di khalayak kelas.

Semasa saya menjadi guru di Sekolah Agama Menengah BESTARI di Subang Jaya, saya pernah mendengar seorang guru yang sangat dihormati pelajarnya. Walaupun guru itu seorang yang 'kaki merotan pelajar', namun pelajar redha dengan hukuman yang diberi oleh guru tersebut!. Biasanya guru ini akan memanggil pelajar yang bersalah. Beliau akan menggunakan konsep 'tarbiyyah' atau nasihat dan diakhir sesi tersebut, guru itu meminta izin kepada pelajar itu untuk dihukum!. Pastinya, bila pelajar itu sedar bahawa dia bersalah, dia dengan redha menadah tangan dan hukuman dilaksanakan. Pelajar keluar dari bilik guru dengan rasa insaf, walaupun kadang kala pelajar terlupa!.

Hari ini, saya masih dapat lihat konsep 'deraan' terhadap pelajar bersalah menjadi salah satu pilihan di sekolah-sekolah. Saya yakin, pilihan ini adalah pilihan yang terakhir setelah semua pilihan untuk mengubah sikap pelajar gagal dalam perlaksanaanya. Saya juga yakin, guru yang hendak melaksanakan hukuman dalam bentuk deraan itu telah menimbang semasak-masaknya implikasi terhadap tindakannya. Satu sahaja niat mereka, untuk menjadikan pelajar sebagai manusia yang lebih baik.

Namun, pandangan ibubapa hari ini sangat berbeza. Mereka mahukan pendekatan yang lebih ber'tamaddun' dan berhemah untuk mengubah sikap anak-anak mereka. Mereka berpendapat, kaedah pendidikan hari ini perlu berubah sepertimana berubahnya pendidikan di negara-negara maju. Jadi, segala bentuk 'deraan' untuk mengubah sikap pelajar bukan lagi kaedah yang sesuai pada hari ini. Adakah itu benar?

Seorang Pegawai atasan saya yang pernah bermastautin di Australia selama 2 tahun dan telah menyekolahkan anak-anaknya di sana. Beliau memberitahu saya bahawa pendidikan di sana lebih kepada praktikal. Contohnya, anaknya diajar bagaimana menanam sepokok bunga dan dia bertanggungjawab ke atas pokok itu sehinggalah pokok itu besar. Suasana pembelajarannya kondusif, tiada 'deraan' dan pelajar diberi kebebasan berfikir.

Baru-baru ini, beliau berpeluang ke Amerika Syarikat selama sebulan untuk mengikuti kursus pendidikan di sana. Di San Antonio, Texas. Beliau berpeluang mengikuti pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah menengah di sana. Ada kejutan besar semasa beliau di sana. Salah satu pemandangan yang mengejutkan beliau adalah melihat pelajar-pelajar wanita muda yang mengandung mengikuti kelas. Namun, bagi guru-guru dan para pelajar di sana, itu perkara biasa!.

Sukar sebenarnya untuk menjelaskan konsep pendidikan yang terbaik. Orang Jepun maju kerana displin yang tinggi tetapi orang Amerika maju kerana keterbukaan dan kebebasa pemikiran mereka. Di Malaysia, pertembungan dua konsep itu sentiasa membuatkan isu pendidikan sangat hangat dan menarik. Mungkinkah ada konsep pendidikan yang boleh diambil di antara orang Barat dan orang Timur jauh?