Rasa panas. Seminggu yang lepas dan sebelumnya, seluruh kapilari darah yang terdapat di permukaan kulit saya 'stress'. Terpaksa mengecutkan diri kerana tubuh saya cuba meminimakan pembebasan haba dari tubuh saya ke persekitarannya. Persekitaran yang sejuk di antara 0 sehingga 12 darjah celsius. Di Malaysia, kapilari saya tidak perlu stress lagi kerana cuaca hari ini membenarkan kapilari darah saya mengendur semahu-mahunya. Akibatnya, saya berpeluh siang dan malam.
Rasa masin. Setelah empat bulan setengah makan 'fish and chip' yang 'tasteless', saya kembali kepada diet asal saya. Menikmati asam pedas, gulai lemak cili padi, nasi lemak yang beraroma kulit pisang dan yang paling terkesan pada lidah saya adalah ikan masin. Ikan masin yang di makan dengan nasi wangi beras Siam yang masih panas. Ikan masin Pulau Pangkor.
Rasa bahagia. Minggu lepas adalah minggu paling sibuk kerana menguruskan dokumentasi selepas pulang dari luar negara dan semalam adalah hari terkahir. Ada seminggu cuti yang saya tidak akan sia-siakan bersama keluarga saya. Peluk isteri dan anak seerat-eratnya. Membayar hutang rindu dendam untuk empat bulan setengah yang lalu.
Tidak terbilang nikmat rasa yang Allah beri pada kita. Syukur Alhamdulillah!