Thursday, June 14, 2007

Tangan

Masa saya kecil dulu, ada rakan sedarjah yang suka meramal masa depan saya dengan melihat tapak tangan saya. Mereka menepuk-nepuk, memicit-micit dan mengepak tapak tangan saya untuk melihat urat-urat yang dapat memberi mereka maklumat tentang masa depan saya. Seingat saya, berdasarkan ‘ahli nujum tapak tangan’, tiada tanda-tanda yang saya akan memiliki anak!. Alhamdulillah, setakat ini saya telah dikurniakan dengan cahaya mata. Memang lucu. Persoalannya, dari mana mereka dapat ilmu ‘baca tapak tangan’ ini?. Beriya-iya menelek, beriya-iya meramal! Agaknya, itulah mentality kanak-kanak yang belum mumayyiz!

Bila saya dah besar sikit, ada kawan saya bagitau tentang tapak tangan perempuan. Dia kata, ada makna bila tapak tangan perempuan nampak pucat atau kelihatan kemerah-merahan. Katanya ada kaitan dengan peratus jumlah darah dalam badan perempuan! Pasal peratus jumlah darah perempuan sentiasa berubah!. =)

Semasa bercuti di Terengganu yang lalu, saya tergerak untuk merakam beberapa gambar ‘tangan’. Ada yang diambil secara sengaja dan ada juga secara tidak sengaja. Namun, bila saya perhatikan betul-betul gambar tangan itu, saya dapati ada sesuatu yang kita boleh pelajari. Tekstur, pigment, bentuk tangan itu sendiri mencerminkan sesuatu tentang empunya!

Gambar ini memang segaja saya ambil bila tekong kapal yang membawa kami mencandat sotong sedang berehat. Lihat pada kedut, bonjolan urat dan warna gelap kulit tangannya. Pada saya, itu adalah gambaran betapa jerihnya hidup sebagai seorang nelayan. Bekerja keras setiap hari walaupun tahu, rezeki tidak selalunya ada.

Gambar ini pula saya ambil dengan kerjasama seorang pakcik yang menjual batu cincin yang dibuat dari kayu. Lokasinya, Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu. Pakcik nie ‘talkative’ sikit. Segala jenis kayu dia tahu. Bukan setakat fizikal kayu tetapi rahsia alam mengenainya juga. Gambar menunjukkan beliau sedang mengasah sejenis kayu untuk dijadi batu cincin. Ada ciri-ciri kesungguhan yang tinggi. Namun, ada yang boleh saya percaya, tapi bila masuk bab mistik, saya cuma angguk-anggukkan kepala!.
Masa kami sekeluarga melawat Arfa Batik di Kuala Terengganu, ada demonstrasi melukis batik. Memang menarik. Cantiknya lukisan batik secantik pelukisnya. Penuh dengan ketelitian dan kesenian. Bagaimana lembutnya tangan yang melukis begitu juga lembutnya lukisan yang dihasilkan. Saya rasa, itu tangan anak dara!
Ini gambar tangan orang yang sentiasa ‘curious’. Dah selalu tonton Discovery, ini peluang melihat sendiri rupabentuk ‘Jaws’ meskipun ‘Jaws’ ini masih kecil lagi. Kecil-kecil cili api, kecil-kecil lagi rahangnya dah berceragah! Jerung ini ditangkap semasa kami mencandat sotong. Gambar tangan isteri saya sedang mengepak rahang anak jerung yang telah dipancing oleh bapanya sendiri!.

Wednesday, June 06, 2007

Negeri Cantik

Setelah sekian lama bercita-cita untuk menjejakkan kaki ke Terengganu, akhirnya cita-cita itu dimakbulkan Allah pada 1 Jun yang lalu. Bersama keluarga berkampung di salah sebuah rumah rehat di Seberang Takir selama 3 hari. Perjalanan yang sangat jauh lagi berliku sememangnya memenatkan. Namun, keindahan negeri Terengganu ini buat kami lupa semua itu.

Objektif utama bercuti di Terengganu adalah untuk mengalami sendiri pengalaman 'mencandat sotong'. Sememangnya pengalaman mencandat sotong ini sangat menyeronokkan cuma bagi kami yang tiada pengalaman ini, mencandat sotong ini merupakan sesuatu aktiviti yang memenatkan. Walaupun hasil yang kami perolehi tidak seberapa tetapi kami bersyukur dan gembira dengan pengalaman yang telah kami lalui. Satu yang jelas, menjadi nelayan itu bukan satu tugas yang mudah. Adakalanya, nelayan akan pulang dengan tangan kosong. Kesian.

Selain mencandat, membeli belah juga merupakan aktiviti utama semasa di sana. Kalau tak silap saya, kami pergi ke Pasar Kedai Payang sebanyak 3 kali! Sememangnya barang-barang di sana buat kita rambang mata. Cuma hajat kita selalu terbantut, bila poket kita sudah semakin nipis.

Selain dari itu, yang menarik di Terengganu adalah makanan lautnya yang 'fresh'. Memang tak dapat dinafikan, keropok lekor di Terengganu lebih sedap dari yang ada di pasar malam di Seri Manjung nie! Paling sedap makan keropok lekor adalah di Pantai Teluk Ketapang. Boleh kata semua gerai tepi laut menyediakan keropok lekor. Selain keropok lekor, ikan, sotong, udang yang digoreng tepung juga dijual. Memang tak menang tangan peniaga kat situ. Sememangnya sedap dimakan panas-panas sambil di tiup hembusan angin petang Laut China Selatan. Best!

Semasa saya berada di majlis suai kenal SMAP Kajang dulu, seorang sahabat saya dari Terengganu memperkenalkan dirinya dan diakhir ucapannya, beliau mengambarkan Terengganu dengan ungkapan "Negeri cantik, Budaya menarik". Bagi sesiapa yang belum sampai ke Terengganu lagi, cuba lawat negari nie. Pasti berbaloi!

Thursday, May 24, 2007

DSLR

Setelah sekian lama cemburu dan teruja melihat gambar-gambar yang unik dari beberapa fotopages, akhirnya saya berpeluang membuka langkah pertama untuk mendapatkan gambar-gambar yang hebat juga. Saya dah ada DSLR baru.

Saya mula bersemangat untuk mendapatkan DSLR semenjak saya berkursus di Australia. Keinginan merakamkan gambar yang menarik dan bermakna meluap-luap bila mula menjejakkan kaki di bumi Kanggaroo itu.

Pada ketika itu saya hanya mempunyai kamera digital jenis Olympus Stylus V dengan 5 megapixel. Kamera digital yang sangat comel!. Sehinggakan apabila saya meminta OZ mengambil gambar saya dan rakan, pasti mereka kagum dengan kamera saya dan berkata "Are you from Japan?". Agaknya, sapa mata sepet dengan 'gadget' yang canggih semuanya dari Jepun!.

Setiap hari adalah hari bergambar bagi saya di Australia. Pemandangan, rakan-rakan, kanak-kanak, bangunan dan sebangainya. Semuanya menjadi objek lensa kamera comel saya!.

Namun, setelah saya membelek-belek gambar yang saya lihat dalam internet terutama sekali di dalam fotopages, saya dapati gambar yang saya hasilkan mempunyai beberapa kelemahan.

Setelah membuat pemmerhatian dan pembacaan saya dapati ada dua faktor utama yang mambantu untuk menghasilkan gambar yang hebat selain 'akal' manusia, Photoshop dan DSLR!,

Semenjak itu saya berazam untuk mendalami kedua-dua ilmu berkaitan dengan Photoshop dan DSLR. Alhamdulillah, saya dah mula menguasai Photoshop beberapa bulan dahulu dan sedang mendalaminya lagi.

DSLR pula saya hanya membuka laman web jenama terkenal seperti Canon dan Nikon. Membaca dari forum-forum yang berkaitan DSLR, melanggan majalah Digital Camera dan membuat perbandingan dari beberapa fotopages. Akhirnya pada cuti dua bulan lepas, saya telah membuat pelaburan terbesar dengan membeli DSLR jenama Nikon, D80.

Setakat ini hasilnya belum memuaskan dan masih banyak lagi benda yang hendak dipelajari! InsyaAllah saya akan berusaha untuk menghasilkan gambar-gambar yang indah dan kreatif . Peluang untuk saya meneroka ilmu baru.

Tuesday, April 24, 2007

Hari ANZAC

Esok, seluruh rakyat Australia akan menyambut Hari ANZAC. Hari yang sungguh bermakna bagi Australia. Hari di mana setiap OZ memperingati pahlawan yang telah terkorban mempertahankan maruah negara mereka. Pahlawan yang terdiri dari bapa, datuk, sanak saudara mereka. Esok juga, mereka dengan semangat patriotik yang tinggi berarak di jalan-jalan seluruh Australia dan sesetengahnya menyematkan pingat-pingat kepunyaan bapa, datuk, sanak suadara di sebelah kanan dada mereka. Berjalan, berarak dengan penuh bangga.
Baca:
1. ANZAC Day

Thursday, April 05, 2007

Gigi dan Ubat Gigi

Seingat saya, masa-masa di USM dulu adalah masa yang paling indah bagi gigi-gigi saya. Sepanjang berada di sana, gigi saya selalu dimanjakan. Saya tidak pernah gagal memenuh rutin bertemu doktor gigi setiap 6 bulan di Klinik Gigi di USM, berdekatan dengan Desa Gemilang. Disamping displin menjagaan gigi yang teratur, seingat saya tak pernah saya mengalami masalah gigi yang serius.

Bila saya berkhidmat sebagai guru di Subang Jaya, kesibukkan bekerja buat rutin itu sudah mula tidak teratur dan saya sudah mengalami masalah gigi berlubang. Bila saya mengadu kepada rakan sekerja, beliau berkata, "Itula tanda ko dah tua!".

Saya tersenyum dan saya faham sekarang, salah satu simptom penuaan adalah bila kita merasa gigi kita sedang mereput. Segera saya membuat temujanji dengan sebuah klinik gigi swasta di USJ5. Namun, kali ini saya harus mengeluarkan duit sendiri. Doktor gigi saya kali ini adalah seorang doktor gigi wanita berbangsa Singh. Saya masih ingat lagi pujian beliau bila pertama kali dia menganalisa gigi saya, "Cantik gigi awak!".

Menolak kata-kata kawan saya dan menterjemahkan kata-kata doktor gigi itu, jelaslah saya sebenarnya masih muda lagi ketika itu. Ha.. ha.. Kawan saya cemburu!!.

Sejak berkhidmat dengan ATM (semasa di KTU, TUDM Alor Setar), kebajikan gigi saya lebih terpelihara. Lebih-lebih lagi Doktor gigi adalah rakan saya. Mudah sangat saya nak buat temujanji dan pastinya percuma!.

Cuma semalam, saya makan terlalu banyak 'muruku' dan malamnya saya rasa gusi saya mula berdenyut-denyut. Terus sahaja saya pergi ke sebuah kedai runcit selepas solat Isyak. Diberinya saya satu paket kuning yang mengandungi dua pil. Bila saya bertanya, bagaimana nak guna ubat ini, tuan kedai itu menjawab, "Masuk dalam mulut la, takkan dalam teliga!".

Satu jawapan yang saya rasa disampaikan oleh orang yang tak pandai berniaga!. Begang + malu + marah dan lain-lain lagi. Rasanya macam jahil sangat saya tentang ubat sakit gigi tersebut. Saya cuba 'cover' malu di hadapan pelanggan lain dengan berkata, "Saya ingat letak kat gigi yang sakit!". Terus membayar dan berlalu dari situ dengan perasaan yang bercampur-campur.

"Tak boleh ke dia bagi penerangan yang lebih sopan!, ini la standard peniaga kat Malaysia, masa aku kat Australia...... bla... bla... " antara rungutan hati saya dalam kereta sebelum sampai ke rumah!.

Namun, bila saya fikir balik. Fikir dalam-dalam. Satu yang jelas, sehingga hari ini, baru pertama kali saya membeli ubat sakit gigi. Saya bukanlah teruk sangat kerana saya tak tahu nak guna ubat sakit gigi. Saya tak tahu guna ubat sakit gigi kerana saya telah menjaga gigi-gigi saya dengan baik selama ini. Syabas untuk diri saya sendiri!!.

Pagi tadi buat temujanji dengan doktor gigi, jam 1200 saya jumpa Kapt. Dr. Siti Mariam, doktor gigi baru di Hospital Angkatan Tentera, TLDM Lumut. Memang ada gusi yang bengkak dan Alhamdulillah, ketika ini saya rasa tenang kerana gigi saya telah dimanjakan lagi.