Monday, January 14, 2013

Mengail

Seingat saya, kali terakhir saya memacing sekitar tahun 2001. Memancing bersama guru-guru SAM BESTARI, USJ 5, Subang Jaya. Saya sebenarnya menemankan guru-guru SAM BESTARI yang minat memancing. Kawasan memancing yang popular adalah di kolam memancing di sekitar Banting. Antara ikan yang dipancing adalah ikan siakap (kolan air masin), ikan-ikan air tawar seperti ikan keli dan udang. Selepas dari itu, joran saya hanya tersimpan di dalam stor di rumah saya dan selepas bernikah dengan orang Seri Manjung, joran itu tersimpan di rumah mertua saya.
Pada hujung minggu lepas, bapa mertua saya mengajak saya memancing buat kali pertamanya di perairan sekitar janakuasa TNB. Kami menaiki bot milik En. Mahmud dan dia juga pengemudi bot tersebut. Kami merancang jam 1 pagi, namun terlewat sikit ke 2 pagi. Lautnya agak bergelora dan cuaca yang sangat sejuk.
Lokasi pertama adalah di bawah jeti janakuasa TNB, di situ En Mahmud menambat botnya dan menyalakan lampu botnya untuk menarik perhatian sotong. Sotong hidup adalah umpan terbaik untuk menangkap ikan di laut. Menunggu sotang bukanlah kerja yang menarik, kita kena tunggu pada jangka masa yang agak lama untuk mendapatkan sotong. Itulah ketabahan yang diperlukan oleh seorang nelayan.
Satu perkara yang saya dapat pastikan semasa menunggu sotong di laut yang bergelora, sistem imbangan saya sudah sedikit baik. Sistem imbangan saya mula bermasalah setelah menyelam di Pulau Sembilan. Alhamdulillah, kurang rasa mabok walaupun kapal bergoyang dengan agak kuat.
Seterusnya, kami bergerak ke beberapa tapak memancing. Agak hampa, namun di tapak memancing terkahir, berdekatan dengan janakuasa TNB, waktu selepas subuh. Rezeki mula muncul. Alhamdulillah, saya berjaya mendaratkan 3 ekor ikan sembilang, En Mahmud, 3 ekor jenahak dan bapa mertua saya berjaya mendapat seekor ikan.
Hari itu, merupakan hari yang sangat mengembirakan. Bangga boleh balik dan beritahu anak-anak yang bapanya berjaya mendapat ikan :) In Sha Allah akan memancing lagi lepas ini :)

No comments: