Saturday, July 30, 2011

Mindset

Khamis lepas merupakan hari yang paling padat dengan aktiviti. Bermula dengan membawa putera ke SMKA KL di Bandar Majalara, Kepong untuk seminar teknik mejawab soalan Fizik SPM. Diikuti dengan lawatan ke Pusat Sains untuk melihat Putera menyertai pertandingan robotik LEGO dan di akhiri dengan lawatan ke Menara Kuala Lumpur bersama Kelab Fotografi MTD.

Semasa di SMKA KL, saya dapat merasakan kehadiran saya dan Putera menjadi satu keanehan bagi mereka. Pastinya kerana uniform yang kami pakai dan bagi saya, ramai guru Fizik di Wilayah Persekutuan ini tidak pernah berjumpa dengan dengan guru Fizik yang datang dari MTD. Namun, saya sentiasa gembira menerangkan dengan jelas setatus seorang guru di dalam tentera.

Semasa menunggu para pelajar seluruh Wilayah Persekutuan, saya ada bersembang dengan salah seorang guru tentang sistem pendidikan negara kita. Beliau menyatakan tentang kajian yang dilakukan pada sekumpulan guru. Guru-guru diminta untuk melukiskan pemandangan di dalam suatu kertas yang diberikan. Setelah dikumpul, ciri-ciri lukisan yang tipikal diperolehi. Pemandangan adalah gunung, matahari, rumah kampung, sawah padi, burung berbentuk 'm' dengan garis di bawahnya dan seumpama dengannya.

Satu perkara yang dapat disimpulkan oleh penceramah itu adalah guru-guru Malaysia tidak pernah berfikir luar dari kotak dan itu jugalah yang disampaikan kepada para pelajar Malaysia. Perkara ini berterusan dari sejak sebelum Merdeka sehinggalah ke hari ini. Kami sebenar membincangkan tentang sistem pendidikan yang perlu berubah dengan peredaran zaman dan perkembangan pemikiran manusia hari ini.

Salah satu negara yang tidak lagi menggunakan sistem berorentasikan peperiksaan adalah Finland. Sebuah negara yang mempunyai bilangan penduduk yang hampir sama dengan penduduk Singapura tetapi merupakan negara pengeluar produk yang unik dan terkenal seperti Nokia dan IKEA. Sesiapa pun kagum dengan kehebatan dan keunikan produk Finland. Memiliki produk mereka seperti memiliki produk yang jauh berbeza dengan produk negara lain yang sangat tipikal dari segi rekabentuk dan fungsi.

Perlu ada anjakan paradigma dalam diri guru agar suatu bentuk sistem pendidikan yang bertaraf dunia dapat dikembangkan. InsyaAllah.

No comments: