Wednesday, October 31, 2007

Mac


Adakah anda pernah menggunakan komputer Apple Mac? Saya pernah, lama dulu. seingat saya dalam awal 90an. Masa tu belajar C Programming. Masa tu komputer Apple tu kecil sahaja. Satu yang saya ingat tentang komputer tu adalah monitor dan CPUnya bergabung.
Hari ini dah masuk minggu keempat saya mengikuti kursus E-Learning (minggu terakhir!). Belajar membina kandungan E-Learning. Menariknya, tentang kursus ini adalah komputer yang digunakan adalah komputer Mac yang terbaru. Menggunakan sistem Mac OS X Tiger (Versi 10.4.10). Dalam dunia cuma 5% pengguna komputer berasaskan Mac. Rasa sungguh bertuah menjadi pengguna komputer berasaskan sistem Mac.
Saya rasa, Mac lebih bagus dari PC!!

Thursday, October 25, 2007

Tidak Rasa Takut di Angkasa Lepas

Dipetik dari ruangan RENCANA,
Utusan Malaysia, 24 Oktober 2007

MUKADIMAH
ANGKASAWAN pertama negara Dr. Sheikh Muszaphar Shukor kini berada di Pusat Latihan Kosmonaut Gagarin di Star City, Moscow untuk pemeriksaan dan kajian lanjut selepas kembali ke Bumi dari angkasa lepas Ahad lepas.

Dalam temu bualnya kira-kira 49 minit bersama juruhebah Radio 24, Nizal Mohamed semalam, beliau menceritakan pelbagai pengalaman dan perasaannya ketika berada di angkasa lepas. Berikut ialah petikan temu bual itu.

BERAPA lamakah Dr. Sheikh akan berada di Star City?

Setiap angkasawan yang pulang dari angkasa lepas akan menjalani ujian perubatan sebelum dilepaskan dan saya akan dikuarantinkan selama seminggu sebelum dibenarkan keluar.

Kami difahamkan antara tiga angkasawan yang telah kembali, Dr. Sheikh Muszaphar merupakan yang paling sihat?

Alhamdulillah. Saya berasa begitu bersyukur kerana tidak mengalami masalah langsung apabila berada di angkasa lepas dan saya berasa ini adalah kerana doa dan sembahyang hajat yang dilakukan oleh seluruh rakyat Malaysia. Saya rasa begitu tenang berada di angkasa lepas dan tidak rasa pening, muntah atau kesan sampingan lain. Semasa mendarat di Kazakhstan saya boleh berjalan dengan serta-merta dan ia tidak menjadi masalah kepada saya. Alhamdulillah.

Saya mendapati Sheikh merupakan orang yang paling konsisten dari segi keceriaan, tenaga dan semangat, di mana datangnya semangat itu?

Saya telah bermimpi untuk menjadi angkasawan sejak saya berumur 10 tahun dan saya berasa ini adalah satu impian saya yang sudah menjadi kenyataan. Dan ini bukan sahaja impian saya malahan impian seluruh rakyat Malaysia. Saya berasa amat berbangga dapat membawa Jalur Gemilang ke angkasa lepas. Saya juga tidak berasa penat dan risau dan saya begitu fokus apabila berada di angkasa lepas.

Apabila sampai ke Baikonur belum lagi ditentukan siapa yang akan pergi dan akhirnya nama anda disebut. Bagaimana perasaan anda ketika itu?

Saya tidak terkejut apabila dipilih kerana saya sentiasa bersikap positif dan saya sentiasa yakin pada diri sendiri. Saya berserah kepada qadak dan qadar. Pertama sekali saya berasa bersyukur dipilih kerana mandat oleh Perdana Menteri Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia untuk merealisasikan wawasan negara.

Saya benar-benar bersyukur dan berjanji apabila kembali nanti saya akan jalankan tanggungjawab saya sebagai seorang angkasawan untuk menyuntik inspirasi kepada seluruh rakyat, kepada pelajar dan kaum belia Malaysia.

Saat-saat mendekati Soyuz TMA11 berlepas, bagaimana perasaan anda?

Saya tidak berasa khuatir atau bimbang. Lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan saya lebih tenang dan dapat tidur dengan baik. Sebelum pelancaran saya memperbanyakkan zikir dan baca ayat al-Quran untuk memberi keyakinan.

Seorang wakil Rusia mengatakan antara ketiga-tiga angkasawan kelihatannya Dr. Sheikh Muszaphar paling tenang, ceria dan meyakinkan kerana sebelum masuk senyum malahan ketika menaiki tangga pun senyum.

Apabila anda tahu impian anda begitu hampir untuk menjadi kenyataan tidak ada masalah langsung dalam fikiran. Apa yang paling penting ialah untuk merealisasikan impian dan untuk pergi ke angkasa lepas. Ini merupakan fokus saya selama setahun dan selama itulah saya rasa lebih tenang dan yakin.

Masuk sahaja ke dalam Soyuz TMA-11 bila berlakunya pelepasan itu, bagaimana pengalaman anda?

Saya agak terkejut kerana pelancaran selama 8 minit 48 saat begitu smooth tapi rasa panjang, seolah-olah ia mengambil masa yang lama apabila pertama kali saya dapat merasakan mikrograviti iaitu terapung-apung. Segala pena dan buku saya mula terapung.

Bagaimana pengalaman mengelilingi bumi dalam masa sehari?

Tempat di Soyuz adalah begitu kecil dan kami tidak dapat bergerak dengan banyak dan kami banyak menghabiskan masa berbincang dan saya banyak menghabiskan masa dengan melihat di luar melalui tingkap dengan melihat keindahan dan kebesaran ciptaan Allah dan ia memberi keasyikan dan memberi nikmat kepada saya.

Pasti kalangan umat Islam bertanya kalau berputar sekeliling Bumi sehari 16 kali, bagaimana menunaikan tanggungjawab kita?

Tanggungjawab saya bukan hanya kepada rakyat Malaysia tetapi kepada umat Islam seluruh dunia bagaimana untuk bersembahyang dan bagaimana untuk berpuasa dan saya bersyukur kerana sempat berpuasa selama dua hari di angkasa lepas dan tidak menjadi masalah kerana Jakim telah menghasilkan buku cara beribadah di angkasa lepas.

Jadi saya dapat berpuasa dengan begitu tenang dan saya mengikut masa di Kazakhstan untuk berbuka dan bersahur dan kenikmatan berbuka puasa di angkasa lepas adalah sesuatu perkara yang tidak akan saya lupakan.

Ia adalah begitu hebat sekali dan saya berasa begitu lengkap seolah-olah hati saya begitu lengkap pada masa itu. Dan sembahyang juga adalah amat mudah pada saya waktu itu kerana saya dapat betulkan kaki saya pada masa itu untuk rukuk dan sujud, jadi saya telah rekodkan dalam video bagaimana bersembahyang di angkasa lepas dan saya berharap dapat berkongsi video tersebut bersama dengan seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Kalau 16 kali berpusing ia tetap mengikut waktu Kazakhstan?

Jakim buat persetujuan bersama seluruh ulama dan mufti seluruh dunia dan mereka membuat keputusan bahawa kami akan ikut waktu solat di mana kami dilancarkan atau berada iaitu di Kazakhstan.

Pertama kali melihat Bumi dari angkasa lepas, apakah sebenarnya tercetus dalam fikiran apabila melihat bumi dari angkasa lepas?

Apabila saya lihat Bumi di angkasa lepas seolah-olah jantung saya berhenti berdegup seketika, saya tidak mengelipkan mata langsung. Perkara pertama yang datang dalam ingatan saya ialah tentang kebesaran Allah dan ini adalah sesuatu yang mengasyikkan dan begitu hebat sekali.

Susah untuk saya gambarkan kepada rakyat Malaysia. Saya juga menulis segala perasaan saya dalam sebuah diari kecil di angkasa lepas dan saya berharap dapat berkongsi bersama dengan seluruh rakyat Malaysia.

Kali pertama keluar dari Soyuz, bagaimanakah perasaan apabila keluar tanpa menggunakan kaki dan melayang ke atas?

Sebenarnya kita sudah terapung di Soyuz selama dua hari tetapi apabila sampai ke ISS tempat itu adalah begitu besar dan apabila anda boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan hanya menolak kaki anda sendiri, ia adalah satu perkara yang hebat.

Apa yang pelik ialah apabila saya kembali ke Bumi, saya rasa begitu berat untuk mengangkat tangan saya disebabkan oleh graviti. Mereka yang duduk selama enam bulan banyak kesan pada badan mereka.

Pertama kali berbicara dengan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis dan mendengar suara warga Malaysia berbicara dengan Sheikh di angkasa lepas.

Apabila pertama kali saya mendengar suara rakyat Malaysia di angkasa lepas dan saya rasa seolah-olah satu kehebatan yang amat sangat dan saya berasa seluruh rakyat Malaysia berada di angkasa lepas.

Saya berasa bangga ketika berada di angkasa lepas saya dapat berkongsi makanan-makanan Malaysia dan beraya bersama astronaut yang lain dan berkesempatan mendendangkan lagu-lagu Melayu di angkasa lepas. Saya telah memainkan lagu Malam Bulan Di Pagar Bintang oleh P. Ramlee, Seribu Bintang oleh Alleycats dan juga Sudirman Balik Kampung.

Mereka amat menyukai makanan tersebut dan sukakan lagu tersebut. Ia adalah penting untuk membawa budaya kita bukan hanya di ISS tapi juga di seluruh dunia.

Bagaimana perasaan apabila mendengar suara ayah bercakap dalam bahasa Rusia?

Ayah saya mempelajari bahasa Rusia dan beliau memang seronok bercakap dalam bahasa Rusia dan saya memahaminya, tetapi ibu saya bercakap dalam bahasa Malaysia.

Bagaimanakah seorang angkasawan melakukan hal-hal yang sulit seperti pergi ke tandas?

Sebenarnya bukanlah mudah menjalankan perkara seperti itu kerana segalanya terapung. Jadi anda harus ‘mengikat’ kaki anda supaya pergerakan tidak bergerak. Hari pertama dan kedua saya menghadapi masalah kerana tidak biasa, tetapi hari ketiga dan empat segalanya berjalan dengan begitu mudah.

Anda juga harus mengetahui apa yang dilalui di angkasa lepas adalah empat kali ganda lebih lama dengan apa yang dilalui di Bumi. Memakai baju mengambil masa 10 hingga 15 minit hanya untuk pakai baju dan seluar.

Sempat tak tengok meteorit atau tahi bintang?

Saya tidak melihat tahi bintang. Saya ingin mengatakan pada semua rakyat Malaysia bahawa bintang dan bulan lebih terang dilihat di angkasa lepas kerana tiada lapisan afmosfera yang mengganggunya dan bintang tak berkelipan apabila dilihat di angkasa lepas.

Prof. Dr. Abdul Rahman Jamal mengatakan keseluruhan saintis dari NASA termasuk dari Roskosmos, semuanya memuji anda dalam melakukan kerja dengan efisien dan sempurna.

Saya mengambil misi ke angkasa lepas ini dengan begitu serius.

Bukan sahaja untuk saya bersembang-sembang atau melancong ke angkasa lepas.

Bagi saya ia penting untuk membuktikan kepada seluruh dunia bahawa rakyat Malaysia mampu melakukan benda-benda seperti ini. Saya juga telah ditugaskan untuk membaiki equipment daripada European Space Agency. Jadi ia adalah satu tanggungjawab yang besar untuk European Space Agency mempercayai angkasawan Malaysia untuk melakukan tugas tersebut.

Bagi saya adalah penting untuk membuktikan kepada mereka supaya lebih ramai angkasawan Malaysia dibenarkan ke angkasa lepas sebagai angkasawan, bukan sahaja sebagai pelancong atau berseronok, tetapi lebih serius sebagai angkasawan.

Kebanyakan pengulas NASA meletakkan Sheikh sebagai space flight participant. Bagaimana reaksi Sheikh dalam hal ini?

Sebenarnya bagi saya ia tidak kira sama ada pihak Amerika memanggil saya sebagai space flight participant. Yang pentingnya saya digelar angkasawan Malaysia oleh seluruh rakyat Malaysia. Rusia telah mengiktiraf saya sebagai cosmonaut researcher.

Jadi ia adalah amat penting sekali kerana saya berlatih bersama Rusia. Jadi mereka tahu bagaimana seriusnya kami sebagai angkasawan melalui tugasan tersebut.

Saya berharap selepas ini saya dapat pergi ke angkasa lepas selama enam bulan iaitu jangka masa yang lebih panjang dan bekerjasama dengan NASA serta membuktikan kami setaraf dengan astronaut mereka. Saya ingin menekankan bahawa latihan di Star City adalah berbeza dengan latihan space tourist di mana mereka hanya mengambil masa enam bulan dan kami berlatih selama setahun. Setiap hari kami mempunyai kelas-kelas teori, jadi latihan kami adalah berbeza dengan latihan space tourist.

Bagaimana hubungan dengan astronaut lain selain Peggy Whitson dan Yuri Malenchenko?

Saya rasa apabila saya dapat membuktikan kepada mereka betapa seriusnya saya mengadakan misi ini dan betapa cekapnya menjalankan equipment dengan baik dan betul, mereka telah mempercayai sebagai professional astronaut. Malah, mereka telah mengatakan bahawa saya adalah professional astronaut. Itu adalah amat penting bagi saya.

Saya boleh dikatakan agak bebas ketika berada di ISS di mana boleh melakukan apa sahaja di angkasa lepas. Saya tidak perlu meminta izin untuk menekan butang atau menekan apa-apa sahaja, jadi mereka telah beri kepercayaan kepada saya untuk menjalankan segala eksperimen, segala tanggungjawab, segala apa yang saya mahu lakukan di ISS.

Nampaknya anda sangat bersedia, pakaian pun ada Jalur Gemilang dan memakai baju batik?

Baju batik tersebut adalah sesuatu yang istimewa dan ia bukan sebarang baju batik dan ia telah dibuat khas untuk penjelajahan di angkasa lepas kerana jika anda lihat dengan teliti baju batik tersebut ada lukisan gambar-gambar planet, gambar angkasa, bintang, gambar galaksi dan bulan dan ia adalah baju batik yang begitu unik sekali dan saya membawa kembali baju batik itu semoga saya dapat meletakkan di Arkib Negara supaya seluruh rakyat Malaysia berasa bangga kerana baju batik Malaysia berada di angkasa lepas.

Apakah yang tidak mungkin dapat dilupakan bagi Sheikh ketika berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS)?

Sepuluh hari berada di ISS adalah begitu menakjubkan dari segi terapung, cara kita makan cara kita sembahyang cara kehidupan seharian adalah begitu berbeza sekali walaupun saya telah kembali ke Bumi kadang-kadang apabila saya bangun dari tidur saya berasa seolah-olah saya terapung-apung di angkasa lepas. Ia adalah sesuatu yang masih terngiang-ngiang, bermain-main di kepala saya sehingga kini, ia adalah seolah-olah satu mimpi sampai sekarang.

Apakah sekarang ini anda merasakan demikian juga, terapung-apung?

Ya, saya masih berasa terapung-apung ketika bercakap di Radio24.

Bagaimana perasaan ketika mula masuk ke atmosfera Bumi?

Jika dibandingkan dengan Soyuz yang lain kami mempunyai masalah teknikal ketika itu dan selama ini hanya tiga Soyuz sahaja sejak tahun 1980 di mana keadaan ini berlaku dan kami telah diputar-putarkan begitu hebat sekali, kami telah dilambung-lambungkan di dalam Soyuz sehingga anda tidak dapat bernafas ia adalah sesuatu yang agak sukar untuk kembali ke bumi tetapi Alhamdulillah semuanya baik malah semasa kami mendarat di Kazakhstan kami terbabas sejauh 600km dari tempat yang seharusnya kami mendarat.

Dikatakan tidak boleh bernafas, bagaimana keadaan itu?

As though an elephant is stepping on your chest... ia seolah-olah sesuatu benda yang berat sekali menekan dada anda, anda tidak dapat bernafas dan anda berasa tidak selesa tetapi kami telah diajar bagaimana untuk bernafas kerana yang tertekan itu adalah dada bukan abdomen, jadi latihan tersebut telah menyelamatkan kami untuk sampai ke Bumi dengan selamat.

Dalam perjalanan itu, api akan menyala kiri dan kanan bagaimana perasaan Sheikh ketika itu?

Apabila kami mendarat ke Bumi seluruh kapsul Soyuz itu akan terbakar dan keadaan di dalam itu akan panas sekali dan saya dapat melihat api dan malah serbuk-serbuk api memasuki ke dalam Soyuz menerusi saluran udara dan asap-asap mula berkepulan di dalam Soyuz tetapi itu adalah sebentar sahaja dan kami telah menutup saluran udara. Pasukan penyelamat telah sampai boleh dikatakan agak cepat dalam masa 25 minit dan dengan cepat membantu kami keluar dari Soyuz.

Apakah harapan setelah kembali ke Malaysia?

Harapan saya nanti dapat memberikan suntikan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia lebih-lebih lagi kepada golongan belia, kanak-kanak supaya mereka lebih mendalami bidang sains dan kejuruteraan.

Saya berharap Malaysia dapat melahirkan lebih ramai angkasawan, lebih ramai saintis, doktor untuk memajukan Malaysia dalam segala aspek lebih-lebih lagi dalam bidang aeroangkasa dan saya juga berharap agar Malaysia dapat menghasilkan roket sendiri untuk membuat pelayaran ke angkasa lepas.

– Bernama

Tuesday, October 16, 2007

Wednesday, October 10, 2007

102121H SEP 07 MAL

“It’s a small step for me, but a great leap for the Malaysian people’’
Dr. Sheikh Muszaphar Shukor,
Malaysian First Astronaut

Rendang Tok ke Angkasa


Tidaklah pernah saya merasa Rendang Tok sehinggalah saya bertemu jodoh dengan orang Seri Manjung, orang Negeri Perak. Itulah yang menariknya bila kita dijodohkan dengan pasangan dari luar daerah. Asimilasi budaya dapat dilihat dan membuat minda kita sentiasa terbuka melihat perkara-perkara baru di sekitar kita.

Menariknya, merujuk kepada blog angkasawan kita. Bukan sahaja Rendang Tok, malah Nasi Beriani, Satay Ayam, Tempe, Kuih Bangkit adalah di antara hidangan yang akan dibawa oleh angkasawan kita ke ISS (International Space Station) dalam 1 hari lagi. Nampaknya, bukan sahaja manusia, makanan Melayu pun bersyukur pada Allah kerana dapat dijamah oleh angkaswan di ISS nanti. Macam manalah rasanya 'Rendang Tok' (my fav) kat angkasa nanti? Adakah rasa Rendang Tok dipengaruhi oleh graviti?

Selain dari itu, Dr. Sheikh Muszaphar akan cuba memainkan permainan tradisional Melayu iaitu gasing. Mungkin untuk membuktikan teori Sains tentang Keabadian Tenaga. Kenapa gasing berhenti berputar bila dimainkan dipermukaan bumi? Sepanjang pengetahuan Sains saya, gasing berhenti berputar kerana berlaku pergeseran dengan udara dan juga tenaga berubah dari tenaga kenetik kepada bentuk tenaga lain (Tenaga haba dan bunyi)! Dalam prinsip Keabadian tenaga, tenaga boleh berubah tetapi tidak boleh dihapuskan.

Bagaimana pula keadaan gasing yang berputar dalan persekitaran tanpa graviti? Mungkinkah juga eksperimen ini dijalankan di persekitaran hampagas? Adakah gasing akan terus berputar kerana tiada pergeseran dengan udara? atau gasing boleh berputar lebih lama lagi berbanding jika ia berputar di bumi? Apakah kita dapat memanfaatkan ilmu dari eksperimen yang kecil ini?

Sebelum ini ada sesetengah pengkritik program angkasa ini memandang sinis tentang eksperimen memainkan gasing dan batu seremban di angkasa. Gaya kritikan mereka itu seolah-olah mereka sudah tahu akan jawapannya. Mungkin mereka pernah mencubanya!!. Bagi saya, eksperimen ini hanyalah untuk menarik minat para pelajar dan kanak-kanak untuk lebih meminati bidang sains dan teknologi. Mungkin orang dewasa juga ingin mengetahui apa yang akan berlaku jika gasing diputarkan dalam persekitran tanpa graviti. Sesungguhnya Ilmu Allah itu sangat luas, jika disediakan air laut untuk di jadikan dakwat untuk menulis segala ilmu Allah, pastinya tidak akan tercukup!! MasyaAllah.

Menurut Dr. Sheikh Muszaphar lagi, "Space is all about sharing culture and tradition where cosmonauts from all over the world would gather and conduct experiments as a whole." Ini menunjukkan bahawa penerokaan angkasa lepas bukan sahaja bertujuan untuk penerokaan Ilmu baru malah ianya adalah satu insturmen yang besar untuk menyatukan manusia sejagat yang mempunyai latar budaya yang berbeza-beza.

Sebagai seorang Muslim, beliau juga akan melaksanakan ibadah solat dan puasa di ISS. Beliau sangat berbangga untuk melaksanakan kerana beliau yakin, "I definitely would be praying and fasting in space. I am not sure how it would be done but will share my experiences to all the Muslims all over the world when I get back. After all , Islam is a way of life and I am quite sure I would not face much difficulties. InsyaAllah.".

Semoga selamat pergi dan kembali! Semoga Allah permudahkan segala urusan saudara seIslamku. Ameen.

Monday, October 08, 2007

Dari Baikonur ke ISS

Semasa saya kecil dulu tidak pernah terlintas dikepala saya yang angkasawan adalah satu-satunya cita-cita idaman. Jika ditanya rakan-rakan sepermainan pun, mereka juga sama seperti saya. Angkasawan itu cita-cita yang tidak tercapai oleh akal kanak-kanak sebaya saya pada abad yang lalu.

Namun, semuanya telah berubah. Tahun 2007 ini merupakan tahun yang bertuah buat Malaysia. Setelah mencapai 50 tahun Merdeka, satu lagi sejarah dicipta. Dua orang rakyat Malaysia akan bergelar Angkasawan. Mereka adalah Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapt Dr. Faiz.

Setelah membuat rujukan tentang 'astronaut' dan membaca blog kedua-dua hero Malaysia ini, tahulah saya bahawa kerjaya angkasawan ini adalah kerjaya yang paling tinggi darjatnya!. Kenapa saya kata begitu?. Dari pembacaan saya, baru saya tahu bahawa angkasawan ini bukan sahaja mereka yang benar-benar genius malah mempunyai ketahan fizikal dan mental yang tinggi. Ujian survival di kawasan paya, ketahanan cuaca sejuk di kawasan tundra Siberia dan latihan di Laut Hitam.

Pastinya, angkasawan merupakan kerjaya yang mencabar dan mereka yang benar-benar terbaik sahaja akan terpilih untuk menjadi angkasawan. Memang tidak di nafikan kehebatan kedua-dua angkasawan kita bila pagi tadi mereka telah diumumkan sebagai angkasawan dan layak mengikuti mana-mana misi ke angkasalepas. Salute to our HEROES!!

Selepas ini, anak-anak Malaysia sudah berani bercita-cita untuk menjadi angkasawan. Bukan untuk ke ISS (International Space Station) tetapi lebih dari itu, Planet Marikh barangkali. Namun, untuk menjadi angkasawan, seseorang itu mesti mempunyai keazaman dan kesungguhan untuk menjadi yang terbaik. Semoga Angkasawan Malaysia pertama sentiasa dipelihara dan mendapat perlindungan dari Allah. Ameen.

Thursday, October 04, 2007

Tazkirah

Petang semalam, hampir seluruh keluarga KD PELANDOK meraikan satu majlis berbuka puasa di Teluk Batik Resort. Ini merupakan satu majlis tahunan yang dilaksanakan setiap tahun. Majlis ini dikenali sebagai Semarak Ramadhan. Ini kali kedua saya menghadirinya. Sama seperti tahun lepas, majlis ini dimulakan dengan bacaan Al-Quran dan kemudian diikuti dengan Tazkirah sebelum berbuka puasa.

Tazkirah kali ini disampaikam oleh seorang pegawai Kagat senior, Mejar Mokhtarudin yang akan bersara tidak berapa lama lagi. Tajuk tazkirahnya adalah, Al-Quran. Antara intipati utama tazkirah yang adalah, dengan membaca Al-Quran, bukan sahaja Allah suka pada kita malah makhluk juga begitu.

Jika seorang suami suka membaca Al-Quran, si isteri akan suka padanya begitu juga sebaliknya. Jika pemimpin membaca Al-Quran, rakyatnya juga akan suka padanya. Malah kata beliau, kambing yang busuk itu juga akan dicium sekiranya ia mendampingi Al-Quran!. Apa tidaknya, jika kambing itu disembelih, kulitnya dikeringkan dan tulis ayat-ayat Al-Quran. Dijadikan perhiasan dinding. Kulit yang asalnya busuk menjadi mulia, dibaca malah ada yang menciumnya.

Beliau juga memberi contoh golongan yang meninggalkan Al-Quran. Diakhir peperintahan Abassiyah, umat Islam telah mula leka dan melupakan Al-Quran. Kesannya, mereka telah dilanggar diserang oleh bangsa Monggol yang diketuai oleh Genggiz Khan. Dalam masa 8 hari sahaja, kira-kira 800 ribu umat Islam disembelih di Kota Baghdad.

6 jam sebelum majlis ini, saya menghadiri kursus E-Learning. Disebelah meja saya adalah ketua operasi kursus tersebut, Encik Isa. Sepanjang kursus ini, kami kerap bertukar-tukar pandangan tentang pengalaman kami. Beliau telah menceritakan pengalaman beliau semasa beliau berkursus di Amerika Syarikat. Semasa di sana, beliau telah dihampiri oleh seorang pendakwah kristian dan telah mengajak beliau berbicara tentang muslim sedunia. Antara pandangan rakan beliau itu adalah, "Muslim will never successes, because they read what they dont understand". Bagi Encik Isa, itu pandangan yang sangat 'rude' tapi mungkin ada kebenarannya.

Bila saya mendengar kisah beliau itu, rasa geram + marah yang meluap dalam hati saya. Rasanya hendak saya berdepan dengan orang yang bercakap sekasar itu. nak berdebat!. Sememangnya tidak dinafikan, kebanyakkan negara-negara Islam hari ini sangat lemah. Namun, kelemahan utama negara-negara Islam bukanlah berpunca dari mereka membaca Al-Quran. Kelemahan mereka adalah berpunca dari kurangnya usaha untuk membangunkan diri mereka sendiri.

Namun satu perkara yang jelas, surah-surah yang berusia lebih dari 1400 tahun itu sebenarnya mengandungi segala kehebatan ilmu. Surah-surah yang dicipta sendiri oleh Pencipta yang Maha Agung. Tiada yang setanding denganya. Malangnya, kita cuma mampu membaca tetapi tidak menghayatinya. Akibatnya kita tidak dapat mengamalkannya dalam mengurus dan mengatur kehidupan kita di dunia ini. Mungkin itu kelaziman kita yang dilihat sebagai kelehamahan oleh orang lain! Masa untuk berubah.