Wednesday, October 25, 2006

Eid Mubarak 1427H

Salam Aidil Fitri dan Maaf Zahir dan Batin dari kami di Seri Manjung
Amir Azmi, Hamsatul Azlina dan Humairaa' Nabilah.

Friday, October 20, 2006

Pemenang Hadiah Nobel 06

Hajeera Begum tinggal di sebuah kampung yang terletak di pinggir bandar Dhaka, Bangladesh. Beliau adalah isteri kepada seorang lelaki buta dan mempunyai 6 orang anak perempuan. Pendapatannya yang datang dari kerja-kerja membersihkan rumah orang lain tidak mampu memberi pendapatan yang baik. Beliau tidak mampu memberi makanan kepada keluarganya secara tetap setiap hari.

Suatu hari, beliau memberitahu suaminya yang beliau ingin memohon pinjaman wang dari Bank Grameen. Apabila terdengar sahaja oleh suaminya, beliau telah diherdik oleh suaminya dan berjanji akan menceraikannya jika beliau meneruskan niatnya. Suaminya mendapat tahu bahawa Bank Grameen adalah salah satu pertubuhan Kristian yang ingin menghancurkan umat Islam di Bangladesh.

Oleh kerana tekanan dan desakan hidup, Hajeera telah melanggar larangan suaminya dan telah menghadiri taklimat dari Bank Grameen secara senyap di kampung yang berdekatan. Setelah berjaya melepasi ujian lisan berkaitan kefahaman beliau tentang Bank Grameen, pinjaman beliau telah diluluskan sebanyak 2000 thaka. Air matanya mengalir tidak berhenti-henti kerana seumur hidupnya, beliau belum pernah menyentuh wang sebanyak itu.

Dengan duit itu dan bantuan khidmat dari Bank Grameen, beliau telah membeli seekor lembu tenusu untuk di bawa pulang. Oleh kerana terlalu gembira dengan kehadiran lembu tersebut, suaminya terlupa pada janjinya untuk menceraikan Hajeera.

Hasil rezeki dari lembu pertama, Hajeera telah membuat pinjaman kedua dan telah menyewa sekeping tanah untuk menanam 70 batang pokok pisang dan bakinya, seekor lagi lembu tenusu. Kini, beliau mampu memiliki sawah padi, kambing, ayam dan itik. Beliau juga mampu memberi keluarganya makan 3 kali sehari dan berjanji menghantar anaknya belajar sehingga ke peringkat Universiti.

Apabila di tanya, apa pendapat beliau tentang Bank Garmeen?. Beliau menjawab, "Garmeen adalah seperti ibu saya, Ia telah memberi kehidupan baru kepada saya".

Ini adalah salah satu kisah benar dari 2 juta orang miskin yang berjaya mendapat pinjaman dari Bank Garmeen di Bangladesh. 2 juta orang miskin yang dapat melepaskan diri dari kepompong kemiskinan dengan bantuan 'Pinjaman Mikro' dari Bank Garmeen. Bank yang diasaskan oleh seorang Profesor Ekonomi Muslim yang mempunyai cita-cita untuk menghapuskan kemiskinan di dunia!. Beliau adalah Profesor Muhammad Yunus.
Profesor Muhammad Yunus. Ikhsan Nobelprize.org

"Ibu saya selalu menolong setiap orang miskin yang datang mengetuk pintu rumah kami, terima kasih kepada ibu kerananya saya telah tahu misi dalam hidup saya. Walaupun saya tidak tahu dalam bentuk yang sepatutnya", kata Prof. Muhammad Yunus yang dilahirkan pada tahun 1940 di Chittagong, salah sebuah pusat perdagangan utama di Barat Bangladesh.

Bermula dengan latihan ilmiah untuk penuntut sarjananya pada tahun 1976 hingga 1979 di Kampung Jobra, Pensyarah ekonomi dari Universiti Chittagong in telah menemui jalan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan di Bangladesh. Penemuan besar itu berlaku setelah beliau menemuramah seorang wanita pembuat perabut dari buluh. Wanita itu memberitahu beliau yang dia sebenarnya tidak mempunyai apa-apa melainkan upah yang kecil. Sebahagian besar keuntungan telah diraih oleh orang tengah dan peniaga.

Profesor Muhammad Yunus berpendapat, sedikit bantuan keewangan mampu untuk memperbaiki kehidupan wanita tersebut. Dengan bantuan penuntutnya, beliau telah berjaya mengumpulkan 42 keluarga yang senasib wanita tersebut. Beliau telah mengeluarkan duit poketnya sendiri untuk menjalankan eksperiman Pinjaman Mikro dengan pembayaran balik paling minimum kepada 42 keluarga tersebut dan hasilnya, beliau mendapati perubahan kehidupan yang sangat besar kepada keluarga-keluarga eksperimen tadi.

Pada tahun 1979, beliau telah mendapat bantuan dari Bank Pusat untuk membangunkan projek Garmeen dan sehingga tahun 1983, Grameen mempunyai 59,000 pelanggan dan 86 cawangan di seluruh Bangladesh. Hari ini hampir 2 juta rakyat miskin Bangladesh sedang mengalami perubahan besar dalam hidup. Kehidupan yang melarat dan daif kepada kehidupan yang lebih sempurna.

Cetusan idea 'Pinjaman Mikro' Profesor Muhammad Yunus ini telah merevolusikan dua sistem di dunia ini yang selama ini membelenggu kehidupan manusia yang susah dan melarat.

Pertama, sistem kapitalis yang selama ini meng'kasta'kan kehidupan manusia kepada si kaya dan si miskin. Si kaya terus menghisap darah si miskin dengan sistem keewangan yang zalim dan menekan. Si miskin terus miskin dangan hutang keliling pinggang. Si kaya terus ketawa terbahak-bahak di hadapan hidangan yang lazat lagi banyak dan si miskin terus melarat dan mati kebuluran di kaki lima.

Keduanya, program kemanusiaan yang telah membelanjakan berbillion wang di seluruh dunia. Profesor ini berpendapat, program kemanusiaan tidak dapat membantu membina ikhtiar manusia. Manusia yang melarat terus meminta-minta sehingga akhir hayat mereka dan apabila bantuan terputus, meraka pasti akan melarat tanpa ilmu dan kemahiran untuk terus hidup. Bertongkat sehingga akhir hayat.

Atas revolusi inilah pada 13 Oktober yang lalu, Profesor Muhammad Yunus dan Bank Grameen telah dianugerahi dengan Hadiah Keamanan Nobel bagi tahun 2006. Kini, Hampir seluruh negara di dalam dunia ini telah mengunakan konsep 'Pinjaman Mikro' untuk membantu golongan kelas bawahan untuk meneruskan kehidupan dengan membangunkan kemahiran yang mereka ada.

"People say I am crazy, but no one can achieve anything without a dream. When you build a house, you can't just assemble a bunch of bricks and mortar, you must first have the idea that it can be done. If one is going to make headway against poverty, one cannot do business as usual. One must be revolutionary and think the unthinkable."

Idea yang hebat ini sebenarnya tercetus dari dalam diri manusia yang mempunyai hati yang ikhlas tentang betapa pentingnya membantu manusia untuk keluar dari kehidupan yang penuh kesengsaraan dan kefakiran. Sesungguhnya, kefakiran itu boleh membawa kepada kekufuran. Profesor Muhammad Yunus memahaminya dan dengan rasa tanggungjawab telah melaksanakan idea yang memberi kebaikan dan manfaat kepada manusia sejagat. Semoga Allah sentiasa memberkati kehidupan Profesor Muhammad Yunus sekeluarga di dunia dan di akhirat, Ameen, Ameen, Ameen.

Diceduk olah dari;
A Good Banker, Alan Jolis. The Independent, 5 Mei 1996. Baca
Muhammad Yunus, wikipedia.org. Baca

Tonton dan dengar;
Penganugeran Hadiah Keamanan Nobel 2006. Tonton
Berita Bangldesh tentang kejayaan Prof. Muhammad Yunus. Tonton
Temubual antara Profesor Muhammad Yunus dan Adam Smith.
[Windows Media Player] [Real Player] [Skrip temubual]

Tuesday, October 17, 2006

Iklan Petronas

Saya sangat tersentuh menonton iklan Petronas untuk Hari Raya Aidil Fitri bagi tahun ini. Pengajaran yang sungguh bermakna bagi genarasi muda agar sentiasa menghormati generasi tua yang telah banyak berkorban untuk kita. Mulianya kita hari ini adalah atas pengorbanan genarasi lama yang belum tentu dapat dibayar dengan wang ringgit.

Kisah mengenai seorang anak perempuan yang terpaksa menjaga orang tuanya yang sudah tidak mampu menguruskan dirinya sendiri. Suaminya juga memandang dingin terhadap kehadiran bapa mertuanya ke dalam keluarganya. Orang tua itu merasa sangat sedih tapi apakan daya kerana beliau benar-benar uzur.

Ketidakikhlasan memelihara orang tua itu sebenarnya memakan diri mereka sendiri apabila anak-anak mereka sendiri melakonkan ketidakikhlasan mereka. Anak-anak mereka mempelajari dari apa yang dilakukan oleh ibubapa mereka.

Saya rasa sedih dan terharu menonton iklan ini dan saya bagi 5 bintang atas iklan yang penuh dengan nilai-nilai kemanusian ini.

Oleh kerana terlalu terharu dengan iklan tersebut, saya bercadang untuk memasukkan ke dalam blog saya dan mula mencari-cari klip tersebut di dalam www.youtube.com. Sedihnya saya tak ketemuinya, mungkin kerana masih baru lagi. Gembiranya saya jumpa satu iklan Petronas yang bagi saya, sangat menarik. Iklan Petronas yang saya belum tonton lagi kerana semasa ia ke udara, saya masih lagi berada di Australia.

Selepas menonton klip iklan itu buat pertama kali, ada dua perkara yang terlintas di fikiran saya;

Pertama, saya rasa slang Bahasa Melayu yang dituturkan oleh Orang Eropah lebih sedap berbanding dengan orang Australia yang menuturkan Bahasa Melayu versi Indonesia. Mat Saleh cakap Bahasa Melayu versi Malaysia lebih bergaya! Intonasinya ada style!

Kedua, iklan ini juga menunjukkan bahawa Bahasa Melayu juga boleh digunakan untuk menerangkan pengetahuan tinggi seperti kejuruteraan F1. Saya tidak pernah melihat Bahasa itu milik sesuatu bangsa. Bagi bangsa yang melihat ketinggian ilmu itu sesuatu kekuatan, bangsa itu sebenarnya telah memartabatkan bahasanya sendiri. Lihat sahaja iklan tersebut, Saya merasa bangga kerana ilmu kejuruteraan tinggi boleh disampaikan dalam bahasa Melayu dalam bentuk yang santai. Malah, ia disampaikan oleh seorang kanak-kanak kepada datuknya! Two thumbs up untuk Petronas.

"Atuk tau tak!, pada kelajuan melebihi 160km/jam, sebuah kereta F1 boleh menghasilkan daya sectional (daya relatif/daya tujah ke atas) yang menyamai berat kereta itu sendiri". Cute betul suara budak tu bertutur Bahasa Melayu. Menyampaikan ilmu dalam bahasa Melayu :)

Saturday, October 07, 2006

Ahli Kimia yang tersayang

Diantara produk ahli kimia yang dijual di pasar Ramadhan Seri Manjung
Sesiapa pun tidak dapat melupakan kesedapan masakan dari tangan ibu sendiri. Terutama apabila telah lama berjauhan dan kembali kepangkuan keluarga dan memulakan jamahan masakan ibu setelah seharian menahan diri dari lapar dan dahaga. Biasanya saya memerlukan 2 hingga 3 pinggan nasi untuk menikmati asam pedas masakan ibu saya.

Semasa saya belajar sains di sekolah menengah dahulu, seorang Guru Sains saya saya pernah memberitahu saya. Kurang lebih, "Otak kita akan mengatakan sesuatu masakan itu sedap apabila bahan kimia yang terdapat pada makanan kita dapat merangsangkan kesemua reseptor deria yang terdapat pada lidah kita. Reseptor yang boleh mengesan rasa manis, masam, masin dan pahit". Saya sentiasa mengiktiraf ibu saya sebagai seorang Ahli Kimia yang sangat genius kerana kepersisan dan kejituan beliau dalam mengadun ramuan kimia dalam masakannya buat saya sentiasa terkenang-kenang masakan ibu.

Kini, setelah mempunyai keluarga sendiri, sekali lagi saya merindui masakan ibu saya. Namun ini bukan kali pertama saya merindui masakan ibu saya, saya telah tinggal di asrama sejak tingkatan satu sehinggalah ke Universiti. Saya telah terpaksa menikmati ramuan kimia yang dimasak oleh ahli kimia yang berbeza-beza.

Dari Ahli kimia yang suka merokok semasa mengoreng mee di dewan makan asrama ke mamak nasi kandar yang mempunyai komposisi kimia ajaib pada jari-jarinya apabila mengambil makanan di Gelugor ke kepayauan air paya yang dijadikan minuman semasa mengikuti latihan Palapes di Gurun ke hotel besar menikmati kambing bakar dengan uniform putih yang segak dan ke Australia, menikmati 'fish and chip' di tepi laut di bandar Geelong.

Ini semua telah membuat saya tidak cerewet lagi tentang bahan kimia yang merangsang reseptor lidah saya. Saya makan tanpa banyak komen selagi ianya halal. Namun, di mana juga saya pergi, ingatan asam pedas ibu saya sentiasa menghasilkan impuls palsu yang dihantar ke otak saya dan akibatnya air liur saya dirembeskan dengan banyaknya. Komposisi kimia ajaibnya buat saya sentiasa terkenang Ahli Kimia yang tersayang.